KolumnisProf. Madya Dr. Rafidah Hanim

Silap faham Projek Dialog dalam isu pensyariatan hijab

Prof Madya Dr Rafidah Chief Information of Wanita ISMA
Adalah penting bagi generasi muda sekarang menapis di antara fakta dan ilmu. Dengan mudahnya “accessibility” atau capaian kepada maklumat dewasa ini, tidak semua fakta itu adalah ILMU. Golongan muda harus mempunyai disiplin dalam menilai sesuatu fakta, menilai pihak, adakah mereka berautoriti dalam menyampaikan pandangan dan tidak mudah menyebarkan bahan yang tidak disemak kesahihannya. Tambahan pula masa dan kesempatan kita terhad, dengan sebab itu ada doa yang mengingatkan kita :

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Mu ilmu yang bermanfaat.

Biarlah masa yang kita ada SEMPAT digunakan untuk menelaah sumber primer agama Islam, daripada andaian dan telahan berdasarkan perkongsian rawak yang tidak berpaksikan mana-mana disiplin ilmu. Kadang-kadang masa kita banyak dihabiskan membaca dan menyebarkan pandangan-pandangan peribadi mereka yang tidak diiktiraf kesarjanaan mereka sebelum sempat kita menyemak pandangan yang lebih kuat dan rajih.

Kebebasan bersuara telah menjadi satu lesen bagi pihak-pihak tertentu untuk memomok-momokkan kepercayaan agama, mengutarakan sesuatu fakta yang tidak diambil dari sumber yang sahih dan berautoriti, dan bersifat selektif dalam mengemukakan fakta. Malahan, kebebasan bersuara atau dialog ini seringkali bersifat unilateral dan bernada provokatif.

Projek Dialog malangnya adalah salah satu portal yang bersifat sedemikian.

Cuba memesongkan pensyariatan hijab 

Beberapa artikel Projek Dialog akhir-akhir ini memerlukan penjelasan semula. Setelah isu penyiaran video Sisters in Islam dalam mengupas isu Feminisma dengan mengambil dalil Al-Quran yang silap, Projek Dialog seterusnya memuat naik artikel bertajuk  Why I as a Muslim Woman Don’t Wear a Headscarf yang ditulis oleh Lamya Kaddor. Mereka mempertahankan kewajaran mengemukakan artikel sedemikian hanya kerana Lamya Kaddor adalah dikatakan seorang Sarjana Islam di Universiti di German, Münster University.

Untuk pengetahuan kita semua, wajar kita memahami bahawa sarjana Islam di universti-universiti di negara Barat tidak semestinya mencerminkan mereka membawa pandangan yang benar dalam Islam. Irsyad Manji diberi tempat di New York University sebagai Pengarah Projek “Moral Courage” manakala Amina Wadud diiktiraf sebagai Professor Agama dan Falsafah di Virginia Commonwealth University sehinggalah beliau bersara pada tahun 2008. Kedua-dua mereka adalah pejuang hak asasi wanita did alam konteks yang terkeluar dari kerangka syariah seperti menyokong LGBT dan memperjuangkan pluralisma agama.

Berbalik kepada Projek Dialog dan Lamya Kaddor yang mempertikaikan syariat hijab ke atas wanita Islam, ini bukanlah satu hujah baru. Bahkan sebelum ini pun, sudah ramai pihak yang dipengaruhi oleh ideologi liberal (membebaskan atau meliberalisasikan diri mereka dari kerangka syariah) berbuat demikian. Mereka cuba mentafsir al-Quran secara literal, mengikut akal, dan menyalahkan ulama-ulama yang dikatakan bersifat “mysogyny” atau membenci wanita. Dalam hal ini Ibnu Qudama dan Ibn Taimiyyah dituduh Lamya Kaddor sebagai para lelaki yang bersifat “misogyny” hanya kerana pentafsiran Quran tidak mengikut selera wanita seperti mereka dan seperti yang digariskan peradaban Barat. 

Hujah-hujah lama yang cuba diberi nafas baru

 Seawal tahun 2003-2004 dahulu, pemahaman sebegini sudah mula dihidangkan kepada masyarakat Islam. Semeen Issa dan Laila Al-Marayati, kedua-duanya ketika itu merupakan presiden dan jurucakap kepada pertubuhan Muslim Women’s League di Amerika Syarikat, telah berpandangan bahawa syariat Hijab ini adalah dari “male dominated understanding” atau pemahaman yang dikuasai lelaki. Begitu juga ketika itu muncul sebuah laman web yang gigih memperjuangkan ideologi sedemikian bernama Muslim Wake Up yang mencadangkan berbagai-bagai perkara di luar dari konteks Islam seperti azan di dalam bahasa tempatan, menjustifikasikan lesbian di dalam Islam dan pelbagai idea pelik di luar kerangka Islam, termasuklah menjustifikasikan bahawa hukum berhijab tiada dalam Islam.

Ini adalah zaman sebelum laman sosial seperti “Facebook”, “Instagram” atau “Twitter” meluas penggunaannya. Maka kita terpaksa mengenengahkan kembali isu ini walaupun sudah ramai ulama menjelaskan kekeliruan isu pensyariatan Hijab ke atas wanita beriman, yang cuba dipesongkan oleh mereka yang selektif memilih ayat-ayat Al-Quran dan meninggalkan terus hadis dari pentafsiran sesuatu ayat kerana isu “mysogyny” tadi.

Pensyariatan hijab

Antara hujah yang biasa digunapakai oleh golongan yang mempertikaikan pensyariatan hijab adalah Surah An-Nur ayat 30-31 yang dikatakan hanya memerintahkan lelaki dan wanita bersopan, tetapi tidak tidak secara spesifik menentukan aurat. Hujah lain adalah perkataan “khumur” yang terkandung dalam sebahagian surah an Nur ayat 31 : 

 “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala (khumur) mereka.”

 Mentafsir secara literal, golongan ini cenderung untuk mengenepikan hadis, seerah dan tafsiran ulama muktabar dalam menentukan kewajiban berhijab.

Ayat dari surah An-Nur di atas telah dihuraikan secara jelas melalui beberapa hadis dan ulasan ulama muktabar:

Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Aisyah r.a. menceritakan; “Semoga Allah mengurniakan rahmat/kasih sayang kepada wanita-wanita Muhajirin yang awal. Tatkala turun ayat بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ “وَلْيَضْرِبْنَ (yang bermaksud: hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung mereka hingga ke dada-dada mereka), mereka memotong kain-kain bulu mereka, lalu mereka bertudung dengannya”.

 (Tafsir Ibnu Kathir)

Dari Aisyah r.a. ia berkata bahawasanya Asma binti Abu Bakar masuk ke tempat Rasulullah saw dengan memakai pakaian yang tipis, maka Rasulullah saw. berpaling daripadanya seraya bersabda, Hai Asma! Sesungguhnya perempuan itu apabila ia telah dewasa/sampai umur, maka tidak patut menampakkan sesuatu dari dirinya, melainkan ini dan ini. Sambil Rasulullah menunjukkan muka dan kedua telapak tangan hingga pergelangannya sendiri. 

(HR. Imam Abu Dawud).

Dari aspek sejarah pula, Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur sesuai dengan amalan umat Islam yang awal sewaktu itu. Perkataan khumur sering dibahaskan kerana golongan literal ini kerana mereka tidak mahu menerima suatu kaedah yang sangat saintifik dari para mufassirin dan muhadditheen dalam membahaskan tafsir di dalam ayat Quran iaitu menghuraikan sejarah dan istilah bahasa.  

Khumur adalah kata ganda atau plural atau jamak bagi khimar iaitu kain yang menutupi kepala, dan juyub adalah kata plural dari kata jayb yaitu butang pembuka di hujung atas baju yang ada di sekitar leher dan di atas dada. Dengan kata lain khimar adalah kain yang menutupi kepala tanpa menutupi wajah, yang diperintahkan agar dilabuhkan sehingga menutupi hujung atas baju (butang kancing) di bahagian dada. Ini diterangkan antaranya oleh:

Imam al Qurtubi, seorang mufassireen yang muktabar mengatakan bahawa wanita di zaman Jahiliyah, biasa menutup rambut mereka dengan kain khimar yang diselempangkan ke belakang. Ini membiarkan leher dan bahagian atas dada terdedah, termasuk telinga, serupa seperti pemakaian wanita Kristian. Allah kemudian memerintahkan mereka turut menutup bahagian terdedah itu dengan melabuhkan khimar.”

Ayat-ayat di atas adalah secara ringkas dalil-dalil pensyariatan  Hijab, bahkan terdapat banyak lagi huraian yang lebih jelas dan terperinci.

Kepada generasi muda, akan ada lebih ramai lagi “tokoh-tokoh” yang akan dikemukakan oleh laman-laman portal yang tidak cermat dan tidak jelas hala tujunya seperti Projek Dialog, melainkan untuk melengah-lengahkan generasi muda dari sumber yang asli. Akan timbul ramai lagi nama-nama seperti Semeen Issa, Laila Marayati, Lamya Koddor, Fatimah Mernissi, Irsyad Manji yang digembar-gembur sebagai membawa pandangan Islam tetapi telah ditolak oleh pandangan mereka oleh sarjana Islam dan ulama sebenar di negara-negara mereka sendiri, sedangkan kita cuba mengangkat mereka sebagai membawa idea baru.

Maka kita disibukkan dengan cuba memberi nilai kepada pandangan mereka, sedang kita meninggalkan mutiara sebenar iaitu Tafsir-tafsir Al-Quran seperti Tafsir ibn Katheer, Tafsir Fi Zilal, Tafsir Al Manar, Tafsir Hamka dan berbagai-bagai lagi yang jauh sekali dari membenarkan idea-idea penulis di atas. Kita meninggalkan juga syarah-syarah Hadis oleh Imam An Nawawi, Riyadhus Solihin, kitab Fathul Bari, Jamik Wal Hikam dan banyak lagi. Kita hanya sekilas pandang melihat riwayat sejarah Rasulullah SAW dari naskah Mustafa Syibaei, itupun kita tidak sempat baca dengan teliti apatah lagi menelusuri kitab yang lebih terperinci seperti al Bidayah wa an Nihayah karya ulung ibn Kathir dalam bab sejarah. Susunlah keutamaan anda. Utamakanlah terlebih dahulu mengkaji karya ilmiah dari teks yang “stand the test of time”, yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, diiktiraf oleh para sarjana ilmuan dan telah kekal memandu umat Islam.

Pilihlah ilmu, bukan sekadar fakta.

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Mu ilmu yang bermanfaat.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Ketua Penerangan Wanita ISMA
Pensyarah Perubatan, USIM

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker