PendapatUtama

Negaraku yang sedang mereka gadaikan

jalur-gemilang
Assalamualaikum w.b.t

Belum pun sempat kita berjaya membangun agenda Islam, begitu cepat mereka merangka strategi demi strategi secara halus dan ‘kreatif’. Belum sempat kita perkukuh barisan kita, datang pula idea baru atas nama ‘Negara-Ku’ yang membawa agenda  tersembunyi, Nampak seperti mahu memperbaiki kepimpinan negara tetapi yang tidak dinampakkan ialah misi-misi mencairkan identiti sebenar Islam di Malaysia. Malah disokong oleh sebuah gerakan Islam yang signifikan dalam masyarakat.

Bantu saya faham. Tolong bantu saya faham mengapa orang Islam di negara kita lebih rela memberi tampuk kepimpinan kepada orang bukan Islam dengan ‘harapan’ dan penuh ‘keyakinan’ mereka akan menjaga maslahat umat Islam?

Kalau nak dibicara tentang sejarah, rasanya sudah beberapa kali diperjelaskan kedudukan asal-usul Islam yang datang menggemilangkan Tanah Melayu, diangkat martabat rakyat yang muslim menjadi satu status ‘Melayu’. Kenapa masih ramai yang sempit dengan kalam ‘Melayu’ kepada sekadar definisi bangsa sedangkan ‘Melayu’ dalam perlembagaan merupakan satu status dengan ciri-ciri yang cukup lengkap. Pergi kaji maksud ‘Melayu’ dalam perlembagaan, Perkara 160(2). Sepatutnya status Melayu itu yang perlu dididik dan dipromosi agar lebih ramai menjadi ‘Melayu’ bukan memundurkan usaha yang telah dibuat dengan menukar identiti Islam dalam rakyat.

Cuba kita fahami situasi kedudukan Islam yang semakin meruncing di Malaysia. Sekarang ini, sudah seperti ulang tayang filem zaman dahulu. Semuanya kembali berlaku cuma kalau dahulu dalam filem hitam putih, sekarang dalam tayangan ‘warna’ filem moden. Ketika Tanah Melayu jatuh ke tangan penjajah, ia BUKAN kerana British kuat tetapi kerana pemimpin Islam yang LEMAH ketika itu. Setelah dijajah, pejuang kemerdekaan berusaha sehabis mungkin untuk memerdekakan negara, diusahakan untuk membangunkan kembali kehebatannya sehingga hari ini.

Hari ini sejarah seperti ingin kembali berulang. Pada masa kepimpinan negara yang semakin rapuh, dan tersasar daripada misi islamik yang sebenar, anasir-anasir yang ingin menjatuhkan dan memecahbelahkan orang-orang Islam datang dengan pelbagai cara kreatif dengan ‘umpan-umpan’ yang sedap untuk ditawarkan. Atas nama ‘keamanan, kesamarataan, ketelusan’, yang mana sebenarnya itu semua dah termasuk dalam konsep negara Islam. Tetapi kalam-kalam itu hadir mengambil kesempatan ‘meliberalkan’ negara kita kerana keadaan kepimpinan yang kritikal.

Mungkin  kita tiada jalan penyelesaian yang ideal sekarang untuk perbaiki kepimpinan negara, tapi takkan kita sanggup me’rela’kan pertaruhan status ISLAM dibawa oleh sekumpulan gagasan pertubuhan yang majoriti orang-orang kuat agama lain dengan penuh sangka baik hanya kerana mereka perjuangkan hak dan keadilan, maka Islam pun akan terpelihara sama? Saya rasa kita menjadi amat naïf sekali dengan pemikiran begitu.

Janganlah meletakkan harapan menggunung tanpa melihat realiti. Yakinkah anda bersama pertubuhan yang nampaknya ‘seperti’ efisien dan adil akan menyelamatkan Islam? Perlukah kita ‘memberi laluan’ kepada orang kerana kita benci dan jelak dengan kepimpinan sekarang?

Ambil iktibar kejadian Palestin yang mempunyai ‘pemikiran’ yang lebih ‘maju’. Mereka membangun kekuatan dari dalam dan yakin hanya mereka akan mempertahankan tanah mereka, agama mereka.

Sikit demi sikit lagi ‘penjajahan’ era baru sedang disusun untuk jatuhkan kepimpinan kerana marah tanpa mengira natijah yang lebih besar.

Seharusnya NGO dan persatuan Islam kini kena lebih memberi tekanan kepada parti-parti politik melayu yang perlu sedar mereka harus ‘bangkit’ perbetulkan keadaan dan menyelamatkan keadaaan sekarang, bukan menampakkan sokongan demi sokongan dengan agenda-agenda licik & halus penghapus-penghapus Islam.

Akhir sekali, saya menyeru semua sahabat seperjuangan supaya terus fokus dalam mempertahankan hak melayu dan Islam di tanah air yang tercinta ini. Mari kita mulakan dengan ambil peduli!

-NafidzRazak-
#generasiharapan
#umatberagenda

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker