PendapatUtama

Liberalisme dan kembalinya jahiliyyah moden

Peguam Tuan Muhammad Luttfi Abdul Khalid iPeguam
Sebahagian manusia tersalah anggap bahawa Jahiliyyah adalah satu zaman yang tidak bertamaddun, sebelum dan selepas kebangkitan Nabi Muhammad (s.a.w) sebagai seorang Rasul. Zaman yang di dalamnya manusia menyembah berbagai-bagai patung berhala, masyarakat yang rosak, berleluasanya perhambaan hamba abdi, ketidakadilan sosial dan penghinaan terhadap wanita merupakan ciri-ciri utama cara hidup yang jahil dan menyimpang itu.

Itu adalah gambaran sepintas lalu tentang Jahiliyyah pada kurun Ketujuh Masihi. 

Akan tetapi pada hakikatnya, Jahiliyyah bukanlah eksklusif kepada zaman tersebut semata-mata. Ia masih hidup dan bernafas kencang pada kurun ke 20 ini. Bagaimanapun, ia telah mengalami perubahan kepada satu bentuk yang berbeza tetapi halus entitinya – iaitu pada sistem, nilai dan ideologi.

Manusia tidak pernah sunyi daripada melalui dan menghadapi penjelmaan Jahiliyyah baru ini. Bentuk fizikalnya hanyalah sebuah penempatan sementara bagi suatu agenda jahat yang bersumber dari keingkaran Iblis yang berakhir dengan penyingkiran dan pengusirannya dari keridhaan Sang Pencipta.

Ia tidak keseorangan. Temannya adalah hawa nafsu manusia, sepertimana yang sudah sedia termaklum.

Jahiliyyah pada kurun ke 20 diwakili oleh pelbagai ideologi, sistem dan nilai yang bertujuan untuk mengikat manusia kepada pengabdian kepada selain Pencipta sekalian alam. Pihak yang bersubahat di dalam rencana pengkhianatan ini adalah An Nafs (hawa nafsu), yang bila sudah terlepas daripada jalan ketundukan yang tabii kepada manhaj Allah, mahu tidak mahu ia akan membelenggu minda dan tubuh badan manusia kepada penolakan terhadap segala sesuatu yang bersumber dari Yang Maha Pencipta ataupun yang diturunkan olehNya.

Justeru kita dapati terdapat beberapa percubaan (dan kegagalan) manusia untuk menawarkan kepada manusia lain satu cara hidup, moraliti, ekonomi, interaksi sosial dan “kerohanian” ciptaan manusia sendiri yang berinspirasikan hawa nafsu.

Bersandarkan alasan untuk mencapai kebahagiaan, kesempurnaan, persamaan dan pengagihan hak dan peluang, manusia bereksperimen dengan Komunisme, Sosialisme, Kapitalisme, Marxisme, Fascisme, Sekularisme dan, jenama terkini di dalam pasaran perhambaan manusia – iaitu Liberalisme.

Ia memiliki para pendokong, pemikir, institusi, dana yang melimpah ruah, pusat-pusat penyelidikan, bala tentera, panglima-panglima dan tentera pejalan kaki (termasuk cybertroopers juga!).

Bagaimanapun, Jahiliyyah akan berubah bentuk dan nama untuk menyesuaikan diri dengan realiti-realiti tempatan, bagi membolehkannya menyesuaikan diri dan akhirnya menguasai minda masyarakat umum dan mempesonakan imaginasi generasi muda dan para ilmuan mereka.

Hawa nafsu turut menyumbang kepada keadaan ini, dengan mempamerkan Jahiliyyah dalam warna-warni yang serba ranggi, perhiasan yang memukau, bayangan-bayangan yang memikat dan kehendak-kehendak syahwat. Semua ini tentulah indah pada pandangan minda dan ruh yang telah diperhambakan.

Sebarang usaha untuk membebaskan atau memerdekaan akal, jasad dan ruh ini daripada perhambaan kepada Jahiliyyah akan segera ditentang dan dipertahankan dengan ganas sekali serta dibantu dengan segala persenjataan yang dimiliki.

Tidak ada sesiapa pun yang akan selamat dan tidak ada pantang larang di dalam perancangan dan strategi Jahiliyyah. Para penentang Jahiliyyah akan diserang tanpa belas kasihan – melalui serangan peribadi, penyelewengan dan pemalsuan maklumat, putar belit fakta, ancaman dan tipu muslihat. Ia akan memperalatkan semua jenis media – bercetak dan alam maya, dan akan menghancurkan para penentang tersebut melalui Facebook, Twitter, blog, laman-laman sesawang, portal, Whatsapp, Telegram, ceramah, pengucapan, forum, diskusi, dialog dan pelbagai kaedah lain.

Akhlak dan penghormatan terhadap pihak lawan akan dikesampingkan begitu sahaja. Ini kerana Jahiliyyah akan menghancurkan nilai-nilai murni tersebut di dalam perjuangannya untuk mengekalkan kedaulatan dan dominasi.

Parti-parti politik, NGO-NGO, para pimpinan, ahli-ahli akademik dan pergerakan-pergerakan Sivil – semuanya akan direkrutkan dan dimobilisasi untuk menghadapi dan menumpaskan gerakan Pertahanan Islam ini. Segala wasilah dan strategi (sama ada bersifat moral atau sebaliknya) tidak akan dipersia-siakan. Tidak ada perbezaan sama ada kalimah “Islam” disejajarkan kepada sesebuah parti politik atau NGO. Ia tidak akan mempedulikan sama ada ikatan persahabatan atau persaudaraan akan turut terkorban.

Tidak ada mana-mana negara Islam pun yang akan dibiarkan, dan tidak ada mana-mana masyarakat Islam pun yang akan terselamat.

Seandainya sesuatu strategi atau pendekatan menemui kegagalan, Jahiliyyah akan senantiasa merangka, memperhalusi dan mempromosikan penggantinya yang serba baru.

Itu adalah akujanji Iblis sejak terciptanya zaman dan masa.

Pada hari ini, Liberalisme hanyalah satu nama baru bagi apa yang disebut sebagai Tipudaya Iblis (Talbis Al Iblis).

Ia adalah penjelmaan baru kepada Jahiliyyah.

Dan ia telah sampai di pintu hadapan rumah kita!

Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Yang Dipertua ISMA Sg Petani
Pengerusi iPeguam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker