PendapatUtama

Malaysia perlu gunakan kekuatan diplomasi untuk bantu Gaza

Malaysian Prime Minister Najib Razak ugs the son of late Hamas military commander Al-Jaabari during his visit to Al-Jaabari family in Gaza City
Walaupun negara masih dalam keadaan murung dengan tragedi MH17 yang amat mengejutkan, kemurungan itu sedikit terubat dengan kejayaan diplomasi Datuk Seri Najib dengan kumpulan pemisah di Donetsk yang diketuai oleh Alexander Borodai dalam mendapatkan kembali kotak hitam pesawat, akses pasukan penyiasat antarabangsa kepada kawasan pesawat terhempas dan lebih penting, mendapatkan kembali mayat-mayat mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut.
Rundingan di belakang tabir ini, sebenarnya adalah satu proses yang amat sukar dan berisiko, kerana kita tidak ingin mencari masalah dengan Kiev yang di belakangnya ada Eropah dan Amerika, apatah pula dengan Russia. Berunding terus dengan Borodai adalah ibarat mengiktiraf tuntutan puak pemisah Donetsk yang sedang diperangi oleh Kiev.
Apapun, kejayaan yang dipuji oleh banyak media dan masyarakat antarabangsa ini adalah satu pencapaian besar buat Malaysia kerana ketika kuasa-kuasa besar dunia saling menuding jari, Malaysia, secara khususnya Datuk Seri Najib bekerja dengan senyap di belakang tabir untuk menyelesaikan masalah dengan efektif.
Kejayaan ini membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia, walaupun kecil di mata dunia, tetapi mempunyai jiwa yang cukup besar dan sentiasa komited dalam membina dunia yang lebih aman tanpa konflik. Tidak seperti kuasa-kuasa besar dunia yang hanya jaguh dalam berkata-kata, tapi hipokrit dalam tindakan, Malaysia membuktikan sebaliknya.
Kekuatan dan kepercayaan banyak negara kepada Malaysia dalam menjalankan rundingan dan mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah bukan sesuatu yang baru, pertelagahan yang berlangsung hampir berdekad lamanya antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Manila juga telah berjaya di selesaikan dengan kekuatan rundingan dan kepercayaan kedua-dua belah pihak kepada Malaysia.
Setelah halangan terbesar dalam krisis MH17 berjaya dirungkaikan, Malaysia perlu menggunakan kekuatan diplomasi sekali lagi untuk membantu Gaza yang sedang bergolak, secara khususnya untuk membolehkan Mesir membuka sempadan Rafah tanpa sebarang sekatan bagi membolehkan ubat-ubatan, barang makanan dan bahan-bahan bantuan lainnya dibawa masuk dan juga agar mereka yang tercedera dapat dirawat di Mesir.
Malaysia, sebagai sebuah negara yang maju dan progresif, mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-dua buah negara. Beribu-ribu pelajar Mesir pernah dan kini sedang belajar di Mesir, secara khusus di Universiti Al Azhar. Selain itu, Mesir dan Malaysia juga mempunyai kerjasama dari segi ekonomi dan politik antarabangsa, terutamanya keahlian Malaysia dalam pergerakan negara-negara berkecuali yang turut sama dianggotai oleh Mesir.
Malaysia dan Palestin, secara khusus Gaza juga mempunyai hubungan yang cukup istimewa. Datuk Seri Najib mencatat sejarah sebagai ketua negara pertama yang menjejakkan kaki ke Gaza pada Januari 2013. Ketika Gaza diserang baru-baru ini, Datuk Seri Najib berhubung melalui telefon dengan Khalid Meshaal bagi menyatakan solidariti dan komitmen kita untuk membantu Gaza. Oleh kerana inilah, dalam ucapannya semalam di Qatar, Khalid Meshaal menyebut bahawa Malaysia adalah rakan istimewa bagi Gaza. Hal ini bukan sesuatu yang asing kerana selain lawatan Datuk Seri Najib, banyak NGO-NGO Malaysia seperti Aman Palestin, Aqsa Syarif, Yayasan Salam dan Viva Palestina yang aktif bergerak di Gaza bagi menyalurkan bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia dan membina kembali bandar tersebut yang teruk dimusnahkan oleh rejim pengganas Zionis.
 
Atas dasar rekod baik kita dalam diplomasi dan hubungan baik kita dengan Mesir dan Palestin, terutamanya Gaza, maka amat wajar Malaysia menggunakan kekuatan diplomasi kita untuk membantu Gaza yang sedang teruk dihentam oleh Israel. NGO-NGO Islam perlu menyuarakan hasrat ini kepada kerajaan dengan segera agar sesuatu dapat dilakukan, Apatah lagi, atas dasar semangat persaudaraan Islam, keperluan Malaysia sebagai sebuah negara Islam untuk membantu Gaza lebih-lebih lagi dituntut.
 
Mohd Hisham Mohd Sharif 
PhD Candidate 
Business School 
University of Adelaide 
South Australia, Australia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker