Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang dalam beberapa hari lagi. Lagu-lagu raya telah pun hampir sebulan dikumandangkan. Takbir raya pula mula dialunkan di mana-mana. Takbir raya di Malaysia selalunya dikaitkan dengan kesayuan, pertemuan semula setelah perpisahan yang lama, kesyahduan, kesedihan dan menguntumkan semula kenangan bersama insan tersayang.
Kelembutan alunan takbir terutamanya dalam budaya umat Islam di Malaysia seringkali melupakan kita tentang maksud sebenar di sebalik takbir dan tahmid yang dialunkan.
Sesungguhnya alunan takbir itu ialah laungan kemenangan, laungan yang menyatakan kebesaran Allah, dipenuhi pujian-pujian (tahmid) dan menyucikan Allah (tasbih) daripada segala sifat kelemahan.
Takbir ini juga diselangi oleh sebuah janji bahawa umat Islam cuma akan tunduk patuh kepada Allah dan tidak kepada selain-Nya, dengan penuh ketulusan dan keikhlasan semata-mata untuk menegakkan agama Allah, walaupun dibenci dan mendapat tentangan golongan kafir, musyrik dan munafiq.
Takbir ini juga diselangi kata-kata penuh semangat bahawa Allah yang Maha Esa telah, sedang dan akan terus menunaikan janji-Nya, menolong hamba-hamba-Nya, memuliakan tentera-tentera-Nya sebagaimana Allah telah memenangkan Rasulullah dan menghancurkan tentera bersekutu (Ahzab) dengan kekuasaan-Nya.
Inilah maksud sebenar di sebalik takbir yang dilaung-laungkan. Ini bukanlah semata-mata takbir yang menitiskan air mata insan di perantauan, terkenang ibu dan ayah di kejauhan, dan bukan pula takbir kesedihan terkenangkan insan tersayang yang telahpun meninggal dunia, jauh sekali sekadar imbauan kenangan setelah perpisahan yang lama.
Marilah kita sama-sama menghayati maksud takbir ini. Menginsafi keadaan umat yang dizalimi di seluruh dunia, mengharapkan pertolongan Allah untuk kembali memartabatkan Islam ke tempatnya yang tinggi, melangkaui segala sistem jahiliyyah yang ada. Marilah kita mengambil pedoman daripada peristiwa Ahzab, bila mana seluruh tanah arab bersatu untuk mengepung umat Islam di Madinah, angkara konspirasi jahat Yahudi untuk menghancurkan negara Islam yang baru dibina oleh Rasulullah dan para sahabat baginda.
Hari ini, sekali lagi umat Islam ditekan dalam segenap cara yang ada dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan nama. Jangan kita lupa bahawa konspirasi jahat musuh Allah untuk menghancurkan umat akan terus wujud hingga hari kiamat. Pertembungan antara haq dan batil akan terus berlaku dalam apa jua aspek kehidupan. Apa sahaja perkara yang berkait dengan Islam sedang dileraikan satu persatu sehinggalah kita dapat saksikan hari ini, sebilangan umat yang Islam pada zahirnya namun terkeliru dan bermati-matian memperjuangkan agenda yang bertentangan dengan ajaran agama Islam yang sebenarnya.
Marilah kita mengambil kekuatan dan semangat daripada lafaz takbir ini, untuk bangkit dan berusaha sedaya upaya untuk mengenal ajaran Islam yang sebenar, berusaha dan berjihad untuk menegakkannya dalam apa jua bidang kehidupan yang kita lalui.
Inilah takbir kemenangan. Inilah takbir perjuangan yang tidak akan berhenti sehingga kita bertemu Allah dengan salah satu daripada dua kemenangan, kemenangan Islam atau syahid di atas jalan-Nya.
Jangan nanti ada pula organisasi Islam yang menuntut supaya lafaz takbir raya pun diubah supaya lebih lunak kepada orang ‘non-muslim’ atas nama ‘rahmat’ dan keharmonian!
Zaizul Azizi Zaman
Aktivis ISMA