Artikel pertama saya telah memuatkan tiga cara kepemimpinan dalam rumahtangga. Saya akan menyambung perkongsian ilmu ini berkaitan dengan gaya didikan ibu bapa yang selalu digunakan dalam mentarbiah anak-anak. Saya merujuk kepada teori Psikologi Individu dalam huraian kali ini cuma bagaimanakah kita sebagai Muslim akan mengimplementasikan gaya pendidikan ini mengikut tuntutan seorang Muslim.
Ibu bapa yang selalu mendominasi iaitu bersikap autokratik akan memastikan anak-anak mereka mengikut segala arahan dan akan marah sekiranya anak-anak tidak mengikut dan melaksanakan arahan tersebut. Sikap ini menjadikan anak-anak bersikap dominan, memberontak dan suka membuli kanak-kanak yang lain. Ibu bapa yang terlalu memanjakan anak pula akan berdepan dengan kesan anak-anak yang pasif dan terlalu bergantung. Anak-anak ini tidak mampu untuk membuat keputusan sendiri dan mengharapkan ibu bapa dalam semua keadaan dalam300-209 kehidupan. Ibu bapa yang terlalu memberikan kebebasan dan tidak membimbing serta mendidik anak-anak mereka pula akan berdepan dengan anak-anak yang tiada keyakinan diri dalam menghadapi konflik serta selalu membuat tafsiran yang negatif. Manakala ibu bapa yang selalu bertoleransi, bersikap demokrasi iaitu sentiasa berbincang, mencari persetujuan dan kata sepakat akan melahirkan anak-anak yang sangat positif, berkeyakinan diri dan mampu memimpin masyarakat.
Kesinambungan dari gaya pendidikan ibu bapa akan memberikan kesan gaya hidup kepada anak-anak iaitu:
- Jenis Dominan / Active – Destructive Style
- Jenis Bergantung /Passive- Constructive Style
- Jenis Mengelak /Passive- Destructive Style
- Jenis Sosial / Active- Constructive Style
JENIS DOMINAN/ACTIVE – DESTRUTIVE STYLE
Individu jenis ini mempunyai kesedaran sosial yang rendah. Dia kurang minat terhadap kepentingan dan kebajikan masyarakat. Mereka anti- sosial dan suka menunjukkan superioriti dengan menindas orang lain. Ia berlaku secara sengaja atau tidak sengaja. Contoh:Orang kaya memberi derma kepada golongan fakir yang meminta sedekah di jalanan. Orang kaya tersebut menghulurkan sejumlah wang di hadapan khalayak ramai. Tindakan orang kaya itu bukannya didasarkan kepada anjuran Islam- infaq fisabilillah tetapi atas niat menggariskan perbezaan taraf yang jelas antara orang kaya dan golongan fakir. Kanak- kanak yang mempunyai sikap begini biasanya lebih suka berkawan dengan kanak- kanak yang lebih lemah supaya mereka senang
074-344 menguasai dan mempengaruhi kanak- kanak yang lemah tadi. Apabila dewasa, mereka lebih suka menjadi penguasa yang boleh memerintah orang lain atau pasangan mereka. Mereka akan cuba menguasai orang lain dengan menggunakan duit.Individu ini bertingkah laku tanpa melihat kepada orang lain. Sekiranya, individu ini memiliki sifat menguasai yang berlebihan, maka dia cenderung menjadi seorang yang kejam dan delinkuen.
JENIS BERGANTUNG/PASSIVE – CONSTRUCTIVE STYLE
Individu jenis ini biasanya bersikap pasif dan kurang berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebaliknya, mereka lebih suka bergantung kepada orang lain. Kanak- kanak yang bersikap begini lazimnya dimanjakan oleh kedua ibu bapa dan jarang diberi tanggungjawab sepanjang kehidupan mereka. Oleh itu, mereka membesar menjadi individu yang kurang yakin dan gemar menyerlahkan diri pada pandangan umum. Misalnya, gemar bersolek dan tampil menawan. Individu ini turut gagal menghadapi situasi yang susah dengan sabar. Baginya, segala apa yang dihasratkan mesti dapat dicapai dengan apa cara sekalipun. Bahkan, individu ini sanggup menggunakan khidmat ahli sihir untuk merealisasikan impiannya dengan mudah di samping dia tidak perlu berusaha.
JENIS MENGELAK/PASSIVE – DESTRUCTIVE STYLE
Individu yang mempunyai cara hidup jenis mengelak biasanya kurang berkeyakinan dalam menyelesaikan suatu konflik. Lazimnya, individu ini telah membuat spekulasi awal terhadap sesuatu yang masih belum sahih. Selalunya, persepsi mereka cenderung ke arah pemikiran yang negatif. Mereka turut tergolong dalam individu yang pesimis dan takut memasuki suasana baru. Mereka telah menjangkakan bahawa diri mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru itudan terus mengambil jalan untuk lari dari menyertai dalam suasana tersebut. Individu ini turut dikatakan suka mengelamun dan berfantasi akan gambaran mereka sebagai superior
JENIS SOSIAL/ACTIVE-CONSTRUCTIVE STYLE
Individu yang mempunyai cara hidup jenis sosial lazimnya membesar dalam keluarga yang saling membantu dan sentiasa memberi sokongan moral. Individu ini turut mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan sebarang masalah. Setiap tindakan mereka pula acapkali mengambil kira kebajikan masyarakat. Kepentingan masyarakat diletakkan sebagai prioriti utama dalam kehidupan mereka. Mereka tidak bersikap mementingkan diri sendiri dan mereka turut senang bekerjasama dan mudah menyesuaikan diri.
Ibu bapa haruslah sentiasa muhasabah diri dalam mendidik anak-anak agar mampu melahirkan anak-anak yang bakal memimpin generasi akan datang. Ketegasan dalam mendidik anak-anak adalah satu kaedah yang penting iaitu untuk melaksanakan aspek kehidupan yang mengikut syara’. Apa yang ibu bapa perlu faham ialah “tegas” berbeza makna dengan “garang”. Contohnya, kita perlu tegas bila menyuruh anak-anak solat dan melakukan perkara-perkara yang diwajibkan oleh Allah swt. Apa yang pasti ialah semejak anak-anak berusia 2 hingga 3 tahun kita telahpun berusaha untuk memberi galakan kepada mereka kearah mentaati Allah swt.
Tegas lebih memberi fokus kepada aspek “hikmah” dalam pendidikan anak-anak manakala garang pula memberi fokus kepada aspek “agresif” terhadap anak-anak contohnya bila anak-anak tidak melakukan apa yang kita suruh maka kita terus menghukum atau memukul tanpa memberi sebarang penerangan kepada mereka. Kita perlu terangkan kepada mereka sebelum menghukum sebagai satu kaedah untuk mendidik, bukannya menerangkan setelah kita hukum atau pukul mereka. Sewajarnya anak-anak kita perlu tahu kenapa kita marah kalau dia tak solat, kenapa dia perlu menutup aurat.
Tugas ibu bapa berikan penjelasan sebaiknya serta beri semangat dan motivasi untuk anak-anak membuat sesuatu kerana Allah swt bukannya kerana takutkan ibu, gerunkan ayah, atau takut kehilangan kasih sayang ibu ayah atau dendaan. Jangan lupa untuk memberikan ganjaran, pujian serta pengukuhan positif sekiranya anak-anak berjaya melaksanakan sesuatu perkara. Ini akan memberi motivasi kepada mereka untuk terus melakukannya dengan baik dari masa ke semasa. Sentiasalah memohon hidayah Allah swt dalam mendidik anak-anak. Mereka adalah aset masa depan yang sangat berharga, juga aset kita di akhirat kelak.
Ringan-ringankanlah badan untuk bangun solat hajat memohon petunjuk, kasih sayang serta rahmat Allah dalam mendidik dan membesarkan anak-anak kerana kadang-kadang kita buntu bila berdepan dengan konflik anak-anak dan Allah swt sebaik-baik tempat untuk kita mengadu, mengharapkan maghfirahNya dalam menelusuri rumahtangga kita. Mohonlah kesabaran dan kekuatan dalam mendidik mereka…..Wallahu a’lam bissowab.
Jika anak-anak hidup dalam kritikan, mereka akan belajar mengutuk.
Jika anak-anak hidup dalam permusuhan, mereka akan belajar bergaduh.
Jika anak-anak hidup dalam keaiban, mereka akan sentiasa berasa bersalah.
Jika anak-anak hidup dalam toleransi, mereka akan belajar menjadi penyabar.
Jika anak-anak hidup dengan sanjungan, mereka akan belajar menghargai.
Jika anak-anak hidup dengan saksama mereka akan belajar menjadi adil.
Jika anak-anak hidup dengan kesejahteraan, mereka akan hidup menjadi setia.
Jika anak-anakhidup dengan kebenaran, mereka akan belajar menghargai diri.
Jika anak-anak hidup dengan persahabatan, mereka akan belajar kasih sayang.
Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewamakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi … (riwayat Bukhari dan Muslim)
Puan Siti Aishah Hamid
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat
ISMA Alor Setar
Nota: Puan Siti Aishah Hamid adalah Kaunselor Panel LPPKN Negeri Kedah dan sekarang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Psikologi Kaunseling di Universiti Utara Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia.