Pendapat

Syeikh Ahmad Yassin yang kukenali

ahmad yassin

Sebenarnya, saya tidak pernah kenal pun beliau.

Saya hanya mula terdetik untuk ‘berkenalan’ dengan beliau di hujung musim panas tahun 2004, ketika saya baru memulakan tahun kedua pengajian di New Zealand. Pada suatu pagi saya keluar sebentar untuk mendapatkan sesuatu di stesen minyak di seberang jalan dari bilik sewa saya. Ketika asyik membelek-belek akhbar di situlah saya terbaca berita mengenai satu serangan peluru berpandu yang telah membunuh seorang pemimpin utama di Palestin (mustahil saya masih ingat tajuk artikel berita tersebut tapi saya rasa ianya yang ini:http://www.nzherald.co.nz/world/news/article.cfm?c_id=2&objectid=3556206).

Dek kerana kehairanan apabila terbaca bahawa individu yang disasarkan rupanya seorang tua lumpuh yang hanya mampu bergerak bila ditolak kerusi rodanya, saya lantas pulang bersama akhbar tersebut dan mula membuat carian internet tentang latar belakang tokoh ini dan kenapa Israel begitu bertekad mahu menamatkan riwayatnya.

Bermula dari detik itulah saya mula beransur-ansur berkenalan dengan isu Palestin dengan lebih mendalam. Sebelum itu berita-berita tentang krisis di Palestin hanya dilihat sebagai satu daripada bermacam konflik dan peristiwa lain di dunia. Tidak terasa kepentingannya dan seperti tiada apa-apa yang istimewa langsung tentangnya.

Nama Tebing Barat kadangkala ada disebut dalam siaran berita Dunia Jam 10, tetapi tidak pernah terlintas pula untuk mengambil tahu bahawa ia sebenarnya terletak di timur Palestin. Tidak pernah terbayang juga di situlah duduk letaknya kiblat pertama umat Islam iaitu Masjid Al Aqsa.

Ketika masih bersekolah, media pada masa itu seingat saya lebih banyak memaparkan berita berkenaan Israel berbanding cerita perjuangan rakyat Palestin. Saya lebih terbiasa membaca di akhbar mengenai siri peralihan tampuk pimpinan kerajaan Israel berbanding kisah kesengsaraan penduduk Palestin yang dirampas tanah dan diranapkan rumah mereka.

Peristiwa pembunuhan Yitzhak Rabin oleh pelampau Yahudi pada 1995 entah macam mana ada dalam memori saya beserta turutan Perdana Menteri Israel selepasnya, tetapi jika ditanya tentang tokoh pejuang Palestin hanya nama Yasser Arafat yang terlintas di kepala.

‘Pertemuan’ tidak sengaja dengan Syeikh Ahmad Yassin pada pagi itu telah membawa saya untuk mula belajar banyak perkara. Krisis di Palestin bukan sekadar konflik penindasan hak asasi manusia oleh penjajah Zionis ke atas penduduk asal di situ. Hakikatnya ia adalah isu terbesar umat Islam dan mempunyai kaitan langsung kepada akidah Islam yang tidak boleh ditolak ke tepi begitu saja.

Kecekalan Syeikh Ahmad Yassin dalam keadaan lumpuh mendekati dan mendidik pemuda-pemuda di Gaza (lama sebelum Hamas ditubuhkan) bukanlah supaya mereka menjadi berani sekadar untuk melastik batu ke arah tentera penjajah Israel tetapi hakikatnya beliau pada ketika itu sedang cuba menghidupkan nadi kebangkitan umat Islam di seluruh dunia.

Dan visi mulia beliau ini dapat kita saksikan semakin hari semakin menjadi realiti. Kita dapat lihat bahawa kesedaran tentang hakikat sebenar isu Palestin kian dirasai dan ini sekaligus menjadi pemangkin kepada usaha kebangkitan dan perpaduan umat Islam.

Topeng golongan Zionis yang sekian lama membonekakan kuasa terbesar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) kian dilondehkan dari hari ke hari. Tidakkah sangat menghairankan kenapa seluruh dunia masih lagi terus mengharapkan AS untuk menyelesaikan konflik Palestin ini?

Ini diikuti pula dengan pembongkaran demi pembongkaran segala jaringan subversif yang digerakkan oleh agensi kerajaan AS dengan misi untuk melemahkan cetusan kebangkitan Islam ini. Hatta di Malaysia sendiri kita sudah boleh mengenal pasti individu dan pertubuhan yang menerima sokongan dan dana kewangan untuk berfungsi sebagai proksi kepada agenda AS ini.

Kita juga dapat lihat mana-mana kerajaan negara Islam seperti kerajaan Al Sisi Mesir dan juga UAE yang masih setia menjaga ‘tuan’ mereka dengan cuba menyekat usaha menyelamatkan Palestin akan terus dikutuk dan disisihkan daripada arus perdana ini.

Lihatlah bagaimana tentera Hamas yang bergerak dengan penuh keterbatasan dan jumlah yang sedikit pun mampu untuk menewaskan serangan tentera Israel yang datang dengan segala jentera perangnya. Cuba bayangkan apa yang mampu kita capai jika seluruh umat Islam bersepakat dan bersatu padu untuk menyelesaikan krisis di Palestin ini? Sesungguhnya banyak lagi yang umat Islam dapat usahakan dan capai jika kita mengutamakan perpaduan sesama kita.

Ambillah masa untuk berkenalan dengan isu Palestin dan perjuangan saudara kita di sana daripada sumber dan media yang baik. Ini akan memastikan kita bertindak dengan betul di atas kefahaman yang jernih. Tidak sekadar itu, memahami isu Palestin dengan jelas akan membawa kita berusaha secara konsisten dan tidak hanya bermusim.

Mungkin inilah simbol keberkatan perjuangan penduduk Palestin. Pengorbanan mereka sejak sekian lama mempertahankan kedaulatan sejalur tanah air Islam itu akan terus menjadi nadi kebangkitan seluruh umat Islam. Inilah legasi para syuhada dari bumi berkat Palestin. Inilah legasi perjuangan yang diwariskan oleh Syeikh Ahmad Yassin.

‘Perkenalan’ saya dengan Syeikh Ahmad Yassin 10 tahun dulu telah mengajar saya semua ini.

Apa pula cerita anda?

Umar Hakim Mohd Tajuddin
Aktivis ISMA Gombak

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker