Krisis politik yang berlaku di Selangor pada hari ini benar-benar merunsingkan. Kemelut politik yang melanda kerajaan negeri Selangor kini mula menampakkan agenda peribadi individu tertentu. Tanpa perlu berselindung, individu itu adalah Anwar Ibrahim.
Pemecatan Khalid daripada PKR adalah kerana beliau tidak mahu mengikut telunjuk Anwar Ibrahim yang mempunyai kepentingan sendiri di dalam parti. Bermula daripada ‘langkah kajang’ segalanya telah disusun atur dengan begitu cantik untuk mengantikan Khalid Ibrahim dengan Anwar Ibrahim.
Khalid Ibrahim sepanjang menjadi Menteri Besar Selangor, dilihat sebagai seorang pemimpin yang punya karisma tersendiri. Seorang pemimpin yang berprinsip, bijak dalam urusan tadbir negeri, serta paling penting seorang yang telus. Walaupun dilihat keseorangan tanpa sokongan PKR yang memecatnya serta merta, tetapi sebenarnya ramai adun terutamanya adun PAS dan UMNO menyokong beliau.
Jika ramai orang berbicara tentang kesepakatan, inilah masanya. Sultan telah perkenan Khalid kekal sebagai MB Selangor, dewan Ulama Pas juga secara terbuka telah menyokong Khalid melalui siri-siri kenyataan mereka, kenyataan TPM (Timbalan Perdana Menteri) yang terbaru menyokong Khalid juga adalah tanda kepada persepakatan ini. Apa tunggu lagi? Khalid adalah pencetus dan Selangor adalah negerinya.
Diharap, dengan persepakatan ini akan membendung hasrat sesat mereka yang mahu meminda undang-undang tubuh negeri yang cuba mengurangkan kuasa Islam, Melayu dan Raja di negeri Selangor. Sama-samalah kita bersepakat untuk kemaslahatan Islam di bumi Selangor ini.
Melayu Sepakat, Islam Berdaulat!
Adam Ihsan
Aktivis ISMA