Sheikh Raed Solah, Pahlawan Masjid Al-Aqsa
Gelaran Sheikh Al Aqsa adalah sebuah pengiktirafan besar yang telah diberikan kepada beliau, namun apa yang lebih besar lagi adalah tanggungjawab yang diletakkan Allah pada bahunya untuk terus memelihara kesucian Masjid Al Aqsa. Namanya mungkin tak dikenali oleh masyarakat dunia yang kurang prihatin dengan isu Palestin, bahkan mungkin jarang didengari oleh sesiapa yang baru sahaja berjinak-jinak dengan isu Palestin.
Sheikh Raed Solah juga mungkin jarang disebut namanya bila mana Gaza diserang, bukan kerana kecilnya namanya mahupun kehebatannya berbanding pejuang-pejuang di dalam Briged Al Qassam, tapi sebenarnya tatkala puluhan tentera Qassam syahid di Gaza, dia pula adalah simbol perjuangan Palestin di kawasan Palestin 1948 (kawasan Palestin yang terjajah oleh Israel). Dia adalah lambang perjuangan dan semangat rakyat Palestin untuk terus tidak redha walau seinci tanah suci Palestin terjajah.
Walaupun dengan penampilan mudahnya, hanya sekadar berkemeja dan berkopiah putih, dengan senyuman yang menawan dalam kebanyakan gambarnya, dia tetap sukar dilupakan oleh Zionis Israel bahkan digeruni mereka.
Sheikh Raed Solah dilahirkan Umm Al-Fahm pada 10 November 1958. Dalam terhadnya kehidupan yang boleh dirancangnya dalam memperjuangkan Palestin dek kerana dikelilingi bangsa pengganas Zionis, ia langsung tak melemahkan semangatnya. Bahkan beliau tetap optimis untuk Masjid Al-Aqsa akan kembali bebas. Beliau kerap menyampaikan ceramah samada di dalam Palestin 1948 sendiri ataupun di pentas antarabangsa. Sheikh Al Aqsa ini sendiri pernah disumbat ke dalam penjara Israel selama beberapa tahun akibat kelantangan hujahnya. Beliau juga tegas mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada dirobohkan oleh Yahudi Zionis laknatullah.
Sheikh Raed Solah juga pernah bertandang ke Malaysia bagi menyedarkan umat Islam tentang perjuangan Palestin pada tahun 2012 yang lalu. Jelas ketokohan dan sifat pejuangnya yang perlu dicontohi oleh setiap pejuang-pejuang Islam. Masa lawatannya dioptimisasikan dengan sebaik mungkin. Dan bila beliau ditanya “Bilakah kau akan ke Malaysia semula?”, maka jawabnya optimis “Insya Allah saya tidak akan ke Malaysia lagi, selepas ini kita berjumpa di Masjid al Aqsa setelah ianya dibebaskan”.
Disediakan oleh,
Muhammad Hanis bin Mohd Ismail
Aktivis ISMA Seremban
Maklumat yg menarik. Jemput datang ke blog kak..tq..