Berita UtamaPendapatUtama

Barah anti perlembagaan – Yusri Jamaluddin

Setelah 57 tahun merdeka, Malaysia dihujani dengan pelbagai cubaan untuk merubah struktur identiti negara yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan. Kita dapat melihat bagaimana gabungan seperti COMANGO yang dianggotai oleh persatuan-persatuan seperti Sisters in Islam dan Woman’s Rights organization terus-menerus mencabar dasar-dasar perlembagaan negara di peringkat antarabangsa.  Di peringkat politik, DAP masih kekal dengan polisi parti yang menentang Perkara 153 walaupun berkali-kali cuba mendiamkan rakyat dengan mengatakan bahawa mereka pro-perlembagaan. Manakala di peringkat akar umbi pula, wujud persatuan-persatuan yang berselindung di sebalik nama-nama yang ‘patriotik’ dan propaganda-propaganda yang kelihatan seperti pro-perlembagaan akan tetapi jelas perbuatan mereka tidak melambangkan sifat patriotik yang disebut-sebutkan.

Kemunculan gerakan masyarakat sivil (civil society) sebenarnya bukanlah perkara yang baru. Di benua Eropah, gerakan ini telah berjaya meluaskan pengaruh demokrasi liberal dengan jaringannya yang meluas sehingga ke akar umbi ketika Perang Dingin antara Rusia dan Amerika Syarikat. Persatuan-persatuan seperti persatuan pelajar, persatuan penulis dan persatuan pekerja memainkan peranan dalam mewujudkan satu simbol perwakilan majoriti masyarakat walaupun hakikatnya keanggotaan persatuan-persatuan tersebut tidaklah layak untuk mewakili keseluruhan lapisan masyarakat. Akhirnya jaringan persatuan-persatuan ini berjaya menolak pengaruh pemerintahan sosialis dan sekaligus meluaskan pengaruh demokrasi liberal.

Setelah hampir seabad, satu lagi model kejayaan jaringan masyarakat sivil muncul di Amerika Syarikat apabila persatuan-persatuan hak asasi homoseksual berjaya mewujudkan sentimen pro-LGBT dalam kalangan masyarakat sehingga berjaya merubah definisi homoseksual yang ditetapkan oleh American Psychiatric Association yang dahulunya mengklasifikasikan homoseksual sebagai penyakit mental. Tidak cukup sekadar itu, pengaruh gerakan ini telah berjaya meletakkan tekanan yang cukup kuat kepada kerajaan AS sehingga hari ini, 19 negeri di Amerika Syarikat telah meminda perlembagaan mereka untuk membenarkan perkahwinan sejenis atas nama kebebasan. Baru-baru ini, sebuah gerakan telah muncul untuk memperjuangkan kebebasan wanita untuk tidak berpakaian di tempat awam serta media massa yang mana semuanya bertindak atas nama kebebasan mutlak dan kesamarataan.

Pada hari ini, Malaysia yang telah merdeka selama 57 tahun masih lagi menghadapi cubaan demi cubaan untuk merubah struktur identiti negara dalam bentuk yang lebih kurang sama. Baru-baru ini, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, seorang pakar perlembagaan, menarik diri daripada menyertai sebuah forum yang bertajuk, “Raja, Islam dan Melayu dalam Perlembagan: Relevan lagikah di Malaysia?” anjuran Sispro, KITA dan IKRAM Siswa.  Syabas saya ucapkan kepada Prof Shamrahayu kerana bertindak atas dasar prinsip serta tidak melibatkan diri dalam sebarang usaha mempersoalkan perlembagaan.

Terdapat dua kesilapan penganjur yang tidak menggambarkan sikap patriotik mereka  terutama dalam usaha menyambut Hari Malaysia pada 16 September. Yang pertama, tajuk yang diberikan jelas menimbulkan persepsi awal yang negatif yang secara tidak langsung telah menanam satu pendapat yang negatif sebelum permulaan forum lagi. Yang kedua, moderator yang dipilih iaitu saudara Wan Ji, juga mempunyai pendirian jelas menentang sistem raja, jabatan-jabatan agama Islam serta kedudukan istimewa orang Melayu. Tidak dapat tidak, kedua-dua perkara tersebut tidak langsung menggambarkan semangat patriotik terhadap identiti negara serta sikap neutral yang seharusnya menjadi asas sesebuah perbincangan atau forum.

Pertubuhan IKRAM yang merupakan pertubuhan induk IKRAM Siswa juga haruslah berhati-hati dalam menjalankan sebarang kerjasama agar dapat menegakkan prinsip yang sepatutnya mereka perjuangkan yakni menyemai perpaduan berasaskan perlembagaan. Kebelakangan ini, saya melihat bahawa perjuangan IKRAM untuk menggalakkan perpaduan berasaskan Perlembagaan Persekutuan lebih menjurus kepada satu seruan yang retorik.

Pada 12 Ogos 2014, sebuah forum antara PAS, ISMA,HAKIM dan IKRAM telah dijalankan untuk membincangkan tentang isu perpaduan nasional. Semasa sesi soal jawab forum tersebut, seorang penonton menanyakan soalan kepada Saudara Zaid Kamaruddin tentang perpaduan negara yang boleh dibina berasaskan sikap hormat-menghormati terhadap garis serta limitasi hak-hak yang diperakui. Saudara Zaid menjawab persoalan tersebut dengan menyatakan bahawa walaupun perlembagaan negara adalah perbatasan, dialog adalah lebih penting untuk dijalankan dan artikel 153 dalam perlembagaan masih mampu untuk dipinda. Secara jujurnya saya berasa amat kecewa dengan kenyataan Saudara Zaid kerana ia secara tidak langsung menunjukkan sikap IKRAM dan Negara-Ku yang tidak setia terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, ingin saya serukan kepada semua rakyat Malaysia tentang satu formula perpaduan yang mudah; ayuh kita kembali kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan asas identiti negara Malaysia semenjak sekian lama. Kita tidak memerlukan lagi golongan-golongan yang tidak setia kepada perjanjian-perjanjian yang telah dipersetujui dan harus dihormati. Kita menolak jaringan persatuan-persatuan yang jelas menolak asas-asas yang termaktub dalam perlembagaan. Negara Malaysia bukanlah tempat yang selayaknya buat parti dan persatuan yang tidak bersetuju dengan identiti negara Malaysia yang berasaskan perlembagaan.

Ayuhlah Malaysia, kita merdeka daripada barah anti-perlembagaan!

Mohammad Yusri Jamaluddin
Aktivis ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker