Erdogan vs Hizmet
Krisis dalaman AKP antara Erdogan dan pendukung Hizmet (Gulen Movement) boleh kita kategorikan sebagai gelombang ketiga dalam usaha menjatuhkan pemerintahan Erdogan oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya selepas peristiwa Ergenekon pada tahun 2007 dan protes Ghazi Park pada Mei 2013.
Namun, apa yang menarik pada kali ini adalah penglibatan Hizmet (English : The Service) yang telah lama menjadi sekutu politik kepada pemerintahan Erdogan. Krisis Erdogan dan Hizmet ini mula mencapai kemuncaknya apabila pendukung Hizmet yang sangat signifikan penglibatan politik mereka di dalam birokrasi Erdogan tidak berpuas hati dengan arahan oleh Erdogan untuk menutup sekolah prep mereka ataupun Dershane yang menjadi sumber pendapatan Gulen Movement dan juga medium untuk mereka merekrut ahli baru.
Sebelum berlakunya isu Dershane ini, spiritual leader mereka, Fethullah Gulen sudah menyatakan rasa tidak puas hati beliau terhadap pemerintahan Erdogan beberapa tahun kebelakangan ini. Gulen begitu kecewa dan tidak berpuas hati terhadap beberapa dasar yang telah dilaksanakan oleh pemerintahan Erdogan antaranya beliau tidak bersetuju dengan pendekatan Erdogan memutuskan hubungan diplomatik terhadap Israel selepas peristiwa Mavi Marmara pada tahun 2010.
Ideologi dan pendekatan Fethullah Gulen sememangnya diketahui ramai lebih bersifat pasif ataupun zero-problem with neighbouring country. Beberapa dasar dalam negara yang telah dilaksanakan oleh Erdogan yang cenderung kepada proses islamisasi di Turki juga tidak disukai oleh Hizmet kerana mereka berpendapat ianya akan menyebabkan kuasa barat terutamanya kesatuan Eropah(EU) tidak akan duduk senang melihat perkembangan Turki.
Pada Mei yang lepas, ketika lawatan kerja Erdogan ke Amerika juga memberikan petunjuk hubungan yang semakin keruh antara dua figur besar Turki ini iaitu Erdogan dan juga Fethullah Gulen. Ramai yang meramal Erdogan akan membuat pertemuan bersama Gulen yang hidup dalam self-exile di Pennsylvania untuk mencari jalan kepada solusi masalah ini. Namun, apa yang berlaku, Erdogan hanya menghantar timbalannnya, Bulent Arinc sebagai wakilnya untuk bertemu Gulen.
Isu Dershane bukanlah satu-satunya isu yang menjadi punca kepada ketegangan antara dua buah kelompok islamis ini, tetapi satu lagi isu yang terbesar yang melanda krisis kepimpinan Erdogan iaitu, pendedahan skandal rasuah yang melibatkan figur-figur yang berprofil tinggi daripada AKP. Sebelum itu, beberapa orang MP(Member of Parliament) AKP daripada Hizmet telah meletak jawatan antaranya Hakan Sukur, timbalan Mayor di Istanbul. Skandal rasuah yang berprofil tinggi ini telah menyenaraikan beberapa orang figur AKP antaranya anak kepada menteri ekonomi dan menteri dalam negeri.
Erdogan telah mendakwa pendedahan skandal rasuah ini adalah aturan tangan-tangan luar yang tidak berpuas hati dengan demokrasi yang telah mereka kecapi selama ini. Beberapa hari sebelum pihak polis mendedahkan skandal rasuah berprofil tinggi ini, Duta Amerika ke Turki, Francis Riccardione telah membuat pertemuan bersama duta-duta Kesatuan Eropah (EU) dan mengeluarkan satu kenyataan yang berbunyi “You will watch the fall of empire”.
Sebelum ini, sebuah badan amil zakat yang berpusat di Jerman, Deniz Feneri telah didakwa oleh mahkamah Jerman atas alasan menyalurkan wang charity untuk kegunaan AKP dalam pilihan raya. AKP mempunyai jaringan NGO di seluruh dunia terutamanya di benua Eropah. NGO di luar negara ini ditugaskan untuk menjaga kebajikan masyarakat Islam terutamanya bangsa Turki di negara-negara Eropah.
Hizmet adalah sebuah badan kebajikan yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Turki dan juga di dalam birokrasi Erdogan. Hizmet mempunyai ramai ahli di dalam struktur organisasi polis terutamanya di bahagian perisikan dan juga di dalam struktur kehakiman. Peristiwa Ergenekon yang telah berjaya menggagalkan cubaan rampasan kuasa terhadap Erdogan juga adalah kejayaan pihak perisikan polis yang membongkar rancangan tersebut dan rata-ratanya mereka mempunyai hubungan dengan Hizmet. Tanpa penglibatan Hizmet dalam peristiwa Ergenekon ini, Erdogan akan mengalami nasib yang sama seperti mentornya, Erbakan yang dipaksa meletak jawatan oleh tentera pada tahun 1997.
Hizmet juga mempunyai ramai ahli yang berpendidikan tinggi. Hizmet adalah penyumbang undi kepada AKP daripada golongan-golongan high-class di Turki. Golongan-golongan high-class ini kebanyakannya berada di bandar-bandar besar seperti Istanbul, Ankara, Izmir, Bursa dan lain-lain.
Beberapa faktor penyebab yang boleh dirumuskan kepada krisis antara Erdogan dan Hizmet antaranya :
Menghapuskan pengaruh Gulen di dalam birokrasi Erdogan
Satu strategi yang harakah Islam perlu untuk contohi daripada pengalaman politik islamis di Turki yang tadarruj fid dakwah (berperingkat di dalam dakwah). Ketika awal AKP memegang kerajaan, mereka dilihat sebagai golongan yang moderate dan accomodative dengan sekularisme dan juga hegemoni barat. Peristiwa serangan ke atas Iraq pada tahun 2003 memberikan cabaran yang sangat besar kepada AKP di mana Amerika mahu menggunakan ruang udara dan darat Turki untuk serangan ke atas Iraq. Kebijakan politik Erdogan berjaya menggunakan kuasa legislatif (Grand National Assembly) Turki untuk tidak membenarkan Amerika menggunakan ruang udara dan darat Turki untuk menyerang Iraq pada waktu tersebut. Mereka juga tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan proses-proses islamisasi selepas berjaya memegang kerajaan.
AKP memegang tampuk kerajaan daripada parti sebelumnya, iaitu parti sekular CHP terpaksa menanggung krisis ekonomi negara yang sangat teruk pada waktu tersebut dengan pendapatan negara yang sangat rendah dan kadar pengangguran yang begitu tinggi sehingga mencapai angka 30%. Dengan keadaan ekonomi dan krisis dalaman kerajaan dengan penduduk Kurdish di timur Turki pada waktu tersebut menyebabkan Kesatuan Eropah tidak berkenan untuk menerima permohonan Turki menyertai Kesatuan Eropah(EU) sehinggalah Eropah mengalami krisis ekonomi dan pada masa yang sama Turki semakin kukuh ekonominya membuatkan Kesatuan Eropah (EU) menginginkan Turki menyertai mereka seolah-olah Turki dilihat sebagai negara penyelamat kepada krisis ekonomi mereka.
Turki juga menjadi negara yang mempunyai kemampuan yang kuat dalam ketenteraan di dalam NATO (North Atlantic Treaty Organization). Turki merupakan negara ke-2 terbesar dalam kekuatan ketenteraan. Hal ini menyebabkan Amerika tidak ingin melihat sekutunya ini menarik diri daripada bersama mereka kerana Amerika bimbang apabila keluarnya Turki daripada NATO akan menyebabkan pengaruh Rusia semakin meningkat di Asia Tengah. Turki juga mempunyai peranan yang besar di dalam NATO dan Amerika meletakkan kepercayaan untuk meletakkan persenjataan nuklearnya di negara Turki.
Dasar Turki di permulaan kerajaan AKP menampakkan mereka pro-Amerika dan Pro-Israel. Di samping itu, kerajaan AKP terus menguatkan peranan mereka di dalam NATO dan juga berusaha untuk menjadi anggota penuh EU. Mereka juga mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Iran walaupun negara tersebut menghadapi sekatan antarabangsa. Hubungan mereka dengan negara-negara Arab juga dikembalikan selepas lama terputus ketika CHP memegang kerajaan. Strategi dasar luar yang dilaksanakan oleh politikus yang bijak, Ahmet Davutoglu ini sebagai mengimbangi monopoli daripada kuasa luar.
Dasar luar Turki selepas pilihan raya umum 2011 lebih menampakkan peranan mereka di peringkat antarabangsa. Turki lebih tegas terhadap kebiadaban Israel dan menyokong sepenuhnya kerajaan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Keberjayaan dasar luar yang lebih agresif ini adalah disebabkan oleh kestabilan ekonomi di Turki di bawah pemerintahan Erdogan yang berjaya memberikan khidmat yang baik kepada kepentingan nasional serta kebijakan Erdogan dalam menghadapi isu etnik Kurdish yang telah menjadi masalah peringkat nasional Turki sejak berpuluh tahun lamanya. Kecemerlangan pemerintahan AKP membuatkan rakyat tidak mempunyai pilihan lain selain daripada AKP untuk menerajui kerajaan walaupun terdapat sebahagian besar lebih suka dengan dasar sebelumnya, zero-problem dengan negara sekitar kerana parti pemerintah sebelum ini tidak pernah berjaya dalam menyediakan kondisi yang baik kepada civil society di Turki.
Kebijakan Erdogan dalam berpolitik telah berjaya mengubah persepsi kuasa barat terhadap Turki daripada negara yang hanya dijadikan sebagai sekutu tradisional kepada negara yang mampu menjadi suara umat islam sedunia, negara yang mampu berkhidmat untuk rakyat dan juga negara yang mampu menolak untuk tunduk kepada kekuasaan asing.
Penutupan sekolah prep Dershane oleh Erdogan adalah berdasarkan alasan sekolah-sekolah tersebut tidak memberikan pendidikan yang adil dan hanya memberikan peluang pendidikan kepada golongan elit sahaja.
Beberapa pendekatan Fethullah Gulen yang bersikap accommodative dan playsafe terhadap langkah-langkah menuju islamisasi oleh Erdogan juga boleh dijadikan penyebab kepada keputusan untuk menutup sekolah prep ini dan bukanlah atas alasan ketidakadilan pada pendidikan yang disediakan. Secara terus-terangnya Erdogan cuba untuk menyekat pengaruh Gulenisme ini daripada terus menjadi duri dalam daging kerajaan pimpinannya.
Walaupun isu sekolah prep dilihat sebagai isu yang sangat mudah ataupun simple buat sesetengah orang dan kenapa Erdogan tidak memberi muka kepada Hizmet di atas isu ini. Hakikatnya, telah banyak peluang dan faedah diberikan Erdogan kepada Hizmet sepanjang AKP memegang kerajaan antaranya ramai daripada kalangan pendukung Hizmet diserapkan ke dalam birokrasi Erdogan, telah banyak kedutaan-kedutaan dibuka untuk memastikan aktiviti Hizmet di seluruh dunia berjalan dengan baik. Hizmet memiliki beribu sekolah prep di seluruh dunia.
Campur Tangan Kuasa Luar dalam menjatuhkan pemerintahan Islam
Duta Amerika ke Turki Francis Riccardione, ketika dalam pertemuan bersama duta-duta Kesatuan Eropah (EU) beberapa hari sebelum pendedahan skandal rasuah AKP telah membuat suatu kenyataan yang berbunyi “you will watch the fall of an empire”. Reaksi duta Amerika ini telah membuatkan Erdogan membuat satu dakwaan pendedahan dan penangkapan figur-figur berprofil tinggi AKP ini adalah satu campur tangan mereka yang tidak senang melihat pencapaian demokrasi yang telah mereka kecapi.
Amerika menggunakan Hizmet yang dikawal oleh Gulen di Pennsylvania untuk menjatuhkan kredibiliti AKP. Isu yang ditimbulkan juga adalah penglibatan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan AKP dalam import minyak dan gas daripada Iran dan juga projek-projek mega peringkat nasional. Iran yang terdesak akibat daripada sekatan ekonomi antarabangsa mendapat belas kasihan daripada Turki yang bersetuju untuk mengimport minyak dan gas daripada Iran.
Fethullah Gulen membalas tuduhan Erdogan bahawa Hizmet menjadi ejen barat dalam usaha menjatuhkan kerajaannya melalui pendedahan skandal rasuah dengan kenyataan “May Allah rain fire upon their [the thieves’] houses”.
Seterusnya, sebuah badan amil zakat di Jerman, Deniz Feneri juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa kepada agenda barat dalam merosakkan pemerintahan AKP. Lembaga amil zakat dan kebajikan ini didakwa di mahkamah Jerman kerana menyalurkan wang kebajikan secara haram kepada AKP untuk kegunaan kempen pilihan raya 2011.
Beberapa outcomes yang boleh diramal untuk krisis antara Hizmet dan Erdogan antaranya :
Kedudukan dan Pengaruh Erdogan semakin meningkat
Di sebalik krisis dalaman yang memuncak pada kali ini, Erdogan yang mempunyai ramai penyokong di kawasan Anatolia sudah pasti akan mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi sekarang ini. Penyokong-penyokong di wilayah Anatolia terkenal sebagai mereka yang dikategorikan sebagai golongan kelas sederhana dan juga golongan islamis yang conservative. Skandal rasuah memberikan impak yang besar kepada kepercayaan golongan ini kepada Erdogan kerana golongan kelas sederhana Anatolia ini hanya menumpukan kepada pencapaian ekonomi dan ketelusan birokrasi pihak kerajaan sahaja.
Jika Erdogan berjaya menjadi juara kepada krisis ini sudah pasti beliau akan mendapat dokongan dan sokongan yang lebih kuat daripada penduduk-penduduk Anatolia. Erdogan yang dikenali sebagai pemerintah yang autoritarian akan berjaya menyekat ideologi politik yang tidak sehaluan dengan ideologi politik AKP seperti yang diimani oleh sufi Hizmet.
Jika Erdogan tidak berjaya, kredibilitinya sebagai pemimpin terbaik sepanjang era Republik Turki akan terjejas dan peluang beliau untuk menduduki kerusi Presiden yang dipilih secara demokrasi menggantikan rakannya, Abdullah Gul akan menjadi sukar.
(Kini, terbukti sokongan terhadap Erdogan meningkat setelah beliau berjaya memenangi kerusi Presiden dengan undi sebanyak 52%.)
Plot Pembunuhan Erdogan Oleh Hizmet
Perkara ini yang dikhuatiri oleh kita semua jika ianya terjadi. Tangan-tangan barat yang menggunakan kelebihan yang ada pada Hizmet akan cuba melakukan apa sahaja untuk menghapuskan islamis daripada pemerintahan Turki. Seperti yang sudah kita ketahui, Hizmet mempunyai ramai daripada kalangan mereka di dalam struktur organisasi polis terutamanya cabang perisikan.
Ketika terdedahnya segala perancangan di dalam sebuah dokumen peristiwa Ergenekon beberapa tahun yang lalu, antara kandungannya adalah rancangan pembunuhan figur-figur politik yang berprofil tinggi dan juga rancangan pengeboman tempat-tempat bersejarah di bandar Istanbul. Golongan Ultra Nasionalis yang mendapat sokongan dan tajaan barat ini sanggup untuk melakukan apa sahaja demi memastikan rancangan mereka berjaya.
Tidak mustahil perkara ini boleh berlaku di pihak Hizmet.
Hizmet berubah alliansi kepada parti sekular
Keadaan politik pada masa ini lebih kepada AKP vs Hizmet+Parti Sekular. Parti sekular kemalism CHP (Cumhuriyet Halk Partisi) menjadi parti yang bersorak gembira di atas krisis dalaman AKP. Parti ini lebih dikenali sebagai parti yang menjaga ideologi kemalisme yang sekular namun sudah mula bertolak ansur dengan agama kebelakangan ini.
Dikhuatiri pada pilihan raya akan datang Hizmet akan memberi sokongan dan menjadi sekutu kepada CHP. Perkara ini akan memberikan kesan yang besar kepada suara majoriti (ra’yul am) AKP. Sokongan politik AKP terbahagi kepada dua iaitu golongan high-class dan penduduk Anatolia. Walaupun majoriti penyokong AKP adalah daripada penduduk Anatolia, jika Hizmet mengubah political allignment mereka kepada CHP, AKP akan kehilangan bandar-bandar besar seperti Istanbul dan Ankara pada pilihan raya tempatan Mac nanti.
Hizmet menubuhkan parti politik baru
Hampir mustahil jika diandaikan Hizmet untuk membuat parti baru kerana matlamat utama pergerakan Hizmet ini adalah bersifat intelektual dan kebajikan. Bukanlah bermotifkan politik. Tetapi masih ada kemungkinan untuk mereka menubuhkan parti politik yang baru untuk menyaingi ideologi AKP.
Jika perkara ini terjadi, kita akan melihat perpecahan kepada undi umat Islam di Turki di antara dua golongan islamis.
Krisis Hizmet dan Erdogan memberikan kelebihan kepada mereka yang tidak berpuas hati melihat Islam memegang kuasa di Turki. Krisis yang berlaku sekarang ini mengingatkan saya kepada sebuah hadis Rasulullah SAW :
Khabbab bin Aris menceritakan bahwa pada suatu hari Rasulullah memanjangkan solatnya, sehingga setelah selesai solat, sahabat bertanya
“ Ya Rasulullah,engkau melakukan solat begitu lama tidak seperti solat lain.”
Rasulullah saw menjawab: “Benar, dan dalam solat itu aku mendapatkan sesuatu yang menyenangkan dan sesuatu yang menyedihkan, kerana sesungguhnya aku dalam solat tadi telah meminta kepada Allah 3 perkara, maka Allah mengabulkan 2 daripada permintaanku, dan menolak satu permintaanku. Aku meminta kepada Allah agar umatku tidak akan pernah dibinasakan dengan penyakit, maka Allah mengabulkannya; kemudian aku meminta kepada Allah agar umatku tidak akan pernah dikalahkan oleh musuhnya, dan Allah mengabulkan permintaan tersebut; dan pada waktu aku meminta agar umatku tidak menyakiti satu dengan yang lain, maka Allah tidak mengabulkan permintaan tersebut.” (Hadis sahih riwayat Tirmidzi )
Azry Hafify Mustapa
Aktivis ISMA
*Artikel ini telah disiarkan di www.azrymustapa.com pada bulan Januari 2014.