Berita UtamaPendapatUtama

Islam jalan keluar kemelut politik

Politik bukan sekadar pilihan raya - Gambar hiasan.
Politik bukan sekadar pilihan raya – Gambar hiasan.

Kebelakangan ini, kita melihat di kalangan anak muda kita semakin serius dengan isu-isu politik. Mereka yang mengamati isu-isu tersebut, akan mendapati pelbagai respons yang sarkastik, penuh beremosi, tidak beradab, menghamburkan kata makian. Saya akui, tidak kurang juga yang lebih berhati-hati dan berilmiah dalam mengeluarkan buah pandangan.

Dari satu sudut, ini satu perkembangan positif. Di satu sudut yang lain, ada ancaman yang tersembunyi jika pemuda-pemudi tersebut tidak ditanamkan dengan ilmu pemahaman aqidah secara syumul.

Sebagai umat Islam kita harus berusaha mengamalkan Islam secara keseluruhan kerana di dalamnya ada akidah, ibadah, ekonomi, politik, akhlak, sosial dan sebagainya. Jika kita melihat Islam hanya dari satu sudut iaitu ekonomi sahaja tanpa melihat soal akidah, ibadah, akhlak, sosial, politik dan sebagainya, maka perbincangan tersebut akan kosong dari sudut akidah, ibadah dan akhlak. Maka jadilah kita seperti negara-negara yg dikatakan kononnya lebih Islamik sedangkan di belakang ekonomi negara tersebut segala bentuk kemaksiatan seperti pelacuran, penjualan arak secara terbuka, pornografi dan perjudian yang dibiarkan berleluasa.

Demikian juga janganlah kita terlalu ghairah berpolitik hingga segala panduan hidup akan berpaksikan assobiyah parti politik umpamanya slogan Asalkan Bukan UMNO (ABU) yang mampu membutakan neraca penilaian dari soal akidah dan akhlak muslim, persaudaraan Islam dan sebagainya yang menjadi tuntutan agama. Manakala parti pemerintah di peringkat pusat janganlah pula memusuhi negeri yang diterajui parti lawan seperti di negeri Kelantan. Kelantan Darul Naim adalah teras kenegerian kebangsaan Melayu yang berisi dengan unsur keislaman yang kuat. Adalah pelik apabila Kelantan dimusuhi oleh bangsa Melayu dan umat Islam sendiri hanya disebabkan perbezaan politik semata-mata.

Malah, memburukkan lagi keadaan ajaran Islam yang sebenar itu diselebungi oleh kejahilan umat Islam sendiri. Di satu spektrum, umat Islam yang jahil akan agamanya mencampuradukkan ajaran Islam dengan amalan khurafat manakala di satu spektrum pula Islam dicampuradukkan dengan ideologi asing. Maka terikut-ikutlah kumpulan tersebut dan termasuk di dalam penyelewengan ideologi seperti yang dirancang melalui RAND Corporation, lalu dipersembahkan kepada dunia, inilah Islam moderat atau Islam progresif.

Bagaimanakah caranya untuk memulihkan kesakitan dan penderitaan umat ini? Bagaimanakah mahu dikembalikan agar agama ini agar berjalan menurut kehendak Allah?

Hakikatnya, matlamat dakwah kita sebagai umat Islam harus dilihat secara keseluruhan dan bukannya juz’iyyah semata. Saya akui, ia bukanlah mudah namun saya suka mengambil panduan daripada nasihat Hasan An-Nadwi rahimahullah di dalam risalahnya أريد أن أتحدث إلى الإخوان (aku ingin berbicara dengan Ikhwan al-Muslimin) ditulis selepas kematian Hasan Al-Banna rahimahullah dan seharusnya menjadi panduan buat mereka yang mendokong perjuangan Islam:

“Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur.

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya….istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan ALLAH. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan.”

Kita juga dapati ada yang mungkin kecewa dengan gerakan Islam di tanahair, lalu mula tertarik dengan gerakan sosialis demokratik mahupun liberal pluralisme. Maka lahirlah dari situ gadis berpurdah yang mengatakan tiada salahnya menyertai gerakan seumpama ini kerana ia lebih menghampiri Islam.

Saya katakan betapa besarnya perbezaan dan matlamat yg mahu dituju antara Islam dan ideologi-ideologi tersebut. Betapa besarnya perbezaan natijah dari kemenangan pendokong Islam dengan natijah yang diimpikan pendokong sosialis demokrat mahupun liberal pluralisme.

Dalam pergolakan politik dunia dan perjuangan ideologi yang pelbagai, umat ini harus berpegang teguh pada ajaran Islam agar bangsa ini menjadi umat yang sederhana di tengah dunia agar dijadikan contoh kepada seluruh ideologi manusia.

Kita harus beramal dengan Islam dan menyingkirkan segala fahaman yang sesat, merugikan hidup dan dibenci Allah swt.

Sekali lagi Hassan An-Nadwi rahimahullah berpesan dengan baik dalam hal ini:

“Sebabnya, cara untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan cara dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia – dengan izin ALLAH – dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab (ideologi-ideologi) yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah ALLAH dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang ALLAH sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kesian kasih kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.”

Maka umat Islam harus menghindari perpecahan dan tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam, tata tertib sopan bangsa Melayu. Kita wajib mendalami dan mempelajari ilmu Islam dan melepaskan diri daripada tertipu dan diperbodohkan oleh politik kepartian. Kita wajib membersihkan pendidikan, media massa dan mengawal hiburan terlampau yang menjadikan anak kita sesat, keliru dan terjejas aqidahnya.

Di sinilah kita memerlukan Arus Baru yang mampu menjadi alternatif yang mengajak manusia ke arah amar ma’ruf dan menolak kemungkaran serta beriman kepada Allah. Kita memerlukan Arus Baru yang mengajak umat Islam agar mengamalkan Islam secara keseluruhan merangkumi aspek akidah, ibadah, ekonomi, politik, akhlak, sosial dan sebagainya. Kita memerlukan Arus Baru yang mengutamakan pemerintahan secara adil, hidup aman damai, saling hormat-menghormati dan menolak desakan golongan liberal ekstrimis dan chauvinis yang sering menganjurkan serta mengadu dombakan sesuatu bangsa merebut hak org lain atau bangsa lain.

Akhirnya, kepada Allah kita serahkan segala urusan.

Abu Ameen
Aktivis ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker