Oktoberfest di Melaka: Ke manakah visi Ketua Menteri?
Saya yakin Datuk Seri Ir Idris Haron sendiri sebenarnya kurang selesa dengan jawapan beliau ketika cuba mempertahankan penganjuran Oktoberfest di Melaka sebagai sebuah tarikan pelancong.
Masakan tidak. Apakah yang kurangnya pada Melaka sehinggakan Ketua Menterinya itu perlu membenarkan pesta budaya asing diimport ke negeri bersejarah itu hanya dengan alasan untuk menarik pelancong?
Bukan sekadar acara kebudayaan biasa-biasa, tetapi pesta arak yang berasal nun jauh dari Jerman sana. Berhempas-pulas umat Islam mendesak kerajaan negeri di Selangor membatalkan pesta yang sama daripada dianjurkan, tiba-tiba ketua kerajaan negeri Melaka dengan mudah memberi kebenaran. Linggi yang kena serang, Riau pula yang alah.
Alasan yang dihulurkan amat lemah dan tidak memberi apa-apa kredit kepada Ketua Menterinya yang digambarkan sebagai seorang yang bervisi jauh dan sedar akan kelebihan dan kekuatan negeri yang ditadbirnya.
Perlu diingat, Melaka pada era kegemilangannya merupakan sebuah kerajaan Islam terulung di rantau ini dan legasi tersebut tidak boleh dibuat-buat lupa begitu sahaja. Hakikatnya, Melaka dengan sejarah ketamadunan yang menjangkau ratusan tahun mempunyai pelbagai aspek kebudayaan untuk diketengahkan sebagai tarikan.
Sudah berabad lamanya Melaka merdeka daripada penjajahan Portugis dan Belanda. Mengapa hari ini Ketua Menterinya tak semena-mena mahu membuka sendiri sempadan negeri kepada penjajahan Jerman pula? Jika penjajahan dulu meruntuhkan kesultanannya, penjajahan kali ini nampaknya akan merosakkan sejarah dan budaya negeri ini pula.
Melaka perlu mengambil contoh ketegasan kerajaan negeri Johor yang pantas menyekat cubaan penganjuran acara negatif tersebut di Johor pada tahun ini. Ketegasan begitu seharusnya dipuji dan ia menunjukkan kematangan kepimpinan negeri Johor yang tidak berkompromi akan sensitiviti dan kepentingan sosial penduduk semata-mata untuk mengejar keuntungan.
Kita semua maklum hasil negeri Melaka sangat bergantung kepada kedatangan pelancong. Tetapi kerajaan negeri tidaklah berada dalam keadaan terdesak sehingga perlu menganjurkan acara sedemikian. Bahkan, sasaran kedatangan 15 juta pelancong pada tahun ini sudah semakin hampir dicapai.
Kerajaan negeri sewajarnya melipatgandakan usaha untuk memanfaatkan sepenuhnya status Bandaraya Warisan Dunia yang dianugerahkan oleh UNESCO sejak 2008 dan menterjemahkannya kepada hasil pelancongan.
Satu kajian pada 2013 oleh Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UKM mendapati sekitar 79% pelancong di Melaka memilihnya sebagai destinasi percutian adalah kerana kepelbagaian tapak bersejarah dan juga status Bandaraya Warisan Dunia yang dimilikinya.
Nah, itulah ‘niche’ pelancongan yang seharusnya ditumpukan semahunya oleh kerajaan negeri! Tidak perlulah terkial-kial bereksperimen dengan pesta hedonistik dan arak yang akan membawa masalah lain pula ke negeri yang majoritinya umat Islam itu. Tuba habis, ikan pula langsung tak dapat.
Merujuk kepada kalendar pelancongan negeri bagi tahun ini, pesta arak Oktoberfest ini langsung tidak termasuk dalam yang telah dirancang. Jadi apakah sebab yang membuatkan kerajaan negeri tiba-tiba meluluskan acara ini? Tambahan pula, penganjurannya langsung tidak menepati tema ‘Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia’ yang diiklankan seluruh negara.
Jika Ketua Menteri sekadar ingin menjaga hati sebahagian penduduk Melaka (baca: undi mereka) lalu berasa perlu meluluskan pesta ini, saya cadangkan supaya beliau meningkatkan promosi dan menumpukan lebih usaha untuk memeriahkan Festival Baba Nyonya yang dijadualkan dianjurkan pada Disember nanti.
Jika saya seorang Cina, saya akan berasa sangat gembira dengan usaha tersebut kerana ia menunjukkan kerajaan negeri menghargai budaya saya dan memberi peluang kepada belia kaum saya menelusuri sejarah asal usul mereka di sini.
Saya lebih gembira kerana mereka tidak cuba dicemarkan dengan arak ataupun hiburan tanpa sempadan yang tidak membina identiti seperti Oktoberfest.
Ataupun paling kurang, kerajaan negeri boleh cuba memulakan pesta tradisi yang baru. Contohnya anjurkan Pesta Sate Celup & Cendol setiap tahun bermula tahun ini. Dua juadah istimewa ini jelas beridentitikan Melaka.
Jika bersungguh dan kena caranya, tidak mustahil acara ini akan ditiru oleh bandar-bandar di negara lain pada masa akan datang. Penduduk di desa-desa Bavaria dahulupun tak pernah terfikir yang pesta arak mereka akan ditiru sehingga ke Melaka jauhnya.
Kepada Ketua Menteri Melaka yang dihormati, tepuk dada tanyalah iman. Sepahit-pahit mambu, kelatnya menjadi ubat.
Umar Hakim Mohd Tajuddin
Aktivis ISMA