Menjawab Pak Ulil Abshar – Muhammad Aiman Ahmad Faudzi
Ini bukan soal hidup dalam kepelbagaian atau umat Islam di Malaysia ini bersifat ekslusif, tidak inklusif ataupun paranoid terlebih. Bukan juga tidak berani berbicara kepada ideologi bertentangan ataupun berwacana ilmu.
Ini soal mengiktiraf kebenaran yang hakiki, absolute dan satu. Apabila kami menolak Pak Ulil, pertimbangan kami jelas, ajaran yang kalian tunjuk dan ajarkan ternyata menyeleweng. Adakah Pak Ulil ingin kami mengiktiraf pendirian Pak Ulil yang pernah menyebut “Makanya, kita termasuk orang yang menentang perlaksanaan Syariat Islam di Indonesia.” untuk diadaptasi di Malaysia ini? Atau Pak Ulil ingin kami redha dan pasrah pada Pak Ulil untuk diberi kebebasan seluas-luasnya pada Pak Ulil untuk sebar kefahaman rosak dan corrupt sedang kami tahu apa salah dan betulnya berpandukan Al-Quran dan Sunnah?
Setiap Muslim yang berilmu bertanggungjawab kepada rujukan yang diberikan kepada masyarakat dan ummatnya. Setiap Muslim juga bertanggungjawab di hadapan Allah swt dengan apa yang dilakukannya.
Bukannya kami tidak menggunakan akal ataupun takut untuk berfikir lebih dalam berwacana ilmiah seperti apa yang disebut anwar Ibrahim dalam menghayati semangat Sapere Aude.
Benar, Sapere Aude seperti kata Anwar Ibrahim “menuntut kesediaan berwacana berdasarkan tradisi ilmiah, bukan sikap bebal, pantas menghukum atau mengharam karya dengan sewenangnya. Seandainya kita yakin dengan kebenaran Islam, kita harus bersedia berhujah dengan hikmah.”
Ataupun seperti apa yang Emmanuel Kant menyebut dalam buku beliau Was ist Aufklarung? (Apa itu pencerahan?) sebagai “ketidakmatangan seseorang manusia bukanlah disebabkan kurangnya kefahaman, tetapi kurangnya azam untuk menggunakannya (kefahaman itu) tanpa panduan orang lain.”
Tetapi Kant tidak berhenti sehingga di situ sahaja. Kant bahkan menambah “Berupaya ataupun dapat meletakkan diri ke dalam suatu kedudukan untuk menggunakan kefahaman sendiri dengan yakin dalam hal-ehwal agama tanpa panduan orang lain…”
Nah, ini apa? Hal ehwal agama perlu rujukan dan panduan daripada disiplin generasi terdahulu, generasi salafus soleh. Bukannya boleh suka-suka takrif dan tafsir tanpa disiplin dan berpandukan akal semata seperti apa yang dibuat IRF. Bahkan dalam soal berwacana pun, bukan semua orang bersedia dari sudut akal, ilmu dan kefahaman untuk dibuat secara terbuka.
Justeru, ini adalah respon kami, iaitu umat Islam yang sedar bahawa tanah ini adalah tanah umat Islam, yang kami rencanakan dan sediakan untuk pelaksanaan total syariat.
Akhirul kalam kepada Pak Ulil, kami bukan fundamentalis! Penglabelan yang dibuat oleh Angel Rabasa dan Cheryl Bernard dalam mengkategorikan umat Islam kepada fundamentalis, radikal, sekular, moderat dan tradisionalis adalah penglabelan yang tersasar dari sudut pencirian dan asas pertimbangan. Mana mungkin orang yang tidak faham Islam mampu mencirikan Islam.
Siapa kami?
Seperti apa yang As-Syahid Hasan Al-Banna sebut:
“Saya adalah pengembara yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni.
Saya hanyalah ibarat seorang yang memaham rahsia hidupnya. Justeru berkata Sembahyangku, ibadatkau, hidupku, dan matiu hanyauntuk Allah tuan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerah diri.
Inilah saya, anda pula siapa?”
Muhammad Aiman Ahmad Faudzi
Ahli Jawatankuasa Pusat
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)