Pendapat

Pencairan prinsip: Realiti kemaksiatan masa kini

india

Realiti masa kini dilihat semakin meruncing hinggakan kemungkaran seolah-olah mengungguli carta dalam kehidupan manusia. Dunia dan segala isinya sebolehnya dikejar hingga ke lubang kubur, hinggakan suruhan dan larangan Allah menjadi keutamaan yang paling corot.

Ya, inilah realiti umat di zaman ini. Realiti sadis ini menggambarkan nafsu al-hawa bermaharajalela menewaskan keimanan dan prinsip Islam.

Sebagai contoh, budaya couple dilihat begitu sinonim dan menjadi norma masyarakat. Hinggakan seisi keluarga mula gusar jika ada anak muda yang masih tidak berteman, malah dikatakan pula mereka ini sebagai kolot, pelik dan asing. Walhal, telah diterangkan dengan begitu jelas sekali di dalam Al-Quran supaya orang lelaki mahupun perempuan untuk menjaga pandangan dan menjaga kemaluan dalam Al-Quran (rujuk An-Nur : 30-31).

Memandang juga ditegah, apatah lagi berhubungan mesra di khalayak ramai tanpa ada rasa bersalah atau malu. Tahukah anda bahawa dianggarkan sebanyak 96,000 kes pengguguran janin telah dilakukan di Malaysia pada tahun 2008 sahaja dan dijangka meningkat naik sehingga melebihi 100,000 kes setahun mulai tahun 2010. Ini tidak termasuk ribuan kes pembuangan bayi yang dilaporkan di dada akhbar setiap hari.

Beralih pula kepada budaya hedonisme, yang meletakkan keseronokan dan hiburan sebagai tunjang kehidupan. Realiti yang sama, keadaannya cukup membimbangkan. Mac yang lepas, Malaysia dikejutkan dengan berita kematian 6 orang remaja berikutan pengambilan dadah methamphetamine di Future Music Festival Asia.

Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pihak berkuasa terpaksa menggariskan panduan serta peraturan yang lebih ketat untuk sebarang penganjuran konsert di masa hadapan. Namun ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Para penganjur nampaknya tidak mengambil pengajaran daripada peristiwa yang lalu. Malah lebih banyak event atau konsert-konsert yang meruntuhkan moral dan aqidah pula dianjurkan .

Pencairan apakah ini? Saya bawa lagi senario realiti umat yang hilang prinsip ini. Gejala pasangan sejenis mula mengasak dan mendesak agar kemahuan nafsu gila mereka diterima baik dalam masyarakat. Mujurlah, event PINKDOT yang mempromosikan budaya LGBT di Pulau Pinang Berjaya dibanteras dari awal. Itupun, masih banyak pihak yang tidak bepuas hati malah bersungguh dan sanggup naik-turun mahkamah menuntut pelbagai perkara yang tidak masuk akal atas tiket hak asasi manusia . Terbaru, bersorak gembira golongan ini apabila Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Lebih memeranjatkan, ada pula pihak yang mengambil frasa “Islam rahmatan lil alamiin” sebagai alasan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi malah menyatakan solidariti buat golongan Kristian yang memohon agar penggunaan kalimah Allah tidak lagi menjadi hak eksklusif  penganut Islam. Tidak cukup dengan itu, berani pula campur tangan dalam penentangan pelaksanaan hudud di Malaysia. Ada pula yang membentuk gagasan COMANGO yang mana beberapa kandungannya terang lagi bersuluh mencabar perlembagaan Malaysia yang selama ini menjadi asas dan pasak pelaksanaan ISLAM, dan jika difikirkan impikasinya, ia bakal membuka lebih banyak ruang kemungkaran dan kemaksiatan di negara tercinta. Nauzubilah min zalik.

 Adaptasi kemungkaran = Normalisasi jahiliyah

Apakah sebenarnya yang berlaku dalam masyarakat kita? Umat ini berjalan tidak seiring dengan tuntutan syahadah keimanan. Majoriti masyarakat lebih selesa duduk beramal untuk diri sendiri tanpa berbuat apa-apa. Terlalu banyak yang memberi andaian dan penafian sebagai alasan. Tidak terlepas juga yang berputus asa, menganggap zaman untuk berjihad dan beramal telah berlalu hingga merasakan seolah apa cara sekalipun tidak lagi berguna kerana umat Islam telah terbelenggu dan tidak dapat dirawat lagi.

Begitulah antara impak kerja kemas musuh-musuh Islam yang tidak mengenal erti jemu dalam menyerang vital spot(keimanan) umat Islam, saling merancang konspirasi dalam memanipulasi ayat Al-Quran dan hadis dan memperalatkan politik dan ekonomi yang kemudiannya dilabel pula sebagai “Islam”. Dukacita dimaklumkan, kini hukum Al-Quran ditolak tepi, emosi bermaharaja dihati dan perjuangan pula bertunjangkan nafsu. Masyarakat diubah menjadi sampah sarap dan mereka yang cintakan maksiat pula menjadi kuda tunggangan oleh para taghut. Inilah perancangan jahiliah sejak dahulu yang kini diwarisi taghut moden.

 Umat terbaik

Walaubagaimana pun, umat Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik umat daripada umat yang lain dan kadar kualitinya bergantung sejauh mana pegangan mereka pada isi Al Quran dan As Sunnah.

“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh pada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah, sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu yang lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang fasik” (3.110)

Lihatlah wahai pembaca sekalian, kasihnya Allah SWT yang menciptakan kita sebagai sebaik-baik umat. Namun kelak, bila dibicarakan di mahkamah Allah nanti, apakah alasan paling jitu yang mampu kita kemukakan kerana tidak berlaku amar makruf & nahi mungkar di muka bumi?

 Kewajipan dalam mengubah kemungkaran

 “…….Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya tiada berkuasa, maka hendaklah dia mengubah dengan lidahnya. Jika sekiranya tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubah dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemahnya iman.” Diriwayatkan oleh Muslim.

Hadis ini mengisahkan suatu pengertian bernilai yang seharusnya mendapat perhatian besar dari segenap umat Islam.  Jelasnya, kedua-dua perlakuan berbuat kebaikan serta mencegah kemungkaran memainkan peranan hand-in-hand demi menjamin kesejahteraan masyarakat Islam.

Kewajipan pencegahan kemungkaran ini diturunkan ke atas siapa? Tidak lain dan tidak bukan ke atas pundak bahu kita yang acapkali melihat kemungkaran, acapkali menyaksikan kemaksiatan dan memandang sepi perlakuan dosa saudara seIslam kita. Tidak ada sesiapakah yang tergerak imannya dalam memberi tindak balas pada anggota untuk membetulkan kesonsangan dan kebobrokan akhlak ini?

 Persoalan memposisikan diri dalam realiti kemaksiatan

Adakah kita sengaja membutakan mata dari melihat?

Terus-menerus dan berterusan menjadi golongan yang redha terhadap kemaksiatan?

Atau mungkinkah kita tergolong dalam golongan yang sabar menanggung kesulitan amar makruf, nahi mungkar?

Adakah jiwa generasi ini tidak lagi sensitif? Atau mungkinkah di zaman globalisasi moden ini, kemungkaran dan maksiat itu menjadi normalisasi yang tidak dapat dipisahkan lagi? Astaghfirullah, baiklah kiranya saya husnu-dzon dan memilih untuk menganggap banyaknya dari kita ini setidak-tidaknya, membenci perbuatan mungkar dari dalam hati sahaja. Walhal, Rasulullah SAW menyatakan bahawasanya mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman, apatah lagi kiranya mereka itu punya kekuasaan untuk mengubah dengan tangan mahupun lidah.

 Jiwa mukmin : Peka dan sensitif

Amal merupakan buah dari iman, maka menyingkirkan kemungkaran juga merupakan buahnya keimanan.

Suka saya ingatkan perihal kisah Khalifah Umar b Abd Aziz. Seorang pemimpin yang unik dan berjiwa besar. Beliau memandang berat keadaan umat tatkala ramai yang berlengahan dari dakwah dan jihad sebagai tanda awal penyelewengan dari kebenaran. Itulah gusaran seorang yang beriman walaupun pada dosa-dosa kecil dan petanda gaya hidup mewah. Oleh yang demikian, saya mengajak kalian termasuklah diri saya untuk re-check progress graf halawatul iman di hati masing-masing. Masih adakah receptors yang bekerja dalam stimulating rasa sensitif atas perlakuan maksiat dan mungkar? Atau mungkinkah hati kita juga berlaku proses asimilasi, menerima setiap perkara mungkar sebagai hal-hal yang lumrah. Maka, apakah pula harapan buat anak cucu penyambung warisan di bumi Malaysia ini?

Sungguhpun, mencegah kemungkaran merupakan kewajipan yang berat namun sangat mulia. Ini kerana tidak semua hamba Allah mampu melaksanakannya. Mereka itulah orang yang punya kekuatan dan keberanian jiwa, berani berkata benar dan mengkoreksi yang salah. Lebih kagum lagi, mereka inilah yang tidak takut dicela, tidak pula gentar ditempelak manusia.

“Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada hambaNya di hari kiamat sehingga Dia berfirman: Apa yang menghalangi kamu apabila melihat kemungkaran namun kamu tidak mencegahnya? Maka dia pun menjawab: Aku takut pada manusia. Maka Allah berfirman: Aku lebih berhak untuk engkau takuti.” (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya dari hadis Abu Said Al-Khudri r.a).

Oleh yang demikian, setiap individu yang bergelar mukmin itu haruslah senantiasa mencari kemuliaan yang lebih sempurna. Jadilah mukmin yang tidak memejamkan mata dan tidak mengelukan lidah daripada sebarang penyelewengan yang berlaku.

 Memelihara kebenaran dengan kekuatan

Cukup-cukuplah kita menjadi kijang yang pengecut dan sentiasa melarikan diri. Bangkitlah wahai singa-singa Islam yang mampu menerkam. Meskipun diiringi dengan kepayahan dan memerlukan pengorbanan, belajarlah daripada kisah Khalifah Umar b Abd Aziz untuk menarik kembali umat Islam yang tenggelam dalam kesesatan malah semakin jauh dari sinar Islam.

Memetik kata-kata As Syahid Imam Hassan Al Banna,

“Jadi mengapa kita bersikap pasif? Kenapa kita tidak lagi peka. Wahai umat Islam, zaman ini adalah zaman untuk bangkit dan membangun. Jadi binalah diri anda supaya anda dapat membimbing bangsa anda”

“Inilah TANGGUNGJAWAB SOSIAL yang telah diserahkan Allah kepada seluruh umat Islam. Mereka hendaklah berada dalam satu barisan, satu ketumbukan dan satu kekuatan. Mereka hendaklah menjadi tentera penyelamat yang akan menyelamatkan seluruh manusia dan membimbing mereka ke arah jalan yang betul ”

 

Sabrina Najwa Mohamad Ashari,

Timbalan Exco Dakwah Isma India,

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker