Berita UtamaPendapatUtama

Bahaya menonton televisyen secara berlebihan kepada anak-anak

tv kids
Bahaya Menonton Televisyen Secara Berlebihan Kepada Anak-Anak
Oleh:
Mohd Hisham Mohd Sharif
ISMA Alor Setar
Al Furqan Parenting Academy

Dalam zaman di mana ibu bapa semakin sibuk bekerja akibat pelbagai tuntutan ekonomi dan keluarga yang mendesak, ditambah dengan suasana di luar rumah yang semakin tidak selamat untuk kanak-kanak bermain sendiri, televisyen menjadi alat utama yang menghabiskan masa anak-anak hari ini.
 
Dengan teknologi televisyen yang semakin pintar dan harganya yang semakin murah, pelbagai rancangan menarik di pelbagai rangkaian yang berbayar dan juga secara percuma di YouTube, juga pelbagai aplikasi yang membolehkan ‘movies’ dimuat turun secara percuma dan skrin televisyen yang semakin canggih dengan teknologi LED, cabaran kepada ibu bapa untuk mengawal anak-anak daripada menonton televisyen secara berlebihan adalah satu realiti hari ini yang tidak boleh dipandang endah.
 
Hari ini, boleh dikatakan hampir setiap isi rumah mempunyai televisyen dan sentiasa pula ditonton oleh segenap ahli keluarga. Menurut satu laporan yang disediakan oleh unit perancang ekonomi Malaysia pada tahun 2013, terdapat peningkatan yang amat ketara dalam bilangan langganan televisyen berbayar oleh isi rumah di Malaysia sejak tahun 2000 hingga 2012.
 
Statistik ini walaupun diulas secara positif oleh laporan tersebut, namun di sebalik peningkatan ketara bilangan isi rumah yang melanggan rangkaian televisyen berbayar, terdapat bahaya yang hanya akan dapat dilihat kesannya berbelas tahun akan datang, secara khusus pada anak-anak yang terdedah kepada rancangan televisyen setiap hari untuk jangka waktu yang lama.
 
Dalam sebuah kajian (longitudinal*) yang dijalankan oleh sekumpulan para penyelidik di New Zealand yang mana jurnal hasil kajian tersebut telah diterbitkan di Journal of American Academy of Pediatrics pada bulan Mac 2013, didapati bahawa kadar masa menonton televisyen oleh kanak-kanak, mempunyai hubungan yang positif dengan personaliti anti-sosial, karakter agresif yang cenderung ganas dan sabit kesalahan jenayah yang berkaitan dengan keganasan.
 
Dengan kata lain, kajian tersebut membuktikan bahawa, lebih tinggi kadar masa seorang kanak-kanak itu menonton televisyen, lebih tinggi kebarangkalian untuk dia terlibat dalam kesalahan jenayah, mempunyai karakter yang agresif/ganas dan mempunyai personaliti yang anti-sosial.
 
Kajian yang dijalankan terhadap 1023 orang responden di New Zealand yang terdiri daripada pelbagai bangsa ini, mengambil masa hampir 30 tahun untuk diselesaikan. Responden dianalisa sejak usia kanak-kanak dan dikaji karakter mereka bermula usia 15 hingga 26 tahun.
 
Terdapat 2 sebab utama yang dicadangkan oleh kumpulan penyelidik ini tentang mengapa hubungan positif ini wujud. Pertama sekali, adalah akibat proses ‘emotional desensitization’ ataupun proses normalisasi emosi. Normalisasi emosi adalah satu proses untuk mengurangkan kesan emosi terhadap rangsangan-rangsangan negatif dengan pendedahan yang berterusan terhadap rangsangan negatif tersebut.
 
Sebagai contoh, anak-anak kecil yang pada mulanya mempunyai emosi negatif seperti rasa takut atau bersalah apabila melihat aksi-aksi ganas di televisyen, akhirnya akan mengalami proses normalisasi dan tidak lagi mempunyai perasaan tersebut setelah berulangkali menyaksikan aksi-aksi ganas di televisyen. Aksi-aksi ganas akhirnya akan dilihat sebagai normal dan tidak lagi dianggap salah.
 
Kemudian, muncul sebab kedua yang mungkin berkesinambungan daripada sebab yang pertama, iaitu anak-anak akan cenderung untuk meniru model yang selalu dilihat oleh mereka. Menurut teori pembelajaran secara pemerhatian (observational learning theory) yang diperkenalkan oleh Albert Bandura pada tahun 1961,  anak-anak cenderung untuk meniru apa yang sentiasa mereka lihat sejak kecil. Kecenderungan ini wujud apabila di sana wujud model yang menjadi ikutan anak-anak sejak kecil seperti hero rancangan aksi atau puteri cantik yang mempunyai pelbagai kuasa ajaib.
 
Dengan kata lain, anak-anak yang telah mengalami proses normalisasi emosi, akan mengikuti aksi ganas atau lucah yang sering dilihatnya di televisyen. Tidak kira melalui rancangan biasa atau rancangan kartun.Proses normalisasi emosi dan kecenderungan untuk meniru oleh anak-anak ini bukan sahaja pada aksi ganas dan lucah semata-mata, tapi pada cara berpakaian, cara makan, cara berbual dan pelbagai lagi sifat yang ditonjolkan.
Tidak hairan jika ramai remaja hari ini yang terikut-ikut dengan budaya barat seperti ‘bercouple’, berpegangan tangan, bercumbu-cumbuan, mengadakan majlis tari menari, bertutur dan mencarut seperti yang sering dipamerkan oleh ikon-ikon rap dan metal,  terikut dengan budaya ‘prank’, ‘troll’ dan sebagainya.

Natijahnya adalah akan lahir golongan belia yang hilang identiti dan menjadikan cara hidup tajaan barat yang rosak sebagai contoh unggul dalam pembawaan kehidupan mereka. Natijah yang lebih buruk adalah berlaku kejadian zina yang akan membawa kepada banyaknya bayi-bayi yang dibunuh oleh ibu sendiri.

Generasi remaja yang kita lihat telah kehilangan identiti pada hari ini adalah, mungkin adalah natijah pendedahan berterusan terhadap rancangan-rancangan televisyen berbelas tahun yang lalu ketika mereka masih kecil. Bayangkan bagaimana generasi remaja pada masa depan jika apa yang mereka lihat pada hari ini diikuti oleh mereka pada masa depan.

Untuk mengelakkan permasalahan ini daripada terus membarah, ibu bapa perlu mengawal jumlah masa dan rancangan yang ditonton oleh anak-anak termasuk rancangan kartun. Kartun yang membawa mesej-mesej lucah dan ganas seperti The Simpsons dan Oggy and the Cockroaches wajib diharamkan oleh ibu bapa daripada ditonton di rumah.

Sebagai alternatif, ibu bapa perlu mencadangkan rancangan-rancangan kartun yang baik kepada anak-anak seperti Octonauts, Arthur atau Upin Ipin untuk tontonan anak-anak.

Jika melanggan rangkaian Astro di rumah, pastikan mekanisma kawalan diwujudkan. Begitu juga dengan Internet. Jangan biarkan anak-anak berseorangan bersama laptop atau iPad di dalam bilik dengan Internet yang terpasang.

Anak-anak juga perlu ditanamkan dengan kefahaman Islam dan sifat malu sejak kecil. Jika anak-anak telah tertonton rancangan yang tidak elok di rumah saudara mara sebagai contoh, pastikan mereka jelas bahawa apa yang mereka tonton adalah salah dan tidak wajar dijadikan contoh dalam kehidupan.

The American Academy of Pediatrics mencadangkan bahawa masa anak-anak menonton televisyen perlu dihadkan hanya kepada 2 jam sahaja sehari. Anak-anak perlu dilatih untuk menggunakan masa dengan bermanfaat melalui aktiviti-aktiviti seperti bermain, membaca dan bersosial dengan rakan-rakan yang baik akhlaknya.

Paling utama, walaupun sesibuk manapun dengan kerjaya dan urusan-urusan yang lain, ibu bapa perlu meluangkan masa bermain dan berinteraksi dengan anak-anak. Itulah cara terbaik untuk menghilangkan kebosanan mereka di rumah. Bawalah mereka berenang, berbasikal, mengembara, menziarahi saudara mara dan rakan taulan, bermain Saidina, Scrabble, catur dan banyak lagi.

Jangan biarkan hanya televisyen menjadi teman mereka menghabiskan masa, kerana kita tidak mahu anak-anak kita membesar dengan karakter-karakter buruk yang ditiru oleh mereka daripada rancangan yang ditonton sejak kecil.

Setiap ibu bapa, wajib mengambil berat pengawalan televisyen di dalam rumah masing-masing, kerana anak-anak hari ini adalah tonggak negara pada masa depan nanti. Rosak generasi hari ini, rosaklah negara di masa depan nanti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker