Berita UtamaPendapatUtama

Sifar masalah sosial, sifar HIV

stop hiv
Suatu hari, seorang remaja lelaki datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan berkenaan cecair yang keluar dari kemaluannya. Pemeriksaan doktor mendapati bahawa dia menghidap penyakit gonorrhea (sejenis penyakit berjangkit yang disebarkan melalui hubungan seksual).

Apabila ditanya lebih lanjut, remaja ini mendedahkan dia bersama rakan-rakan sekolahnya telah pergi berkelah di kawasan air terjun. Di sana, mereka ditawarkan perkhidmatan seks secara percuma oleh seorang wanita. Mereka kemudiannya tidak melepaskan peluang dan bergilir-gilir mendapatkan tawaran percuma itu.

Lihatlah betapa mudah masyarakat terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral! Bayangkan jika wanita tersebut seorang penghidap HIV, sudah tentu kesemua mereka akan dijangkiti dan menyesal seumur hidup!

Kisah di atas merupakan satu contoh daripada beribu-ribu kisah mengenai keruntuhan akhlak dan masalah sosial yang berlaku di kalangan masyarakat. Tahukah anda bahawa hubungan seksual secara rambang boleh membawa kepada kesan yang lebih besar daripada itu?

Kesan yang bakal dihadapi adalah penularan penyakit HIV, keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat, pencairan jati diri serta longgarnya ikatan agama yang akhirnya menyebabkan mereka menolak cara hidup beragama dalam kehidupan mereka. Ini balasan di dunia. Apa yang lebih menggerunkan ialah balasan seksa yang telah Allah janjikan di akhirat nanti.

Jadual 1: Bilangan penghidap HIV di dunia pada tahun 2013. Sumber: UNAIDS Laporan GAP 2014
Jadual 1: Bilangan penghidap HIV di dunia pada tahun 2013
Sumber: UNAIDS Laporan GAP 2014

DATA TERKINI JUMLAH PENGHIDAP HIV

Menurut data yang terkini yang dikeluarkan oleh UNAIDS dalam Laporan GAP 2014, dianggarkan kira-kira 35 juta penduduk dunia menghidap HIV pada tahun 2013, dengan kes tertinggi sebanyak 24.7 juta berlaku di benua Afrika.

Di Malaysia pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan dianggarkan 21 orang menghidap HIV dalam setiap 100,000 orang pada tahun 2000. Daripada jumlah tersebut, lebih 50% penghidap HIV berpunca daripada perkongsian jarum suntikan oleh penagih dadah, selebihnya dijangkiti melalui hubungan seksual dan sebahagian kecil dijangkiti oleh bayi daripada ibunya yang menghidap HIV positif.

Pelbagai pelan tindakan diambil oleh KKM untuk mengurangkan jangkitan HIV, antaranya ialah kempen-kempen kesedaran, program saringan HIV yang dilakukan secara meluas, program gantian methadone dan program pertukaran jarum suntikan untuk mengurangkan penularan jangkitan HIV akibat perkongsian jarum.

Selain itu, wanita HIV positif yang hamil diberi rawatan rapi dan pendidikan untuk mengurangkan jangkitan secara vertikal kepada bayi mereka. Bayi yang lahir disaring dan diberi bekalan susu selama 2 tahun untuk mengurangkan risiko jangkitan HIV. Penghidap HIV diajar tentang kepentingan hubungan seks secara selamat melalui pemakaian kondom untuk mengurangkan jangkitan HIV melalui hubungan seksual.

Data terbaru pada tahun 2014 menunjukkan jumlah penghidap HIV berkurang kepada 11 orang dalam setiap 100,000 orang. Menariknya, peratusan kes yang berjangkit melalui perkongsian jarum oleh penagih dadah berjaya dikurangkan melalui usaha bersungguh-sungguh pihak kementerian.

EMPAT KELOMPOK PENGHIDAP HIV

Bancian mendapati, penghidap HIV tertumpu kepada 4 kelompok masyarakat:

1. Penagih dadah
2. Pekerja seks
3. Pelanggan seks
4. Pengamal seks songsang (LGBT)

Seperti mana yang kita ketahui, program gantian methadone telah dapat mengurangkan penularan jangkitan HIV di kalangan penagih dadah. Namun ia tidak berkurangan bagi tiga kelompok lagi, yang merupakan kesan langsung bagi masalah sosial yang berlaku.

Selagi mana gejala sosial seperti amalan seks rambang, melanggan pelacur, seks songsang (LGBT) tidak dapat dibendung, selagi itulah harapan kerajaan (malah sasaran di peringkat global) untuk mengurangkan bilangan penghidap HIV di Malaysia seterusnya mencapai ‘sifar HIV’ menjelang tahun 2030 tidak akan tercapai.

Jadual 2: Malaysia HIV situation by risk factors Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Jadual 2: Malaysia HIV situation by risk factors
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

TANGGUNGJAWAB BERSAMA MEMBANTERAS MASALAH SOSIAL

Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membanteras budaya seks bebas dan seks songsang tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak semata-mata.

Berikut adalah antara langkah pencegahan praktikal yang boleh dilaksanakan:

1. Kembali kepada kehidupan berlandaskan agama. Islam sangat menitikberatkan langkah pencegahan supaya tidak terjebak dengan maksiat. Sebab itulah Islam menutup segala pintu yang boleh membawa kepada zina dan perkara maksiat yang lain. 

“Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.” (Surah Al-A’raf, ayat ke-33)

2. Pengukuhan institusi kekeluargaan. Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak mengikut acuan yang digariskan oleh Islam. Rumah adalah sekolah pertama anak-anak manakala ibu bapa adalah model ikutan yang terbaik buat mereka. 

Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa ia (Ibnu Abbas) berkata:

“Taatlah kepada Allah dan takutlah membuat maksiat kepada Allah dan suruhlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Kerana hal itu akan memelihara mereka dan kamu dari api neraka.”

3. Penguatkuasaan undang-undang dengan memantau operasi rumah-rumah urut, pusat hiburan dan aktiviti songsang yang berlaku di kalangan masyarakat.

ISMA TURUT BERPERANAN MEMBANGUN MASYARAKAT

Sebagai gerakan dakwah, ISMA menawarkan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat. Pelbagai aktiviti menerusi biro dan agensi dijalankan bertujuan membimbing masyarakat ke arah jalan yang diredhai Allah.

  1. Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) aktif menganjurkan seminar keibubapaan bagi membangunkan institusi keluarga yang efektif.
  2. Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM) dan Kelab Remaja ISMA (KRIM) mengisi kelompongan pendidikan anak bermula sejak kecil.
  3. Biro Wanita ISMA tegas membuat pendirian menentang arus liberalisme yang mempromosi LGBT selain menganjurkan seminar dan kursus pembangunan wanita.
  4. Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) meneraju arus mahasiswa di peringkat menara gading dan mengumpul kumpulan pelapis pemimpin negara akan datang.
  5. Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) rancak memberikan kesedaran dari sudut kesihatan dan terkenal dengan kempen ‘Say No to Zina’ di peringkat sekolah menengah seluruh negara.
  6. Yayasan Ikhlas mendekati masyarakat menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, agar jalan selamat menjadi pilihan.

PENUTUP

Kesimpulannya, penyakit HIV tidak dapat dipisahkan dengan masalah sosial. Jika masalah sosial dapat ditangani, insyaAllah penyakit HIV juga dapat diselesaikan.

Dr Syarifah Aisyah Syed Abd Halim
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Mempaga, Bentong
Aktivis I-Medik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker