Adakah syariah menghalang negara masuk campur urusan dosa peribadi?
“Undang-undang jenayah syariah seringkali tidak mengikuti semangat kebebasan individu dalam Perlembagaan Malaysia.
Hal ini perlu diperhalusi semula kerana jika diteliti sejarah Islam, perbezaan dibuat antara dosa peribadi dan jenayah.
“Tidak seharusnya dosa peribadi dikanunkan melalui undang-undang jenayah apabila kita mempunyai jalan lain melalui gerakan sivil dan dakwah untuk “amar ma’ruf wa nahy al-munkar.”
Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/284237
1) Membaca kenyataan di atas dan keseluruhan artikel tersebut menimbulkan rasa kasihan saya terhadap penulis dan penyokong-penyokong surat terbuka “Kumpulan 25″ itu. Sedangkan penulis dan mereka yang menyokong tersebut merupakan pelajar pengajian Islam dan Arab di Timur Tengah yang berpeluang menadah ilmu-ilmu secara direct dari para Ulama’ di sana.
Benarkah undang-undang jenayah syariah bertentangan dengan semangat kebebasan individu dalam perlembagaan Malaysia? Adakah negara atau pemimpin tidak berhak menghalang perbuatan dosa peribadi tersebut dengan kuasa yang ada?
2) Kalaulah “Amar ma’ruf wa nahy al-munkar” itu hanya dipraktikkan dengan dialog, hujah, dan wacana semata-mata, di mana hilangnya hadith “من رأى منكم منكرا فليغيره بيده” (Barang siapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya)? Mengapa pula Rasulullah dan umat Islam terdahulu bersusah payah membina sebuah negara Islam disertai dengan undang-undang syariah yang merangkumi undang-undang jenayah? Apakah tidak wujud hukuman Ta’zir yang dibincang panjang oleh Fuqaha’ dalam banyak kitab turath?
3) Qiyas yang digunapakai (kisah tajassus Saidina Umar Al-Khattab r.a) sungguh jauh tersasar dari kes yang dibincangkan. Sebagai mahasiswa syariah, terutama penuntut ilmu Usul Fiqh, sepatutnya sudah maklum bahawa kisah tersebut adalah berkenaan larangan tajassus dan berlebihan dalam penyiasatan atau pengintipan. Bukan sama sekali bermaksud larangan untuk menjatuhkan hukuman terhadap orang yang melalukan dosa, tidak kira dosa peribadi atau segala apa jenis dosa kepada Allah.
4) Janganlah bersifat selective dalam mengambil hujah-hujah agama. Tidakkah kita membaca kisah-kisah para Sahabat Agung, Khulafa’ Ar-Rasyidin yang telah melaksanakan hukuman ke atas orang yang telah melakukan dosa peribadi? Jangan kita pejam sebelah mata membaca kisah masyhur Khalid Al-Walid r.a apabila beliau meminta pandangan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq tentang hukuman terhadap mereka yang melakukan hubungan sejenis (al-luthiyyah). Abu Bakar r.a telah mengarahkan untuk menjatuhkan hukuman bakar ke atas mereka. Begitu juga yang dilakukan Abdullah bin Zubair r.a dan Hisyam bin Abdul Malik.
5) Apabila ingin membawa kisah tajassus/pengintipan berlebihan Umar Al-Khattab itu (yang hakikatnya Qiyas ma’al fariq) dalam kes hukuman terhadap pelaku dosa peribadi ini, jangan pula lupa kisah Umar Al-Khattab yang telah membakar kedai arak dan juga telah membakar sebuah kampung yang terdapat penjualan arak di dalamnya sepertimana yang diceritakan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitabnya At-Turuq Al-Hukmiyyah.
Kata Khalifah Uthman ‘Affan r.a.: “Sesuatu yang tidak dapat dicegah oleh Al-Quran, maka Allah akan mencegahkannya dengan kuasa pemerintah”.
6) Satu kaedah fiqhiyyah menyebut “تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة” (Tindak tanduk pemimpin ke atas rakyatnya tertakluk pada Maslahat). Islam memang mengiktiraf peranan negara dan pemimpin Islam bagi menentukan Masalih Mursalah (kebaikan/maslahah yang tidak tertulis secara khusus dalam Al-Quran dan hadith Rasulullah saw).
Walaupun sesuatu hukuman bagi dosa itu tidak tertulis di dalam Al-Quran dan Hadith Rasulullah secara khusus, pemimpin Islam berhak melaksanakan hukuman (hukuman ta’zir) selepas mengambil kira kemaslahatan umum bagi sesebuah negara dan masyarakat.
7) Inilah yang dinamakan Siyasah Syar’iyyah (politik berlandaskan syara’), sepertimana yang dimaksudkan Ibnu ‘Aqil Al-Hanbali: “Siyasah adalah apa saja perbuatan yang mendekatkan manusia kepada kebaikan dan menjauhkannya daripada kefasadan” dan selari dengan kata-kata As-Syafie bahawa: ”لا سياسة إلا ما وافق الشرع” (Tidaklah politik itu melainkan apa yang menepati Syara’). Beliau tidak menyatakan “”ما نطق الشرع (apa yang disebut oleh syara’), tapi politik adalah ما وافق الشرع (apa yang selari/menepati syara’). Janganlah kita sempitkan pemahaman kita terhadap politik Islam hingga menafikan ijtihad-ijtihad ulama’ silam dan masa kini dalam mengiktiraf peranan pemimpin Islam untuk memustuskan perkara terbaik untuk kemaslahatan negara secara keseluruhan selagi mana perkara tersebut tiada nas Al-Quran dan hadith yang melarangnya.
8) Perlu juga dinyatakan di sini (untuk mengelak salah faham terhadap Islam), bahawa dalam konteks pelaksanaan undang-undang, Islam tidak bergantung kepada undang-undang semata-mata, malah Islam bertindak lebih daripada itu lagi. Ia berusaha membersihkan jiwa manusia agar mereka sanggup mematuhi undang-undang itu dengan dorongan hati yang murni yang beriman kepada Allah swt dan mengiktiraf kekuasaan Allah yang tertinggi di atas muka bumi ini. Bukan semata-mata kerana takut kepada kuasa pemerintah negara hakikatnya. Ini tidak syak lagi merupakan satu methodologi yang bijaksana untuk menegakkan undang-undang dalam masyarakat seperti mana yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Qutb r.a dalam kitabnya “As-Syubuhat Hawla Al-Islam”.
9) Maka, sudah tentu pembentukan peribadi muslim sewajibnya berjalan dengan lebih serius dan berterusan sehingga melahirkan sebuah masyarakat Islam yang mampu memikul tanggungjawab menegakkan agama Islam di negara kita tercinta, Malaysia. Sifirnya mudah, apabila umat Islam kuat, tiada siapa yang berani mencabar Islam. Isu hari ini adalah umat Melayu Islam di Malaysia sendiri sedang lemah dan berpecah belah. Kerana itulah pihak musuh berani mencabar kedudukan Islam di negara ini dengan lebih berterus terang dan lantang, ‘dilicinkan’ lagi projek mereka dengan bantuan jurucakap-jurucakap tidak rasmi mereka berupa tokoh-tokoh agama dan liberal yang terperangkap dalam agenda halus liberalisme, sekularisme dan sewaktu dengannya.
Wallah A’lam.
Ahmad bin Khairuddin
BA Shariah (Hons) Fiqh & Usul Fiqh,
Universiti Yarmouk
http://ibnukhairuddin.wordpress.com/2014/12/23/adakah-syariah-menghalang-negara-masuk-campur-urusan-dosa-peribadi/