Adakah kenyataan Ismail Sabri itu rasis?
Sejak kebelakangan ini banyak pula kedengaran banyak pihak menggunakan istilah rasis. Dalam kes kenyataan Ismail Sabri baru-baru ini sebagai contoh, beliau dilabel sebagai rasis oleh parti DAP dan beberapa lagi pihak lain. Perdana Menteri Malaysia, DS Najib pun turut terpalit dalam kecaman kerana dikatakan gagal mengambil tindakan terhadap Ismail Sabri yang mengeluarkan kenyataan rasis.
Persoalannya, adakah label rasis yang digunakan menepati maksud sebenar perkataan rasis itu sendiri? Atau ia sekadar digunakan untuk menutup isu sebenar yang dibangkitkan. Saya bukanlah peminat tegar Ismail Sabri dan Barisan Nasional, tapi menggunakan contoh kenyataan beliau untuk dianalisis dalam mendefinisikan semula perkataan rasis.
Rasis didefinisikan oleh Merriam-Webster dictionary sebagai “a belief that race is the primary determinant of human traits and capacities and that racial differences produce an inherent superiority of a particular race” iaitu satu kepercayaan bahawa sesuatu bangsa itu mempunyai kelebihan tertentu dan kelebihan itu membolehkan sesuatu bangsa menguasai dan menindas bangsa-bangsa lain.
Rasis adalah asas kepada apartheid, dan ia telah digunakan oleh Adolf Hitler sebagai alasan utama dalam misinya untuk menakluk seluruh Eropah. Adolf Hitler dan gerakan Nazi yang dipimpin olehnya percaya bahawa bangsa Aryan secara semula jadi mempunyai kelebihan terhadap bangsa-bangsa lain seperti Slavs sebagai contoh, layak untuk menjadi dihambakan atau dimusnahkan.
Rasis juga adalah alasan utama diskriminasi apartheid yang berlaku di Afrika Selatan bermula tahun 1948 dan berakhir hanya pada awal tahun 1990-an. Rasis di Afrika Selatan pada ketika itu berlaku apabila bangsa Anglo Saxon yang terdiri daripada penjajah yang datang dari Britain memandang bangsa berkulit hitam sebagai bangsa kelas kedua dan sewajarnya diberikan layanan buruk dalam pemerintahan.
3.5 juta bangsa kulit hitam pada ketika itu, dipaksa untuk keluar dari rumah-rumah mereka untuk mengasingkan mereka dari penempatan bangsa kulit putih. Apartheid ini adalah perkataan bahasa Afrika yang bermaksud, ‘state being apart’, atau dalam perlaksanaannya, bangsa kulit putih mesti diasingkan daripada kulit hitam.
Banyak lagi contoh-contoh amalan rasis dari sejarah kemanusiaan, tapi cukuplah dua contoh di atas untuk memberi kita kefahaman mengenai maksud rasis yang sebenar.
Nah, mari kita kembali untuk melihat perkataan rasis yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu di negara kita baru-baru ini. Adakah ia menepati maksud sebenar perkataan rasis seperti yang dinyatakan di dalam maksud dan contoh aplikasinya di atas?
Meneliti semula kenyataan Ismail Sabri, beliau menyeru supaya masyarakat Melayu memboikot peniaga, pemborong dan peraih Cina yang tidak mahu menurunkan harga barang.
Secara realitinya hari ini, boleh dikatakan, aktiviti orang tengah ini dikawal oleh peniaga daripada kalangan kaum Cina, semua yang biasa terlibat dalam perniagaan tahu realiti ini dan kenyataan Ismail Sabri pada saya adalah tepat dengan realiti yang berlaku hari ini. Sekilas saya membaca kenyataan Ismail Sabri, saya percaya, ramai yang sudah dapat menangkap maksudnya, jadi, apakah benar hakikat tuduhan rasis yang dikenakan kepada Ismail Sabri oleh DAP dan MCA?
Ismail Sabri tidak menyatakan mengenai kelebihan bangsa Melayu dan kaum Cina mesti ditindas, Ismail Sabri tidak juga menyatakan bangsa Melayu adalah jauh lebih baik daripada bangsa-bangsa lain yang ada sekali gus menyatakan mesti ada layanan kelas kedua kepada peniaga-peniaga Cina, tapi Ismail Sabri menyatakan dengan spesifik, peniaga Cina yang tidak mahu menurunkan harga barang mesti diboikot.
Saya dan mungkin ramai lagi tidak bersetuju dengan kenyataan dan tindakan boikot tersebut, tetapi untuk menyatakan bahawa kenyataan Ismail Sabri itu rasis, saya serahkan kepada anda untuk menilainya berdasarkan makna rasis yang sebenar?
Mohd Hisham Mohd Sharif
Penafian:
Artikel ini tidak mewakili pendirian rasmi ISMA atau ISMAweb.