Berita UtamaPendapat

Islam semakin diterima walau Islamophobia menebal – Bahagian Pertama

islamophobia-drfus__720x3401

Saya tergerak untuk menulis berkaitan dengan topik ini atas beberapa faktor. Beberapa fenomena yang berlaku dewasa ini menyebabkan penafsiran Islam telah disalahkan dan ada juga pihak yang telah menafsirkan Islam dengan pelbagai tafsiran meliar dan jauh daripada sepatutnya. Bagi mereka yang tidak mengenali Islam, maka penafsiran salah ini akhirnya menjadi ‘phobia’ kepada Islam dan lahirlah ‘Islamophobia’.

Pengkajian Islam bukan dilihat kepada pengamalnya. Sebab banyak pengamal yang mengamalkan pelbagai jenis Islam mengikut penafsiran sendiri yang kadang-kadangnya menyeleweng jauh daripada sumber asal. Sumber utama kajian Islam adalah pada al-Quran dan juga sunnah kehidupan Rasulullah SAW. Pengkajian ini tidak boleh diambil pada juzuk (sebahagian) sahaja, tetapi mesti dilihat pada keseluruhannya dan maknanya ditafsir mengikut penafsiran yang disepakati oleh ulama-ulama muktabar bukan pada kaca mata pemikiran kita sendiri.

Setelah dilihat dan dikaji kedua-duanya, maka barulah sinar Islam itu akan mula terpancar sepertimana ianya pernah terpancar suatu ketika dahulu di tengah-tengah kegelapan amalan jahiliah masyarakat Arab. Ini dapat kita faham melalui kata-kata Jaafar Bin Abi Thalib r.a ketika berbicara di hadapan raja Habsyah, Najashi:

Kami dahulu adalah orang-orang jahiliah, menyembah berhala, makan bangkai, berbuat kejahatan, memutuskan hubungan persaudaraan, berlaku buruk kepada tetangga dan menindas yang lemah. Kemudian Allah mengutuskan seorang Rasul dari kalangan kami sendiri. Dia mengajak kami kepada menyembah Allah dan tidak mempersekutukan Dia dengan yang lain. Dia mengajak kami supaya bercakap benar, menunaikan amanah, memelihara persaudaraan, berlaku baik terhadap tetangga, menjauhkan diri daripada segala perbuatan haram dan pertumpahan darah, melarang kami berbuat jahat, berdusta dan memakan harta anak yatim….Kemudian kami beriman kepadanya, membenarkan kata-katanya, mengharamkan apa yang diharamkan olehnya dan menghalalkan apa yang dihalalkan olehnya.”

Hatta peperangan dalam Islam sendiri bukan untuk membunuh manusia, tetapi ingin menyampaikan hidayah seperti yang dapat kita fahami daripada kata-kata Rabi’ Bin Amir r.a ketika berbicara di hadapan panglima Parsi, Rustam, sebelum perang Qadisiyah pada tahun 12 hijrah:

Kami datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah. Daripada kesempitan dunia, kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Kalau Islam hanya difahami sebagai agama keganasan, sebenarnya adalah kefahaman yang amat terseleweng dan salah.

Di dalam al-Quran juga, Allah banyak menyentuh berkaitan pembelaan anak-anak yatim dan orang miskin contohnya firman Allah yang bermaksud:

“Mereka juga memberi makan dan benda-benda yang dihajati kepada orang miskin, dan anak yatim, dan orang tawanan; sambil berkata “Kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah, kami tidak berkehendakkan kepada sebarang balasan daripada kami atau ucapan terima kasih” (Al-Insan: 8 & 9) dan Allah mencela mereka yang menindas anak yatim dan orang-orang miskin seperti di dalam surah Al-Fajr dan sekali lagi didalam surah Al-Ma’un.

Islamophobia

Islamophobia mula digunakan di dalam artikel dan jurnal sejak daripada awal abad ke 20 lagi. Sekitar tahun 1900 ke 1920-an, istilah Islamophobia kerap digunakan di dalam penulisan bahasa French dan Algeria yang lebih membawa maksud ‘perasaan tidak senang terhadap Islam’. Islamophobia pada hari ini lebih membawa maksud ‘perasaan benci kepada Islam, muslim dan juga etnic yang dikaitkan dengan Islam contohnya bangsa Arab’.

Istilah Islamophobia ini mula kedengaran kembali selepas berlakunya tragedi 11 September 2001. Tragedi ini dikatakan telah didalangi oleh kumpulan militan al-Qaeda. Namun, persepsi masyarakat bukan Islam telah dibentuk bahawa ini adalah ajaran keganasan di dalam Islam.

Walaupun telah berkali-kali diterangkan oleh ulama-ulama terkenal dunia seperti Dr Yusuf Qardawi bahawa ajaran Islam tidak berunsurkan keganasan, tetapi tragedi demi tragedi keganasan yang berlaku selepas itu yang menyaksikan pelbagai kumpulan militan seperti al-Qaeda, Taliban, dan terkini ISIS menyebabkan Islamophobia ini semakin menebal dah sukar ditangani lagi.

Kesan daripada Islamophobia ini dapat kita lihat melalui beberapa insiden di mana wanita muslim yang memakai tudung dikeji dan dikutuk walaupun mereka tidak bersalah, kenderaan-kenderaan yang diketahui milik orang Islam juga dimusnahkan dan diconteng dengan perkataan-perkataan benci dan sebagainya.

Bagaimanapun, di sebalik kebencian terhadap Islam ini, ramai juga bukan Islam yang memilih untuk berhijrah ke dalam Islam apabila mereka mengkaji Islam yang sebenar melalui dua sumber utamanya dan juga akhlak baik yang ditunjukkan oleh kebanyakan umat Islam yang mencerminkan ajaran Islam yang sebenarnya.

Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa baginda telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak, seolah-olah kita fahami bahawa menyempurnakan akhlak untuk manusia sejagatnya adalah misi utama Rasulullah SAW diutuskan.

jkp-2

  Dr Shaiful Aizad Shafie
  (MBBS Monash Uni)
  ISMA Australia.

  Bersambung esok

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker