Berita UtamaPendapatUtama

Islam semakin diterima walau Islamophobia menebal – Bahagian Akhir

islamofobia-2

Ikuti bahagian akhir mengenai Islamophobia tulisan Dr Shaiful Aizad Shafie dan kesannya terhadap agama Islam sendiri.

Umat Islam sepatutnya menjadi contoh teladan kepada umat keseluruhannya dengan mempraktikkan ajaran Islam sepenuhnya seperti mana yang diminta oleh Allah, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu menuruti ajaran syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang jelas nyata” (Al-Baqarah: 208).

Perlu kita fahami, apabila Islam difahami hanya separuh atau sebahagian sahaja (seperti hanya pada fahaman akidah atau pada fahaman jihad atau pada fahaman ibadah khusus sahaja), maka ini yang akhirnya akan menimbulkan pelbagai jenis penafsiran Islam menyeleweng kerana ianya tidak dilihat melalui kaca mata yang sepatutnya yang dikehendaki oleh Yang Maha Esa.

Seperti kisah tiga orang buta yang cuba menceritakan perihal seekor gajah; yang memegang belalai gajah dikatakannya gajah itu seperti ular, yang memegang telinga gajah dikatakan gajah itu seperti kipas, dan yang memegang kaki gajah dikatakan gajah itu seperti pokok. Inilah perumpamaan mereka yang melihat dan mengambil agama ini pada juzuknya sahaja.

Keduanya, perbaikilah akhlak. Akhlak adalah natijah dan cerminan kepada hati yang beriman, bersih dan bercahaya. Akhlak yang buruk akan lebih memburukkan Islam pada mata masyarakat umum. Masyarakat umum menilai apa yang kita anuti pada tingkah laku dan apa yang kita buat.

Maka tingkah laku dan perbuatan kita adalah akhlak kita. Baik akhlak, maka baiklah mesej yang kita sampaikan kepada umum walaupun kita tak perlu berkata sepatah pun. Keruntuhan akhlak terutamanya di kalangan remaja umat Islam adalah fitnah (ujian) yang besar terhadap agama ini. Maka ibu bapa jangan berlepas tangan dalam pentarbiahan anak-anak sejak kecil lagi dengan adab-adab Islami.

Sebab itulah, menurut Saidina Ali r.a, penekanan terhadap pembentukan adab dan akhlak perlu dipertekankan seawal anak berusia 7 tahun sehingga 14 tahun, kerana pada fasa inilah mereka mula mengenal mana yang baik dan mana yang buruk dan menjadi peranan ibu bapa untuk melentur mereka mengikut neraca dan ajaran Islam.

Ketiga, kaji dan fahami sirah Rasulullah SAW secara mendalam. Banyak buku-buku kajian sirah Rasulullah SAW yang berada di pasaran. Penulisan terbaik buat masa ini ialah hasil karangan Syaikh Safiyurrahman al Mubarakfury berjudul ‘Sirah Nabawiyyah’ atau al Raheeq Makhtum (bahasa Arab) & The Sealed Nectar (bahasa English).

Kajian peribadi saya sendiri mendapati hampir 90 peratus pemuda dan pemudi tidak mampu menceritakan sirah perjalanan Rasulullah SAW dengan baik. Apa yang mereka tahu hanya pada beberapa peristiwa besar seperti hijrah, Perang Badar, Perang Uhud dan sebagainya, tetapi apabila diminta butiran lengkap peristiwa, objektif dan kesan daripada peritiwa hijrah itu, kebanyakkan mereka hanya diam membisu. Apalagi sekiranya jika diminta untuk diulas berkaitan hijrah awal para sahabat ke Habsyah sebagai strategi Rasulullah SAW untuk menyelamatkan agama ini.

Saya yakin amat sedikit kita yang mampu, hatta mereka yang berlatarbelakangkan pengajian tinggi di universiti terkemuka dalam bidang-bidang profesional. Siapa lagi yang boleh kita jadikan idola dalam memahami Islam sebenarnya selain yang telah ditujukkan oleh manusia pilihan Allah yang telah diberikan wahyu kepadanya.

Wahyu adalah perkataan-perkataan yang diturunkan melalui perantara Jibril kepada Rasulullah SAW. Perkataan-perkataan ini telah diterjemahkan melalui perbuatan, tingkah-laku dan tindakan Rasulullah SAW supaya lebih mudah difahami agama ini dan manusia boleh melihat dan menilainya.

Sekiranya tidak difahami perjalanan hidup Rasulullah SAW secara keseluruhnya, maka lahirlah fahaman ‘anti-hadis’ yang menolak sirah dan kata-kata Rasulullah SAW, dan juga ‘Islam liberal’ yang hanya menggunakan akal fikiran sendiri untuk menafsir ayat-ayat al-Quran untuk membolehkan tindakan songsang yang dikaburi oleh kehendak nafsu semata-mata.

Keempatnya, jaga hubungan kita dengan Allah dan perbanyakkan doa kepada-Nya. Mungkin juga fitnah akhir zaman ini sebagai satu ujian kepada umat Islam. Mungkin juga ianya sebagai ‘pembuka mata’ kepada kita yang masih tidur nyenyak dibuai angan-angan panjang dan keseronokkan duniawi yang telah menyebabkan kita jauh daripada ajaran Islam sebenarnya.

Mungkin juga ianya sebagai amaran awal (warning sign) bahawa azab Allah yang lebih besar bakal menanti akibat kelekaan kita. Wa’Allahua’alam. Saya sendiri tidak pasti, tetapi saya berasakan bahawa agama Allah ini telah dijadikan sebagai ‘kelas kedua’, bukan lagi sebagai sistem kehidupan harian kita.

Banyak lagi faktor-faktor lain yang kita boleh lakukan, tapi saya rasa kalau kita boleh laksanakan keempat-empat perkara yang saya sebutkan tadi sekurang-kurangnya, sudah mencukupi untuk kita jadikan bekalan pedoman bagi memartabatkan kembali Islam di atas muka bumi ini. Saya doakan semoga kita diberikan taufik hidayah dan kekuatan oleh Allah dalam mengharugi dunia Islam yang penuh dengan cabaran dan fitnah dewasa ini.

jkp-2   Dr Shaiful Aizad Shafie
   (MBBS Monash Uni)
   ISMA Australia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker