Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Di mana sahaja ada masalah dunia, di situlah ada Amerika Syarikat. Isu Palestin, ada nama Amerika. Isu Rusia, ada nama Amerika. Isu ISIS, ada nama Amerika. Isu Syria, ada juga nama mereka. Malah isu di Malaysia, pasti ada terselit nama mereka.
Dalam pelbagai isu akan ada nama negara itu baik di berita mahupun di muka akhbar. Apa sahaja Obama kata itulah yang banyak kita lihat dipaparkan oleh media, seolah-olah apa yang dikatakan itu melambangkan luahan rasa masyarakat dunia.
Penulisan ini bertujuan membuka minda masyarakat Malaysia untuk sedar betapa ruginya mereka yang mengagungkan negara-negara Barat serta kefahaman mereka.
Penulis berasa terkilan apabila melihat ada sebilangan golongan bijak pandai di Malaysia dengan bangganya membawa dan mempromosi pemikiran Barat yang salah di sisi Islam ke dalam masyarakat Malaysia, terutama di kalangan umat Islam. Lebih sedih lagi apabila golongan bijak pandai tersebut mendapat pendidikan di negara Barat.
Oleh itu penulis rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman peribadi selama hampir dua tahun menetap di bumi Amerika ini. Apa yang bakal dikongsi adalah bersumberkan pembelajaran formal mengenai struktur negara dan masyarakat di Amerika dan juga pemerhatian serta pengalaman peribadi penulis.
Pengenalan kapitalisme
Sebelum penulis menceritakan dengan lebih lanjut mengenai situasi dan realiti di bumi Amerika, penulis ingin menerangkan secara ringkas dan mudah mengenai sistem kapitalisme yang menjadi kebanggaan rakyat di negara ini.
Secara keseluruhannya, sistem kapitalisme mendukung agenda ‘sesiapa sahaja yang berusaha dia boleh berjaya’ atau dengan kata yang lebih mudah, ‘siapa sahaja yang berusaha dia boleh jadi kaya’. Di sinilah munculnya konsep ‘American Dream’ yang mana memberi harapan kepada sesiapa sahaja tidak mengira bangsa, agama, status ekonomi malah asal-usul untuk meningkatkan status ekonomi mereka dalam masyarakat, tanpa mengira apa jalan sekalipun hatta mereka terpaksa menggunakan jalan kotor.
Sebelum itu, penulis akan menerangkan secara ringkas tiga ciri utama sistem kapitalisme yang bukan sahaja diamalkan oleh Amerika malah negara-negara Barat yang lain dan sebahagian negara di Asia. Ciri-ciri tersebut adalah:
1) The means of production owned by individuals;
2) We make everything for profit; and
3) Extreme inequality through the ownership of thing.
Ketiga-tiga ciri ini dapat kita lihat pada mana-mana negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme.
Namun, apa yang lebih menarik lagi para pembaca sekalian, sistem kapitalisme di Amerika sedikit berbeza dengan negara-negara lain iaitu berlakunya ketidakseimbangan dalam pengagihan sumber ekonomi antara kerajaan, syarikat-syarikat perniagaan dan rakyat. Malah kesatuan sekerja (labor union) di sini boleh dikatakan hampir tidak mempunyai kuasa!
Berbeza dengan negara di benua Eropah yang rata-ratanya mempunyai struktur kesatuan sekerja yang agak kuat. Hasilnya, kita dapat lihat sumber ekonomi negara yang dimonopoli oleh syarikat-syarikat gergasi milik peribadi sesetengah individu dan kebanyakan syarikat ini ternama di mata dunia. Maka lahirlah sebuah negara yang mempunyai berpuluh-puluh orang billionaire namun pada masa yang sama lahirnya generasi papa kedana.
Hal ini membuatkan penulis tertarik untuk berkongsi sedikit catatan pemerhatian di bumi Amerika yang memaparkan kesan buruk sistem kapitalisme kepada struktur sosial negara ini.
Hubungan kapitalisme dan generasi motel
Buktinya terletak pada generasi motel. Ya, generasi motel. Generasi motel ini merupakan generasi kanak-kanak di Amerika yang realitinya hidup dan membesar di motel-motel murahan, dek kerana hilangnya punca pendapatan golongan bapa dalam keluarga tersebut.
Kebanyakan daripada mereka kehilangan tempat tinggal apabila rumah yang dimiliki ditarik semula oleh pihak bank akibat tidak mampu untuk membayar hutang. Untuk makluman semua, budaya melabur dan melakukan pinjaman duit dalam jumlah yang banyak merupakan budaya masyarakat di Amerika yang terkenal dengan sikap berani mengambil risiko.
Dengan kata yang lebih mudah, ‘This is what makes American to be American’. Hasilnya, ramai daripada keluarga ini merempat dan terpaksa menetap di motel-motel murahan akibat tidak mampu menyewa rumah dan tidak keterlaluan jika penulis katakan ada antara mereka ini tinggal di dalam kenderaan mereka sendiri!
Malah, sekiranya mereka mendapat pekerjaan selepas itu, pendapatan yang diperoleh masih tidak mampu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan. Mungkin ramai yang berpendapat bahawa ini adalah kes terpencil, namun data menunjukkan lebih 22 peratus kanak-kanak di Amerika Syarikat hidup dalam kemiskinan!
Mari penulis bawakan satu kisah seorang kanak-kanak yang merupakan salah seorang mangsa kemiskinan di negara ini. Kisah ini disiarkan secara meluas dalam CBS News menerusi rancangan ’60 minutes’ dan kisah ini banyak membuka mata rakyat Amerika mengenai realiti yang berlaku.
Destiny Corfee, kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tinggal di dalam sebuah bilik kecil di motel murahan bersama ibu bapanya serta dua lagi adik-beradiknya selepas ibu bapanya kehilangan kerja. Setiap hari dia akan pergi ke sekolah rendah awam dengan menaiki bas yang disediakan untuk kanak-kanak gelandangan. Sebelum mereka tinggal di motel tersebut, dia menceritakan bagaimana mereka sekeluarga terpaksa hidup di dalam kenderaan mereka akibat tidak mahu dipisahkan sekiranya mereka ingin tinggal di pusat perlindungan.
Setiap hari dia dan abangnya akan pergi ke tandas awam di sebuah pasar raya untuk membersihkan diri. Sehingga kadang kala terpaksa melakukannya secara sembunyi akibat malu dan setiap malam mereka terpaksa berhimpit-himpit tidur di dalam van milik bapanya. Malah, abangnya yang baru berusia belasan tahun terpaksa berhenti daripada persekolahan semata-mata mahu menolong bapanya.
Keluarga ini hampir-hampir sahaja putus asa sehinggakan bapa kepada Destiny bertindak membawa papan bertulis ‘family of 5, please help me!’ ke tepi jalan raya untuk meminta pertolongan. Sehingga suatu hari, seseorang menawarkan kerja dan dengan gaji tersebutlah mereka membayar sewa motel itu selama berbulan-bulan, namun masih tidak mencukupi untuk mengeluarkan mereka dari tempat tersebut.
Apa yang lebih menariknya para pembaca sekalian, Destiny dan keluarga bukan tinggal di kawasan pedalaman di bumi Amerika ini, tetapi mereka tinggal di sebuah bandar raya di Florida yang terkenal sebagai pusat pelancongan Disneyworld! Tempat di mana golongan berada menghabiskan masa cuti mereka dan tidak keterlaluan jika penulis katakan tempat ini merupakan antara tarikan mewah di Amerika Syarikat.
Di sebalik hotel-hotel mewah dan keseronokan dunia Disney ini, hakikatnya mereka berjiran dengan keluarga miskin yang mendiami motel murahan. Dan Destiny sekeluarga bukan satu-satunya keluarga yang hidup dalam keadaan sebegini, malah beratus-ratus lagi keluarga menghadapi situasi yang sama.
Nah. Ini bukan teori. Ini bukan retorik. Ini bukan mitos. Ini adalah realiti. Di sebalik kemewahan, kemajuan, kekayaan, kebanggaan dan kebesaran negara ini ada tersirat sisi-sisi gelap struktur sosial masyarakatnya.
Bagaimana di sebalik kuasa ekonomi terbesar ini, lahirnya generasi anak-anak miskin? Bagaimana di sebalik kekayaan bumi ini, seorang bapa tidak mampu menampung keluarganya sendiri? Dan bagaimana di sebalik kuasa besar dunia ini, rakyat miskin merempat di bandar Disneyworld yang menjadi kebanggaan mereka?
Semua ini berbalik kepada ciri-ciri sistem kapitalisme yang penulis kongsikan sebelum ini; ‘extreme inequality through the ownership of thing’. Sistem kapitalisme secara luarannya kelihatan seperti satu sistem yang telus yang membenarkan sesiapa sahaja untuk berjaya melalui propaganda ‘American Dream’ yang ada.
Namun, hakikatnya mobiliti sosial yang berlaku amatlah sedikit dan boleh dikatakan hampir mustahil bagi golongan yang berada di bawah untuk sampai ke status ekonomi di atas. Hasilnya, wujudlah ruang ketidaksamaan dan ketidakadilan yang amat besar dalam struktur sosial dan ekonomi negara tersebut.
Kesan buruknya pula dapat kita lihat berlaku kepada golongan yang tidak mampu bersaing dan bertahan dalam sistem yang sungguh kompetitif ini. Sepertimana teori social Darwinism menyatakan; ‘only the fittest will survive’, dan ternyata keluarga Destiny tidak mampu bertahan dalam sistem kapitalisme ini.
Cabaran buat negara Islam
Cukup mudah buat kita sebagai umat Islam untuk menilai sejauh mana sistem ciptaan manusia ini mampu untuk memberi kesan buruk kepada manusia. Namun, bagi mereka sukar untuk membayangkan bagaimana Islam dapat memberi jalan penyelesaian kepada masalah manusia seterusnya menawarkan sistem kehidupan yang lebih baik.
Dalam kes ini, bagaimanakah masyarakat yang hidup dan matinya bersifat materialistik mampu melihat sistem ekonomi Islam sebagai jalan penyelesaian kepada masalah mereka? Hal ini merupakan satu cabaran yang amat besar buat negara Islam bagi membuktikan hal tersebut.
Penulis bukanlah seorang pakar dalam hal ekonomi, namun sebagai seorang rakyat negara Islam sejauh mana negara kita mengamalkan Islam dalam aspek ekonominya? Dan sebagai seorang muslim, sejauh mana kita menerapkan nilai Islam dalam urusan ekonomi seharian kita? Malah Allah sudah pun berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208 berkenaan hal ini:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagi kamu.”
Hal ini merupakan suatu saranan bagi kita untuk menyemak dan muhasabah semula sejauh mana kita mengambil Islam itu secara keseluruhan. Malah, sudah terbukti hatta hanya satu aspek kita abaikan daripada Islam dapat kita lihat natijahnya. Dalam hal ini, sistem kapitalisme di Amerika sudah membuktikan perkara tersebut.
Refleksi penulis
Marilah kita sama-sama merenung dan sedar bahawa apa yang gah di mata dunia kadang kala tidak gah seperti yang disangka. Apa yang hebat pada pandangan kita tidak sehebat yang dijangka. Jadi, janganlah kita berbangga membawakan ideologi-ideologi Barat yang pada sangkaan kita mampu menyelesaikan masalah manusia, sedangkan masalah negara mereka sendiri tidak terjaga.
Binalah identiti kita dan bangga dengannya. Usah berbangga dengan sistem hidup ciptaan manusia kerana sistem hidup yang hakiki dan mutlak sudah diatur Sang Pencipta dan kita, manusia patut bertanggungjawab melaksanakannya. Keburukan demi keburukan sudah terserlah daripada sistem kapitalisme ini, namun mereka di Amerika masih yakin inilah sistem terbaik buat mereka.
Bagi penulis pasti pada suatu hari mereka akan sedar bahawasanya sistem ini hanya layak digelar ‘the self-destructive system’ yang hanya mengikut formula: Kapitalisme + Amerika = Generasi Motel!
Rujukan:
- Al-Quran
- Gilbert, M. (2003). The American Class Structure. California: Wadsworth/Thomson Learning.
- Marger, M. N. (2002). Social Inequality. Michigan State University: McGraw Hill.
- Hard Time Generation. Retrieved from Youtube.
Nur Hanis Muhamad Nor
Aktivis ISMA US-Canada
Penulis adalah pelajar tahun ketiga jurusan Genomics and Molecular Genetics dan Sosiologi di Michigan State University.
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak kena mengena dengan ISMA mahupun Media Isma Sdn Bhd