Tanggungjawab doktor Islam dan hukum hudud
Jawapan kepada Kumpulan Bekas Profesional Melayu – G25
IKATAN Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berasa bertanggungjawab dalam memberikan penjelasan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Bekas Profesional Melayu – G25 – yang diterbitkan oleh The Malaysian Insider bertarikh 7 April 2015.
Kenyataan tersebut telah menimbulkan kekeliruan yang menyentuh perlaksanaan ajaran Islam yang berkisar mengenai doktor Islam dan hukum hudud.
Islam adalah agama yang lengkap yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW untuk seluruh umat manusia sehingga ke Hari Kiamat. Apabila ajaran dan syariat Islam dilaksanakan secara menyeluruh, ianya sudah pasti akan memberikan kesejahteraan kepada kehidupan manusia di dunia dan di akhirat.
Kumpulan G25 ada menyatakan doktor Islam yang terlibat dalam perlaksanaan hukuman hudud telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan etika kedoktoran, dan bahkan dia juga telah melakukan suatu perbuatan yang bertentangan dengan Islam.
Sebenarnya tidak timbul langsung pertentangan dengan agama Islam kerana perlaksanaan hudud yang betul adalah berdasarkan nas al-Quran dan hadis. Hukuman hudud ini telah dilaksanakan sejak pada zaman Rasulullah SAW dan menjadi undang-undang dalam negara Islam. Hinggakan selepas kewafatan Baginda SAW, hudud telah menjadi undang-undang yang dilaksanakan di sesetengah negeri dalam Tanah Melayu.
Mereka juga menimbulkan persoalan autonomi pesakit dan keperluan berbincang serta mendapatkan kebenaran (consent) daripada seseorang pesakit dalam melaksanakan sesuatu prosedur ke atas pesakit tersebut.
Jika diperhatikan kepada pelaksanaan hukuman kepada pesalah mengikut undang-undang sivil seperti hukuman denda, penjara, sebat, gantung dan sebagainya, tidak timbul di sini persoalan autonomi dan keperluan kepada perbincangan dan mendapat kebenaran daripada pesalah dalam melaksanakan hukuman tersebut.
Adalah tidak munasabah penjenayah yang rosak akhlak, moral dan pemikirannya akan bersetuju sebarang hukuman yang dikenakan ke atasnya sama ada dengan undang-undang Islam/hudud ataupun sivil, kecuali atas kesedaran untuk bertaubat seperti yang berlaku kepada Maiz r.a.
Mengenai persoalan doktor yang mengangkat sumpah Hippocratis dengan serius tidak akan melakukan sesuatu kemudaratan kepada orang ramai, ianya berkaitan dengan etika dalam merawat seseorang pesakit.
Adapun dalam perlaksanaan hudud, ianya adalah perlaksanaan hukuman yang dilaksanakan ke atas penjenayah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah yang diberikan mandat untuk menguruskan negara dan bukannya merawat pesakit.
Jika kita melihat kepada sesuatu hukuman itu sendiri, sama ada ianya adalah hukum Islam ataupun sivil, maka sudah pasti hukuman itu akan memberikan kemudaratan kepada seseorang pesalah dari segi emosi, fizikal, harta dan lain-lain lagi.
Maka bilakah satu-satu hukuman itu boleh dilaksanakan ke atas penjenayah sama ada mengikut hukum Islam atau sivil yang tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada penjenayah? Atau dengan lain perkataan, hukuman ke atas penjenayah hanya boleh dilaksanakan apabila ianya memberikan manfaat (tidak memudaratkan) seseorang penjenayah?
Kesimpulannya, I-Medik berpandangan bahawa keterlibatan seorang pengamal perubatan dalam pelaksanaan hukum hudud adalah tidak bertentangan dengan etika pengamal perubatan yang telah bersumpah dengan ikrar Hipocratis selepas menerima arahan daripada pemerintah untuk menjalankan hukuman tersebut.
Dr Mohamad Nor bin Sundari
Timbalan Presiden I-Medik
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak kena mengena dengan ISMA atau Media Isma Sdn Bhd