Berita UtamaPendapatUtama

Isu Hari Belia Negara dan ‘hantu’: Penjelasan Ketua Pemuda ISMA

motivasilukman

Saya anggap kes kritikan saya terhadap penganjuran Festival Belia Putrajaya 2015 telah selesai, tanpa perlu dicanangkan lagi dengan publisiti tidak berasas.

Sedikit penerangan tambahan bagi menjelaskan kedudukan dan pendirian saya:

1. Saya tidak berkesempatan menghurai panjang isu “hantu” di Festival Belia Putrajaya 2015 sebelum ini kerana jadual yang ketat sepanjang menjadi wakil ISMA untuk berada di Istanbul sebagai pemerhati proses pilihan raya Turki.

Ikuti catatan saya di www.ismaweb.net/2015/05/pemuda-isma-belia-mesti-jadikan-sultan-muhammad-al-fateh-sebagai-contoh-ikutan/

2. Saya merupakan seorang ahli motivasi bebas, tidak terikat dengan mana-mana pihak dalam mengeluarkan pendapat, saya tidak perlu menunggu persetujuan semua pihak untuk melontarkan pandangan peribadi saya.

Saya juga tidak menjadikan urusan memberi motivasi dan latihan kepada masyarakat sebagai sumber periuk nasi saya, jadi saya tidak perlu takut sekiranya apa yang dilontarkan saya tidak dapat diredhai semua pihak.

3. Status Facebook saya berkaitan “hantu” telah meleret sehingga tidak fokus kepada isu sebenar. Tindakan saya memadam status itu dan memohon maaf kepada Search bukan bermaksud akhirnya saya bersetuju dengan penganjuran konsert di Festival Belia Putrajaya 2015.

Tindakan memohon maaf bertujuan memahamkan semua pihak, serangan saya bukanlah kepada individu (bukan “personal attack”); terhadap kumpulan Search. Tetapi fokus saya adalah serangan kepada ideologi jahiliyah dan fasad dan pihak-pihak yang menyokong dan mendokong ideologi merosakkan tersebut.

4. Kepada pihak yang terasa bahawa saya telah menyakitkan hati anda, saya memohon maaf dan saya doakan sepertimana doa yang diajarkan Rasulullah s.a.w. sekiranya telah menyakiti perasaan seseorang:

“Ya Allah, kepada sesiapa di kalangan mukmin yang telah aku sakiti, maka jadikan ia (perbuatan aku yang menyakiti itu) sebagai pendekat dirinya kepada Engkau di hari kiamat” ( Hadith Riwayat : Bukhari No# 6361; Muslim No# 2601)

5. Dan kebanyakan para pengkomen yang terlajak memaki dan mencaci saya di laman ini, saya maafkan anda, tolong doakan saya seperti doa di atas.

6. Saya ingin tegaskan sekali lagi, bahawa hiburan bukanlah tujuan hidup seorang mukmin. Pihak JAKIM dengan bijaksana telah mengeluarkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam Edisi Kedua (http://www.islam.gov.my/sites/default/files/garis_panduan_hiburan_dalam_islam_edisi_kedua_0.pdf).

Apa yang berlaku semasa Festival Belia yang lalu, para belia disajikan dengan hiburan melampau yang rata-ratanya melanggar garis panduan di atas adalah sangat dikesalkan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kecuaian dan sikap tidak sensitif terhadap tuntutan Islam, iaitu agama yang menjadi agama persekutuan sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia.

Bahkan yang lebih mengecewakan apabila ada ahli akademik dan agamawan tidak menyatakan prinsip dengan jelas tentang isu hedonisme yang wujud secara tersusun dalam masyarakat. Tetapi lebih suka untuk sibuk mempersoalkan kaedah perkataan yang harus digunakan pendakwah.

7. Suka saya ingatkan bahawa istilah kejayaan (al-falah) disebutkan dengan jelas dalam Al Quran berkait rapat dengan sejauh mana seseorang itu hidup mengikut petunjuk Allah, iaitu dengan mengikuti Islam sebagai cara hidup keseluruhan seperti dsebut dalam Surah Al Baqarah, ayat 4-5.

Orang yang berjaya adalah orang yang menyuruh masyarakat melakukan perkara baik, dan menjauhi perkara jahat (amar ma’aruf nahi mungkar) seperti disebut dalam Surah Ali Imran, ayat 104.

Di dalam Surah Al Maidah, ayat 35 pula dengan cantik menyimpulkan bahawa orang yang berjaya adalah orang yang berusaha mencari jalan untuk mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah, serta berjihad di atas jalan tersebut.

Dan banyak lagi ayat, bahawa istilah kejayaan itu dinisbatkan kepada ketaatan kepada Allah, dan bukan keingkaran terhadap Allah. Keuntungan yang dibawa oleh industri muzik dan perfileman kepada negara ini yang berjumlah beratus juta ringgit bukanlah indikasi kejayaan seperti yang dijelaskan dalam Al Quran.

8. Semasa saya melawat Brunei Darussalam pada tahun 2013, seorang pensyarah dari Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA) menyatakan, para ulama’ dan pemerintah Brunei sejak turun temurun sangat menitikberatkan supaya seisi negara Brunei patuh kepada perintah Allah.

Mungkin itulah sebabnya Allah melimpah-ruahkan rezeki hasil semulajadi terutamanya minyak dan gas.

“Pumpjack” (mesin mengepam minyak mentah) dapat ditemui di merata-rata tempat, sama ada sebelah kompleks membeli-belah mahupun di sebelah padang dan taman permainan.

Keluasan Brunei (tanah dan air) hanya 1.8% dari saiz Malaysia, tetapi “oil-proved reserved” bagi Brunei adalah 27.5% daripada hasil Malaysia.

Mungkinkah Allah akan melimpah-ruahkan rezeki negara Malaysia tercinta ini sekiranya para pemerintah dan rakyatnya lebih taat kepada Allah?

Allah berfirman dalam Surah Al A’araf, ayat 96, “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi.

9. Masyarakat keliru, apakah sebenarnya hala tuju kerajaan Malaysia. Di sudut lain, diadakan majlis munajat dan selawat yang penuh sopan.

Di sudut lain, mengadakan majlis yang jelas berbeza dengan adab kesopanan dan akhlak Islam. Sifat dualisme (ataupun sekularisme) yang dirintis sebahagian pemimpin negara ini benar-benar merosakkan cara pemikiran rakyat.

Tidak hairan sekiranya kebanyakan rakyat negara ini, yang majoritinya muslim menjadi keliru dan mencampurkan nilai jahiliyah dengan nilai keimanan di dalam kehidupan mereka.

Maka keluarlah dialog, “kpop tapi solat”, “heavy metal tapi pandai mengaji”, “clubbing tapi kerja profesional”.

Sedangkan rosak atau tidak jiwa seseorang itu diceritakan dengan jelas dalam Surah Asy Syams: “Maka dilihamkan (kepada manusia) jalan membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan dirinya (dari dosa-dosa). Dan sesungguhnya rugilah orang yang membenamkan dirinya dalam dosa-dosa.”

lukman pemuda isma10. Saya memuji usaha baik sebahagian artis yang banyak melakukan usaha kebajikan dan menegakkan agama. Namun perlu diingati bahawa Islam ini adalah agama yang syumul, menyeluruh dalam memandu kehidupan kita, tidak boleh dicampur yang haq dengan yang batil.

Jangan terlalu bergembira dengan amal-amal kebaikan yang kita buat, sedangkan pada sisi lain kehidupan kita, kita menjadi perintis jalan perbuatan yang kurang elok.

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah, “Wahai orang-orang yang beriman masuklah ke dalam kesejahteraan (Islam) sepenuhnya, dan janganlah mengikut jejak langkah syaitan”.

Ahli-ahli keluarga saya sendiri serta ramai teman rapat saya bukanlah orang yang asing daripada dunia kebajikan, sama ada dari usaha membuka dan mengendalikan rumah anak yatim ke usaha mengendalikan madrasah bagi golongan mualaf serta kurang bernasib baik.

Kebanyakan mereka tidak terkenal dan tidak diangkat masyarakat, sedangkan pagi ke malam mereka membanting tulang empat kerat memastikan rezeki yang jelas halal dalam masa yang sama dapat melaksanakan projek-projek kebajikan dan pendidikan.

Pengajarannya, jangan menggunakan hujah yang terpesong untuk mempertahankan sesuatu yang fasad dengan menggunakan hujah agama; sedangkan lebih ramai orang yang patuh dengan ajaran agama dan tidak sibuk mencanang kebaikan mereka untuk menutupi kelemahan mereka.

Tahniah kepada yang berjaya membaca hingga ke akhirnya. Saya pulang dari Turki dengan semangat dan agenda besar untuk melahirkan pemuda-pemuda luar biasa seperti Sultan Muhammad Al-Fateh.

Apa agenda hidup anda?

Allahu’alam bi thawwab.

Muhammad Luqman Al Hakim Muhammad
Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

SUMBER

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker