PendapatUtama

Badan Penasihat Syariah dalam sistem kewangan Islam di Malaysia

badan penasihat syariah dalam sistem kewangan islam di malaysia
RENCANA – Umat Islam tertakluk kepada ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulallah di dalam setiap urusan kehidupan di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu, penting bagi umat Islam untuk menjaga tatacara kehidupan mereka dengan memastikan setiap apa yang dilakukan adalah halal serta berdasarkan Shariat Islam. Perkara yang halal merupakan perkara yang selaras dengan Syariah Islam dan ini termasuk juga mengamalkan keadilan dan tidak melakukan penindasan terhadap orang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dala Surah al-Nisa, ayat 29 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama ke jalan yang salah), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Konsep halal juga digunapakai dan penting di dalam urusan muamalat di mana aktiviti di mana setiap institusi kewangan Islam akan dipantau oleh suatu badan yang dinamakan Badan Penasihat Syariah (BPS). Badan ini amat penting supaya pengguna dan juga pelabur dapat memilih produk yang bertepatan dengan kehendak Syariah.

BPS merupakan suatu badan yang ditubuhkan selaras dengan penubuhan institusi kewangan yang berasaskan Islam dan ia mempunyai dua peringkat pentadbiran iaitu Majlis Penasihat Syariah Bank Negara (MPSBN) dan jawatankuasa syariah bank-bank perdagangan. MPSBN mempunyai kedudukan lebih tinggi berbanding dengan jawatankuasa syariah bank-bank perdagangan yang lain. Seperti yang disebut di bawah Seksyen 58 Akta Bank Negara Malaysia 2009, keputusan MPSBN akan terpakai jika terdapat perbezaan keputusan antara MPSBN dengan BPS bank lain.

Selain itu, mahkamah juga dikehendaki merujuk kepada keputusan MPSBN bagi mana-mana prosiding yang berkaitan dengan perniagaan kewangan Islam, dan keputusan tersebut hendaklah mengikat. Maka, setiap keluaran atau produk daripada semua institusi kewangan di Malaysia mestilah mendapatkan kelulusan dan selari dengan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara sebelum ianya ditawarkan kepada pengguna.

Jawatankuasa Badan Penasihat Syariah

BPS dianggotai oleh pakar-pakar ekonomi dan para ulama yang juga turut pakar di dalam bidang Syariah serta kewangan Islam. Anggota MPSBN, sebagai contoh, terdiri daripada cendekiawan Syariah, pakar undang-undang dan pengamal pasaran yang terkemuka. Mereka ini merupakan individu yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perbankan, kewangan, ekonomi, undang-undang dan aplikasi Syariah, terutamanya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.

Di samping itu, Penasihat Syariah terdiri daripada dua kategori iaitu Penasihat Syariah di peringkat industri dan Penasihat Syariah di peringkat badan pengawal selia. Kedua-dua kategori Penasihat Syariah ini secara umumnya mempunyai peranan yang sama iaitu memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan selaras dengan Syariah.

Bidangkuasa Badan Penasihat Syariah

Malaysia melaksanakan dua sistem pasaran modal iaitu pasaran modal konvensional dan pasaran modal Islam. Pasaran modal Islam adalah komponen yang amat penting di dalam sistem kewangan negara. Sehingga kini, produk-produk kewangan Islam di Malaysia telah bercambah dan meliputi pelbagai sektor yang terdiri daripada ekuiti, sukuk, unit amanah, pelaburan Islam dan sebagainya.

Bagi memantau dan memastikan semua produk kewangan Islam ini selaras dengan Syariah, Seksyen 30(1) Akta Undang-Undang Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 mewajibkan kepada semua institusi kewangan Islam untuk menubuhkan suatu Jawatankuasa Syariah bagi memastikan bahawa aktiviti perniagaan, hal ehwal dan aktivitinya mematuhi Syariah.

Oleh itu, BPS berperanan penting untuk membangunkan pasaran modal Islam di Malaysia. Secara umumnya Badan Penasihat Syariah bertanggungjawab untuk memberi nasihat berkaitan hal-hal kewangan Syariah dan memastikan setiap produk yang diperkenalkan adalah bertepatan dengan Syariah selain menjadi tempat rujukan bagi isu berkaitan dengan kewangan Islam.

Produk-produk kewangan Islam mestilah daripada yang dibenarkan oleh Syariah khususnya bebas daripada sebarang bentuk riba’ mahupun di dalam urusan mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya. Perbuatan riba’ adalah haram dan orang yang menyatakan sebaliknya akan menjadi kufur kerana ia adalah doasa besar yang wajib dielakkan oleh umat Islam.

Pengharaman riba’ jelas ditegah oleh Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 275 yang menyebut:

“Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Oleh hal yang demikian, jawatankuasa penasihat diwujudkan selaras dengan keperluan di bawah Seksyen 6 Akta Undang-Undang Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, iaitu menggalakkan kestabilan kewangan dan pematuhan Syariah serta melindungi hak dan kepentingan perkhidmatan dan produk kewangan Islam.

Bagi mencapai matlamat ini, hubungan antara kewangan Islam dengan para ulama dan mereka yang ahli dalam bidang kewangan moden haruslah ibarat isi dengan kuku. Gandingan kedua-dua pihak yang arif dalam bidang masing-masing khususnya ahli ekonomi dan ahli syariah merupakan satu kewajiban yang amat penting. Selain memastikan setiap produk atau instrumen adalah yang mematuhi Syariah, penasihat Syariah perlu memastikan pembangunan kewangan Islam dari segi perencanaan dasar dan pembangunan.

Tambahan, institusi kewangan Islam perlu bekerjasama untuk membantu BPS dalam pelaksanaan tugasnya. Institusi kewangan Islam hendaklah merujuk kepada badan ini untuk mendapatkan nasihat dalam semua aspek termasuklah hal-hal dokumentasi, penstrukturan dan pelaburan dan mengaplikasikan nasihat tersebut ke atas produk atas instrumen mereka.

Selain daripada memberi nasihat dan tempat rujukan, BPS juga menjalankan penyelidikan dari segi pembangunan produk atau instrumen. Ahli-ahli BPS akan membuat perbincangan yang kebiasaannya terdiri dalam kalangan ahli Syariah, pengamal kewangan dan badan pengawal selia untuk membina kefahaman serta mengenal pasti prinsip Syariah yang sesuai dengan sesebuah institusi tersebut. Di samping itu, ahli BPS akan menggunakan pendekatan inovasi di mana mereka akan merangka serta memberi cadangan untuk mewujudkan produk atau instrumen baru yang sesuai dengan keperluan pasaran semasa.

Seksyen 52 Akta Bank Negara Malaysia 2009 turut menyenaraikan fungsi utama Majlis Penasihat Syariah. Majlis Penasihat Syariah mempunyai fungsi untuk menentukan hukum Syarak mengenai apa-apa perkara kewangan dan mengeluarkan keputusan apabila dirujukkan kepadanya, untuk menasihati Bank mengenai apa-apa isu Syariah yang berhubungan dengan perniagaan kewangan Islam, aktiviti atau transaksi Bank, untuk memberikan nasihat kepada mana-mana institusi kewangan Islam atau mana-mana orang lain sebagaimana yang diperuntukkan  di  bawah  manamana  undang-undang  bertulis,  dan  apa-apa  fungsi  lain sebagaimana yang diputuskan oleh Bank.

Intan Nazurah bt Mohd Zailani
Faculty of Law, The National University of Malaysia (UKM)

Penafian: Pandangan yang dikemukakan dalam artikel ini tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker