Berita UtamaKolumnisMohd Firdaus bin Salleh HudinUtama

Masjid mesra kanak-kanak jadi pilihan

masjid mesra kanak kanak
KEMERIAHAN beribadah di bulan Ramadan diraikan oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Selain kesibukan Bazar Ramadan yang turut dikunjungi oleh masyarakat bukan Islam, masjid dan surau juga menerima kehadiran jemaah yang lebih ramai berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Masjid dan surau ‘hidup’ dengan acara berbuka puasa, solat tarawih, tadarus Al-Quran selain solat berjemaah lima waktu. Bahkan ada sesetengah masjid yang turut menyediakan hidangan sahur untuk penduduk setempat.

Bercakap soal solat sunat tarawih yang disunatkan khusus pada malam bulan Ramadan sahaja, semalam saya mengikuti perbincangan rakan-rakan dalam aplikasi Telegram berkenaan masjid-masjid yang menawarkan bacaan imam terbaik sebagai masjid pilihan untuk dikunjungi.

Ada yang mencadangkan masjid-masjid tertentu dengan bacaan imam hafiz yang suaranya beralun merdu, ada masjid yang membuat solat 20 rakaat dengan bacaan 1 juzuk, ada yang solat 8 rakaat sahaja, ada masjid yang menyediakan moreh yang sedap dan banyak lagi ciri-ciri perbandingan antara satu masjid dengan masjid lain.

Terpancul satu soalan oleh seorang kenalan:

“Masjid yang 20 rakaat, 1 juzuk tu mesra kanak-kanak tak?”

Lihat, sekarang ini ‘mesra kanak-kanak’ adalah satu faktor besar yang menjadi pertimbangan jemaah yang mempunyai anak-anak kecil.

Rata-rata yang membawa anak-anak ke masjid sebagai pendedahan dan pendidikan awal untuk solat berjemaah dan suka kepada masjid.

Pihak pengurusan masjid semestinya mementingkan keselesaan umum ketika beribadah. Bunyi bising anak bermain, teriakan dan tangisan anak-anak kecil tentunya mengganggu jemaah.

Bagi menunaikan tanggungjawab mereka di samping meraikan anak-anak kecil, wujud inisiatif pihak masjid yang menjadikan masjid mesra kanak-kanak.

Kebiasaannya, saf khusus untuk kanak-kanak disediakan di belakang dewan solat masjid. Bagi masjid yang mempunyai kawasan lapang di luar, ada yang membina ‘mini playground’ supaya anak-anak bermain di luar masjid tanpa mengganggu para jemaah menunaikan solat.

Ciri-ciri mesra kanak-kanak ini sebenarnya banyak melegakan para ibu bapa yang membawa anak ke masjid.

Ada satu lagi perkara yang termasuk dalam ciri mesra kanak-kanak iaitu cara teguran jemaah kepada anak-anak yang membuat bising.

Sebelum ini pernah wujud suasana yang tidak manis apabila ada sekumpulan kanak-kanak bermain dan membuat bising, bangkit seorang jemaah lalu memarahi mereka dengan perkataan kasar dan suara tinggi sehingga satu masjid mendengarnya.

Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak berasa malu dan benci untuk ke masjid, apatah lagi sedihnya perasaan si ayah atau si ibu kepada kanak-kanak yang dimarah itu.

Memang benar kanak-kanak perlu ditegur tetapi biarlah dengan cara ‘menang-menang’. Kita tidak mahu mereka benci masjid disebabkan takut kepada sesetengah jemaah yang garang.

Namun suasana begini sudah jarang-jarang kita dengar.

Bagi saya, selain mengharapkan masjid menjadi mesra kanak-kanak, pendidikan oleh ibu bapa juga sangat penting dalam isu ini.

Sebagai seorang ayah, saya juga membawa anak-anak saya ke masjid dan surau. Mendidik anak solat di masjid adalah satu kemestian.

Didikan ini tidak bermula pada bulan Ramadan sahaja, ia bermula sejak mereka kecil lagi.

Baginda Nabi pernah bersabda, antara 7 golongan yang dinaungi ‘arasy Allah pada akhirat nanti ialah lelaki yang hatinya berpaut pada masjid. Orang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid, sudah tentu tidak hanya hadir ke masjid pada bulan Ramadan atau ketika solat Jumaat semata-mata.

Antara ayat yang saya selalu sebut kepada anak saya ialah “Abang boy, boy solat di masjid dengan abi. Kakak girl, girl solat di rumah dengan ummi”.

Selain itu, qudwah yang ditunjukkan oleh para bapa juga akan ditiru dengan mudah oleh anak-anak.

Anak saya juga pernah membuat bising di masjid dan surau. Ia adalah normal kerana sebagai kanak-kanak, mereka hanya boleh fokus atau duduk diam pada satu-satu masa dalam tempoh yang singkat.

Untuk itu, saya mempraktikkan kaedah ‘reward and punish‘ untuk mendidik mereka diam di masjid. Jika mereka sudah terbiasa beradab sopan menghormati masjid, apabila masuk bulan Ramadan ia tidak menjadi satu masalah lagi.

Masjid adalah satu institusi utama dalam pembentukan masyarakat Islam. Kita bersyukur kerana sudah banyak masjid yang ditadbir urus dengan baik, dan ia perlu diperkemaskan lagi agar peranannya betul-betul dirasai oleh masyarakat.

Nah, masjid mesra kanak-kanak sudah ada merata tempat, para bapa jangan melepaskan peluang hadir lebih kerap ke masjid seeloknya lima kali sehari. Di samping itu, bawalah anak-anak dan didiklah mereka agar beradab sopan ketika di rumah Allah, bukan hanya pada Ramadan, begitu juga di bulan-bulan lain.

Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin
Pengarang Ismaweb.net

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Cuba gi Mesjid besi pula.
    Ada satu saf yang terkebelakang dari saf utama tapi hairanya bukan anak-anak saja dalam saf tu. Semua peringkat umur pun ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker