Penderaan tidak berakhir dengan sembuhnya luka
Ramai yang akan terkejut, marah, sedih dan kasihan setiap kali melihat gambar anak kecil didera.
Namun realitinya, bila sensasi kisah ini berakhir di media, keesokan harinya kita semua akan lupa pada anak kecil ini dan meneruskan hidup seperti biasa.
Namun hakikatnya kehidupan anak kecil ini tidak akan berlalu seperti biasa. Kesan penderaan pada anak-anak bukan berakhir seusai luka yang terlihat di badan sembuh.
Banyak kajian secara konsisten telah menunjukkan kesan jangka masa panjang penderaan kepada anak-anak menjangkaui fasa kanak-kanak mereka.
Kajian menyimpulkan anak-anak ‘survivor’ penderaan ini:
– Lebih berisiko mendapat penyakit mental seperti kemurungan, anxiety (kerisauan melampau), ketagihan dan masalah personaliti (Spila, Makara, Kozak, & Urbanska, 2008), eating disorders, gangguan seksual dan perilaku suicidal (Draper et al., 2007)
– Kajian oleh Herper et al. (2007) menunjukkan 76% responden dewasa yang mempunyai sejarah didera ketika kecil mempunyai sekurang-kurangnya satu diagnosis penyakit mental.
– Lebih banyak mengalami masalah hubungan, rumahtangga dan lebih ramai yang suka menyendiri.
Kesimpulannya, kesan jangka masa panjang penderaan tidak berakhir semudah ‘melupakan’. Tanpa sokongan yang sepatutnya, kesannya boleh kekal seumur hidup.
Walau bagaimanapun, tidak mustahil untuk seseorang bangkit semula daripada kisah silam dan menjalani hidup normal setelah melalui sejarah hitam dalam hidup.
Namun ianya memerlukan sokongan yang kuat dari persekitaran, peribadi yang kuat, kekuatan spiritual dan rohani.
Jangan anggap penderaan sekadar datang dalam bentuk lebam dan patah-patah tulang. Penderaan emosi, pengabaian, penderaan dan gangguan seksual, ugutan dan pengabaian hak dan nafkah juga adalah bentuk penderaan yang sama seriusnya.
Jika anda dapati sebarang kegusaran tentang mana-mana anak kecil yang anda kenal, bertindaklah sebaiknya.
Jika anak anda mempunyai masalah psikiatri, pembelajaran dan tingkah laku yang menyebabkan kesabaran anda selalu teruji, dapatkanlah bantuan doktor.
Jika anda sendiri, atau pasangan anda mengalami masalah mengawal marah atau sebarang tingkah laku yang boleh memberi risiko kepada anak, dapatkan rawatan.
Jika anda merupakan antara mangsa penderaan ketika kecil, bangkit dan lakukan sesuatu untuk diri anda. Memendamnya bukan penyelesaian. Dapatkan sokongan dan bantuan jika ia memberi kesan kepada mental anda.
Jangan biarkan anda dan keluarga menjadi sebahagian daripada statistik.
Bulan mulia ini sepatutnya diselubungi dengan rahmat, kesabaran dan ketaqwaan. Namun malangnya kita masih mendengar sisi gelap kemanusian di dalamnya. Moga Allah pelihara.
Dr Rozanizam adalah doktor psikiatri di HUSM dan penulis buku ‘Aku Nabi Isa, Refleksi Wad Sakit Jiwa’.
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana mahupun Ismaweb.net.