Jubah mudah dan elegan, bukan Arabisasi
SERINGKALI apabila saya menemani isteri saya untuk membeli belah, beliau akan menghabiskan masa yang lama untuk memilih jubah dan abaya. Kebiasaannya, saya bersabar dan memerhatikan gelagat isteri saya membeli belah, namun tidak dinafikan kadang-kadang teringin juga hendak membuka mulut dan bertanya, “Kenapa masih beli jubah dan abaya? Bukan semua sama sahaja?”
Mujur fikiran saya mampu menjangkakan jawapan mudah yang akan diberikan isteri saya, “Jubah simple dan elegan”.
Itulah hakikatnya. Setiap tahun pelbagai fesyen terbaru wanita berada di pasaran. Ada wanita-wanita Melayu yang membeli mengikut trend terkini namun tidak kurang wanita-wanita Melayu ini masih berminat dengan fesyen jubah.
Mereka tidak memilih jubah kerana mahu menjadi “Arab wannabee” atau terpengaruh dengan agenda Arabisasi atau neo-taliban yang kononnya sedang berkembang pesat di Malaysia menurut penulisan pengarang berita portal liberal The Malaysian Insider, Amin Iskandar yang bertajuk “Apabila budaya Melayu ditelan budaya Arab”. Tidak sama sekali. Jubah bukan lambang arabisasi. Jubah hanyalah satu daripada ratusan atau ribuan jenis fesyen yang menjadi minat dan tarikan untuk wanita-wanita di zaman ini.
Di mata wanita-wanita Melayu yang memakai abaya ini, jubah adalah satu pakaian yang mudah, cantik dan senang untuk dipakai. Yakinlah, tiada sesiapa pun memaksa mereka memakai jubah. Itu adalah kehendak dan minat mereka sendiri untuk membeli dan memakai jubah. Apabila dalam keadaan tergesa-gesa untuk keluar rumah, mereka hanya perlu mencapai jubah dan menyarungnya tanpa perlu menukar baju asal yang sedang dipakai. Sudah beberapa kali saya saksikan sendiri bagaimana dalam keadaan huru hara di dapur dan tiba-tiba tetamu datang, isteri saya dengan mudah menyarung jubah tanpa perlu meminta tetamu tunggu di luar rumah kerana mahu menggosok baju kurung dengan sterika.
Jubah tiada kena mengena dengan arabisasi. Apabila memperkatakan tentang sesuatu fesyen pakaian, hukum Islam adalah sangat luas. Pakaian sesuatu kaum tiada kaitan dengan agama yang dianuti mereka, ia adalah pakaian bangsa. Kita harus sedar kehidupan manusia ini pelbagai. Maka seni rekaan dan fesyen juga akan menjadi pelbagai. Islam tidak pernah memaksa selain bangsa Arab untuk meniru budaya Arab.
Di dalam Islam, selagi sesuatu kesenian dan budaya tidak bercanggah dengan nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah, maka kita tidak boleh menolaknya semata-mata kerana fesyen tersebut bukan berasal daripada budaya bangsa kita. Manakala jika ada sesuatu kebudayaan itu mengandungi perkara khurafat dan syirik, kita wajib menolaknya sekalipun ia telah menjadi sebati dengan amalan turun temurun nenek moyang kita.
Janganlah diperbesar-besarkan isu jubah. Ia hanyalah satu fesyen yang praktikal bagi wanita Melayu yang meminatinya dan tiada kaitan dengan arabisasi atau neo taliban. Janganlah terlebih “fobia” dengan Islam sehingga fesyen jubah pula mahu dijadikan mangsa serangan media sosial.
Abu Ameen
Pembaca Ismaweb, pengeluar duit dan pembayar GST untuk beli jubah isteri
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana mahupun Ismaweb.net.
Budaya tinggi yang menepati nilai-nilai murni perlu diteruskan dan dimartabatkan oleh bangsa dunia.