Kelompok ekstremis liberal dan bidak-bidak tangan asing
UCAPAN Noor Farida Arifin, seorang pengasas SIS dan mantan duta di Belanda yang mengetuai G25, di London School of Economics menarik perhatian saya.
Dalam ucapan tersebut Noor Farida mengecam tindakan pemimpin-pemimpin Malaysia yang senantiasa memberi ruang bagi perkembangan Islam dalam kehidupan masyarakat.
Fenomena Islamisasi yang berkembang ini jelas telah menyesakkan dada kelompok liberal dan sekular, dan kerana tidak tahan dengan perkembangan ini maka mereka telah menubuhkan G25 yang dianggotai oleh sekitar 50 mantan penjawat awam dan profesional.
Bagi mereka jumlah ini sudah begitu banyak dan melambangkan majoriti sedangkan pada hakikatnya mereka hanyalah minoriti.
Strategi yang dilakukan oleh Noor Farida adalah memburuk-burukkan golongan yang menentang idea-idea liberal dan sekular yang dibawa olehnya dan rakan-rakannya.
Strategi demonizing yang dilakukannya di hadapan masyarakat antarabangsa ini melampau. Beliau menggelar mereka sebagai ‘religious extremists’ dan menggelar usaha yang mereka lakukan sebagai ‘creeping talibanization of Malaysia’ dan meracuni pemikiran bangsa.
Beliau tidak sedar dalam menentang kelompok yang ekstremis itu ia telah terperangkap dalam satu lagi ekstremisme iaitu ekstremisme liberal.
Kelompok ekstremis liberal adalah kelompok yang memperjuangkan antara lain agar kerajaan membenarkan perkahwinan sesama jenis (gay dan lesbian) sebagaimana yang banyak berlaku di negara-negara Barat.
Inilah yang dituntut oleh Irshad Manji dalam bukunya Allah, Liberty and Love yang menimbulkan kontroversi di Malaysia.
Kelompok ekstremis liberal juga memperjuangkan kebebasan bersuara (freedom of expression) yang mutlak termasuk kebebasan untuk memburuk-burukkan agama, memburuk-burukkan Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang berlaku di Perancis, memburuk-burukkan institusi-institusi Islam seperti yang dilakukan oleh Eric Paulsen baru-baru ini.
Semua ini boleh menimbulkan ketegangan dan kekacauan dalam masyarakat. Oleh yang demikian, kelompok inilah yang selayaknya disebut sebagai pelampau, kerana mahu memaksakan idea-idea liberal dan sekular mereka ke atas masyarakat, mereka lah yang sebenarnya telah melakukan “creeping liberalization of Malaysia” dan meracuni pemikiran bangsa.
Apa yang Kerajaan lakukan sebenarnya hanyalah melaksanakan tuntutan majoriti rakyat Malaysia yang mahukan Malaysia melaksanakan Islam dengan sempurna. Atas tuntutan inilah Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2001 mengishtiharkan bahawa Malaysia adalah Negara Islam mengikut definisinya sendiri.
Untuk menguatkan perkara ini Tun Abdullah Badawi menggagaskan idea Islam Hadhari, meskipun ianya adalah idea yang keliru tetapi niatnya adalah mengemukakan citra Islam yang progresif dan berdaya maju.
Di zaman kepimpinan DS Najib Razak pula kerajaan tetap bertegas mahu mempertahankan kesucian Islam dan melawan arus liberalisme dan pluralisme agama.
Semua perkembangan ini bagi saya adalah amat baik dan kita menantikan perkara-perkara yang baik akan menyusul agar lebih bersesuaian dengan kehendak Islam dan sebagaimana disuarakan oleh ramai ulama di Malaysia.
Namun demikian Noor Farida beranggapan bahawa kefahaman para ulama di Malaysia ini mengenai Islam adalah keliru, justeru, kefahaman dialah yang betul.
Hal ini sangat tidak masuk akal. Tidak dapat dibayangkan jika perkara seumpama ini berlaku dalam masyarakat Hindu, Budha atau Kristian, tidak mungkin ada orang awam dalam agama mereka mengkritik kefahaman agamawan mereka sendiri.
Sekurang-kurangnya hormatilah disiplin ilmu, tuntutlah ilmu dengan tekun sebelum berani mengkritik sesuatu ilmu itu.
Noor Farida bertindak lebih berani daripada itu apabila beliau menyerlahkan kejahilannya mengenai agama Islam, khususnya mengenai hukum hudud.
Beliau mengatakan bahawa “sangatlah tidak adil apabila seorang pengusaha yang mencuri harta awam dibebaskan sedangkan seorang penganggur yang mencuri untuk memberi makan keluarganya dipotong tangan”.
Beliau jelas tidak mengerti bahawa hudud dilaksanakan untuk semua kalangan tanpa mengira miskin atau kaya, bangsawan atau rakyat biasa.
Justeru, di antara syarat pelaksanaan hudud adalah tiadanya shubhat, kerana itu Sayyidina Umar pernah menangguhkan pelaksanaan hudud pada musim kemarau ketika seseorang itu mencuri kerana survival.
Kerana itu, persoalannya bukanlah sama ada hudud itu adil ataupun tidak tetapi sejauh manakah negara kita bersedia melaksanakan hudud agar pelaksanaannya benar-benar menjamin keadilan bagi semua pihak.
Tindakan Noor Farida yang mengkritik institusi-institusi Islam di Malaysia semestinya disukai oleh institusi-institusi Barat yang mahukan nilai-nilai liberal diterima oleh masyarakat dunia.
Oleh kerana itu orang-orang seperti ini sentiasa mendapat tempat di sana dan mendapat pujian yang tinggi, di sebalik pujian dan sokongan itu tanpa disedari sebenarnya mereka telah menjadi bidak-bidak di papan catur tangan-tangan asing yang ingin menguasai negara umat Islam secara halus.
Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana mahupun Ismaweb.net.
Mahathir tidak merujuk kepada Ahli Sunnah wal Jamaah, tetapi Islam interpretasinya sendiri, malah telah merosakkan satu institusi Islam, apabila mewajibkan Agong menanda tangani keputusan parlimen. Jika diteliti Agong bila menolak untuk dibincangkan semula, bukan keputusan peribadi tetapi keputusan majlis raja-raja yang dinasihati oleh mufti dan majlis agama Islam negeri.Struktur pengurusan negara ini adalah Islamic, hanya petlu perkukuhkan insititusi beraja, dengan ahli-ahli majlis agama Islam negeri terdiri yang pakar dalam islam, juga raja yang taqwa