Berita UtamaPendapatUtama

Pertarungan politik: Maqasid tertinggi Al-Quran VS maqasid tertinggi syaitan

pertarungan politik maqasid alquran vs maqasid syaitan
MERENUNG nasib anak bangsa dan agama kita yang semakin berkrisis dan berjinak-jinak dengan musuh Agama, memberi isyarat kepada saya bahawa sememangnya anak bangsa dan Agama ini semakin lupa akan satu perkara.

Satu perkara yang sudah jarang didengari dalam laungan gerakan-gerakan Islam di Malaysia hari ini, jauh sekali hendak diterjemahkan dalam amal nyata mereka.

Perkara tersebut adalah ; memperjuang maqasid tertinggi Islam. Ia adalah perjuangan dan pertembungan utama di alam dunia ini, sebagai persediaan menuju alam barzakh dan alam akhirat.

Walaupun perbincangan maqasid sudah semakin meluas mutakhir ini, bagi saya rata-rata perbincangan maqasid dalam kalangan anak muda, reformis & gerakan Islam hari ini begitu mengecewakan. Yang disentuh hanyalah isu-isu bersifat juz’iyyah atau mikro seperti menegakkan keadilan sosial, memperjuang hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan lain-lain laungan yang dakwanya itulah maqasid Syariah yang wajib dicapai, itulah tujuan utama syariah diturunkan. Entah mereka sedar atau tidak, dalam masa yang sama mereka sedang duduk mesra, bertahaluf siyasi dengan golongan yang menentang keras maqasid tertinggi syariah atau maqasid Al-Quran seperti DAP.

Malang sekali, maqasid tertinggi yang bersifat kulliah atau makro yang hakikatnya adalah asas segala maqasid yang dilaungkan tadi telah dipinggirkan. Natijahnya, apa yang dilaungkan tiada penyelesaian secara big picture dan long term melainkan hanya memberi kredit kepada agenda musuh penentang utama maqasid tertinggi Islam.

Ya, sebenarnya laungan “kebajikan”, “keadilan sosial”, “kebebasan bersuara” yang dakwanya itulah maqasid Syariah yang wajib dicapai itu hanyalah sekadar umpan bagi meraih sokongan umat Islam untuk “memudahkan” mereka menyokong agenda-agenda mereka lain yang lebih besar tambah sesat tanpa disedari.

Melihat krisis ini, ingin sekali saya berkongsi seringkas yang boleh serba sedikit mengenai maqasid tertinggi Islam yang wajib ditekankan bagi memandu kita khususnya sebagai seorang Muslim yang terikat dengan syariah, juga teguran buat para “reformis lagi progresif” serta panduan yang bersifat kulliah atau makro bagi mereka yang asyik berwacana mengenai ideologi dan pemikiran-pemikiran.

Makna Maqasid Syariah

Maqasid Syariah, Maqasid Syari’, Maqasid Islam dan Maqasid Syar’iyyah semuanya membawa maksud yang sama.[1]

Dari sudut bahasa, Maqasid adalah kata jama’ yang berasal dari kalimah maqsad, yang membawa maksud tujuan.

Maqasid Syariah pula bermaksud: “Matlamat daripada syariah yang diturunkan, dan rahsia-rahsia yang diletakkan As-Syari’ (Allah swt) pada setiap hukum hakamnya”[2], seperti mana yang dijelaskan Al-‘Allamah ‘Allal Al-Fasi.

Syeikh Ibn ‘Asyur pula menerangkan:

“Maqasid ‘Ammah bagi Syariah adalah makna-makna (ma’ani) dan hikmah-hikmah yang dicatatkan/dikehendaki As-Syari’ (Allah swt) dalam semua atau majoriti urusan pensyariatan.”[3]

Secara mudahnya, boleh saya katakan Maqasid Syariah adalah apa yang Allah kehendaki melalui segala syariat yang diturunkanNya. Untuk menjawab kenapa dan apa tujuan kita laksanakan segala tuntutan syariat ini.

Maqasid Syariah sangat penting untuk difahami, kerana satu titik penting yang membezakan Islam dengan segala sistem dan ideologi selainnya adalah berbezanya Maqasid yang begitu jauh jurang antara keduanya yang akhirnya akan menentukan tempat tinggal akhir kita buat selama-lamanya, samada syurga atau neraka. Inilah titik pertembungan antara Islam dan musuh Islam.

Maqasid Syariah adalah Maqasid Al-Quran

Maqasid Syariah adalah Maqasid Al-Quran. Kerana sumber utama syariah itu sendiri adalah Al-Quran, bukan bersumberkan logik akal semata-mata.

Begitu juga bagi semua urusan makhluk, tidak boleh lari dari panduan Al-Khaliq melalui Al-Quran dan As-sunnah yang merupakan wahyu daripada-Nya yang menciptakan seluruh makhluk di dunia ini. Maka tidak boleh tidak, perbincangan maqasid Al-Quran adalah satu perbincangan yang terpenting bahkan merupakan ilmu yang paling utama untuk dipelajari sebelum ilmu-ilmu yang lain di dunia ini.

Sudah ramai ulama’ yang membahaskan tentang Maqasid Al-Quran yang kebiasaannya terbahagi kepada 3 bahagian maqasid:

1. Maqasid setiap ayat Al-Quran secara terperinci.
2. Maqasid setiap surah di dalam Al-Quran,
3. Maqasid umum Al-Quran secara keseluruhan (Maqasid Al-‘Ammah lil Al-Quran). [4]

Adapun dalam tulisan ini saya hanya fokus kepada Maqasid Umum Al-Quran secara keseluruhan untuk memberi gambaran yang lebih luas mengenai maqasid utama yang semestinya dicapai.

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya “Jawahir Al-Quran” menyatakan terdapat 3 Maqasid  Al-Quran yang terpenting sebagai pokok kepada segala maqasid yang lain:

1. Mengenal Allah swt (تعريف الله)
2. Mengenalkan kita pada jalan lurus yang wajib dilaluinya.
3. Mengenalkan keadaan ketika hari Akhirat[5]

Sultan Al-‘Ulama, Al-‘Izz bin Abd Salam menyimpulkan maqasid Al-Quran dalam satu ayat :

“الأمر باكتساب المصالح وأسبابها والزجر عن اكتساب المفاسد وأسبابها”

(Arahan supaya memperoleh maslahah-maslahah dan sebab-sebabnya, serta larangan daripada memperoleh mafsadah-mafsadah dan sebab-sebabnya)[6]

Al-Baqa’ie pula telah menyatakan maqasid surah Al-Ikhlas yang merupakan 1/3 daripada Al-Quran :

” Ia memadai dengan arahan supaya beriktikad dengan keesaan Allah yang merupakan iktikad (kepercayaan) yang paling utama. Segala maqasidnya tertumpu kepada menerangkan Aqidah, hukum-hakam, dan kisah-kisah. Surah ini merangkumi seluruh pengetahuan Ilahiyyah dan membidas mereka yang tidak mempercayainya. Inilah sebenarnya yang dikehendaki yang mana menjadi ikutan/asas segala maqasid yang lain.”[7]

Maqasid Al-Quran Yang Mencabar Kuasa DAP dan Sekutunya

Penulis Tafsir fi Zilal Al-Quran, As-Syahid Syed Qutb rahimahullah telah merungkaikan kepada kita maqasid tertinggi Al-Quran dengan jelas dan bertepatan dengan situasi pasca kejatuhan Khilafah abad ini. Ia tidak bertentangan dengan keterangan-keterangan Ulama’ Agung di atas. Malah beliau telah menulis sebuah tafsir Al-Quran yang lebih membuka mata kita hari ini, bertepatan dengan situasi dunia akhir zaman yang penuh pertembungan kuasa dan ideologi abad ini.

Menurut Syeikh Abdul Fattah Solah Al-Khalidi (seorangan Ulama` Tafsir di Jordan), Syed Qutb – dengan taufiq dan rahmat Allah swt kepadanya –  yang telah hidup berpuluh tahun di bawah naungan Allah dan mendalami makna-makna setiap ayatnya, telah dikurniakan kemampuan untuk mengetahui tujuan sebenar yang praktikal (Aghradh ‘Amaliyyah) daripada Al-Quran dan mengetahui Maqasid Asasiyyah Al-Quran.

Jika kita selalu membaca Tafsir  fi Zilal Al-Quran, pasti kita akan dapati beliau sering mengulangi perkara atau ayat yang sama bagi menguatkannya dan menunjukkan perkara yang ditulis itulah yang terpenting.

Perkara atau isu yang sentiasa diulangi Syed Qutb adalah berkenaan:

1. Aqidah
2. Al-Hakimiyyah
3. Pertembungan yang sentiasa berlaku sepanjang zaman antara Aqidah dan Jahiliyyah.

Inilah sebenarnya apa yang kita perhatikan sendiri dari Al-Quran. Hakikat-hakikat yang sentiasa difokuskan Al-Quran adalah berkenaan hakikat Uluhiyyah dan ciri-ciri khususnya, hakikat ‘ubudiyyah, menentukan hubungan ubudiyyah dengan uluhiyyah, hakikat perkara ghaib, hakikat manusia, hakikat ciptaan alam, dan hakikat kehidupan.[8]

Lihatlah sendiri isi kandungan Al-Quran. Daripada 114 surah, 86 surah adalah surah makkiyyah yang hanya fokus kepada isu-isu berhubung Aqidah, kisah nabi dan umat terdahulu menyeru manusia mentauhidkan Allah serta azab-azab yang ditimpa ke atas mereka yang menyekutukan Allah dalam pelbagai bentuk termasuk mengiktiraf diri sebagai penguasa tertinggi di dunia ini seperti Fir`aun. Selama 13 tahun di Makkah, para Sahabat dididik dengan didikan paling asas iaitu peneguhan Aqidah. Dalam tempoh 13 tahun itu jugalah Rasulullah dan para Sahabat tidak pernah berkompromi apatah lagi duduk mesra bersama musuh Agama Islam biarpun mereka diboikot, diseksa dan dibunuh.

Maqasid Asasi Al-Quran menurut Syed Qutb adalah perjuangan di dalam pertempuran Aqidah (معركة العقيدة), melawan musuh-musuh Umat Islam, dan menetapkan umat Islam di atas jalannya.[9]

Al-Quran di sisi Sayyid Qutb bukanlah bercerita tentang peristiwa yang berlaku pada sesuatu fatrah/tempoh zaman tertentu yang telah berlalu dan berakhir begitu sahaja. Bukan juga mengisahkan tentang pertembungan dengan Jahiliyyah lalu yang telah hapus di mamah zaman. Tetapi ia bercerita tentang  segala Jahiliyyah-Jahiliyyah yang wujud tidak kira masa dan zaman. Tentang bertembungan dengan realiti yang terpesong tidak kira zaman, dan membawa realiti tersebut pulang ke Jalan Allah yang lurus.[10]

Perkara yang disebut di atas adalah isu pokok dalam Al-Quran, maqasid asasi bagi Al-Quran. Sebab itulah kita dapat perhatikan Syed Qutb seringkali mengulanginya bagi menyedarkan dan membuka mata hati kita yang sudah lama terlena. Dengan ini barulah kita dapat merasai hakikat “hidup dengan Al-Quran”. Jika tidak, kita akan rasa Al-Quran terlalu jauh dari jiwa dan jasad kita, terus malas untuk mentadabbur Al-Quran.

Menurut Syed Qutb lagi, kehidupan manusia di muka bumi ini tidak akan lurus melainkan apabila wujudnya hakikat ini dalam kepercayaan dan gambaran mereka, begitu juga dalam kehidupan dan realiti mereka[11], bahawa Allah swt sahaja yang Maha Berkuasa di dunia ini. Allah sahaja lah yang layak memerintah segala sistem di dunia ini. KuasaNya mutlak tidak tertanding oleh sebarang kuasa dan sistem manusia. Inilah yang disebut Al-Hakimiyyah Lillah (Seluruh pemerintahan adalah milik Allah).

Inilah sebenarnya titik penting berbezanya maqasid ataupun tujuan utama umat Islam dengan musuh Islam dan sekutunya.

Pejuang Islam yang hakiki sentiasa berjuang menegakkan Hakimiyyah Allah, manakala musuh Islam sentiasa berjuang menjatuhkan Hakimiyyah Allah, ingin terus kekal berkuasa di atas muka bumi ini, mengatasi Allah swt.

Tiada ruang bagi US, Yahudi, DAP, Syiah, dan sekutu mereka untuk menguasai negara dan dunia ini biarpun bermacam “kebaikan” yang mereka taburkan seperti pemberian juadah iftar, elaun tahfiz dan sebagainya.

Umat Melayu Islam jangan terlalu naif terhadap ancaman musuh hari ini. Seolah-olah segala ancaman musuh dan kisah pertembungan Islam dan musuhnya yang banyak dikisahkan di dalam Al-Quran hanyalah valid untuk kaum dan zaman dahulu.

Maka apakah tiada manfaat Allah ceritakan kisah-kisah tersebut kepada kita zaman ini?

Kesimpulan

Penegakan Aqidah di muka bumi, menegakkan Hakimiyyah Allah, inilah maqasid kepada segala maqasid yang dibincangkan hari ini yang mana tidak pernah disebut oleh pejuang Islam liberal di Malaysia dan tidak sesekali diiktiraf oleh DAP dan sekutunya kerana ia sentiasa bertentangan dengan “maqasid tertinggi” mereka. Lihatlah sendiri bagaimana saban hari mereka berjuang mencabar kedudukan Islam di negara kita, memperlekeh syiar-syiar agama Islam seperti isu pakaian, isu khutbah jumaat, isu kalimah Allah, isu hudud, isu status agama anak orang Islam yang baru lahir, dan banyak lagi.

Akhirnya kita ingin membawa seluruh manusia kepada Allah swt. Kita ingin mengangkat kedudukan Agama Allah menjadi sistem kehidupan untuk seluruh manusia di dunia ini. Agama Allah iaitu Islam sahajalah yang layak bahkan wajib untuk dipatuhi, kerana kita yakin bahawa tidak ada yang dapat menyediakan suatu sistem terbaik untuk seluruh makhluk melainkan Al-Khaliq, Allah swt, Pencipta kepada semua makhluk.

Sunnah perjuangan sudah termaktub di dalam Al-Quran, maqasid Al-Quran ini sentiasa mencabar kuasa Jahiliyyah, mencabar kedudukan-kedudukan manusia yang merasakan diri mereka tuhan yang berkuasa di dunia ini, mencabar kedudukan mereka yang bertuhankan akal dan hawa nafsu. Tidak pernah ada dalam sejarah emas 1300 tahun Islam memerintah dunia, pemerintahan tertinggi negara Islam berkongsi dengan golongan kafir. Tidak ada dalam sejarah kita juga umat Islam berkerjasama dan bertahaluf siyasi dengan golongan kafir bagi sama-sama membina sebuah negara Islam.

Hanya mereka yang naif akan terus terpedaya dengan laungan-laungan liberal, demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan tajaan barat dan musuh Islam bagi menutupi kerakusan mereka yang tamakkan kuasa besar dunia, yang menyerang umat Islam dalam pelbagai bentuk fizikal mahupun pemikiran, untuk mengekalkan kedudukan mereka di tampuk pemerintahan dunia, mengatasi kedudukan tertinggi Allah swt yang menjadi maqasid utama kita.

Umat Islam yang menyedari hakikat ini akan sentiasa berjuang dengan segala kemampuan untuk menegakkan agama Islam, berani bertembung dengan segala kuasa dan pemikiran selain Islam pada hari ini seperti Liberalisme, Humanisme, Feminisme, Hedonisme yang merupakan umpan barat bagi menarik hati umat Islam dan mencairkannya secara halus dan perlahan-lahan.

Kita perlu yakin bahawa Islam sahajalah yang mampu memberi rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh manusia. Jika tidak, apakah ertinya Islam kita pada saat ini?

Firman Allah swt :

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

 “Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui” (Al-Jathiyah : 18)

Berkata Imam Ibnu Al-Qayyim rahimahullah :

“Sesungguhnya asas syariah adalah ia memberi hikmah dan kebaikan pada kehidupan manusia. Syariah semuanya adil, semuanya maslahah, dan semuanya hikmah.”[12]

Bak kata Imam As-Syahid Syed Qutb, Syariah Allah sahaja yang layak untuk diikuti. Selain Syariat Allah adalah hawa nafsu yang sumbernya adalah kejahilan. Samada Syariat ataupun nafsu, tiada yang ketiga. Tiada jalan pertengahan antara syariat yang lurus dan hawa nafsu.[13]

Berbezanya Islam dan selain Islam adalah, segala syariat yang diturunkan kepada kita adalah bukan demi kebaikan di dunia sahaja, malah yang paling penting adalah demi kebaikan di akhirat. Berkata Imam As-Syatibi:

إن الشارع قصد بالتشريع إقامة المصالح الأخروية والدنيوية

(Sesungguhnya apa yang dikehendaki As-Syari` (Allah swt) daripada pensyariatanNya adalah penegakan kemaslahatan atau kebaikan akhirat dan dunia) [14]

ahmad k3Wallahu A’lam

Ustaz Ahmad Khairudin

Rujukan:

[1] Nadzoriah Al-Maqasid ‘Inda Al-Imam As-Syatibi, m/s 17

[2] Maqasid As-Syariah Al-Islamiah wa Makarimuha, m/s 3

[3] Maqasid As-Syariah Al-Islamiah, m/s 50

[4] Maqasid Al-Maqasid, Syeikh Dr. Ahmad Ar-Raisuni, m/s 21-24

[5] Jawahir Al-Quran, m/s 23

[6] Qawa’id Al-Ahkam fi Islah Al-Anaam. 10/1

[7] Nazmu Ad-Durar fi Tanasubi Al-Ayat wa As-Suwar, 593/8

[8] Lihat : Surah Al-Baqarah ayat 109, 130, 217, Surah An-Nisa’ ayat 89 sebagai contoh.

[9] Lihat : Fi Zilal Al-Quran, 3541/1

[10] Lihat : Fi Zilal Al-Quran, 1219/3

[11] Lihat : Fi Zilal Al-Quran 1753/3

[12] I’lam Al-Muwaqqi’in, 3/3

[13] Tafsir fi Zilal Al-Quran, 5/3229

[14] Al-Muwafaqat 2/62

Rujukan utama :

1. Maqasid Al-Maqasid, Syeikh Dr Ahmad Ar-Raisuni
2. Al-Manhaj Al-Haraki fi Zilal Al-Quran, Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker