Ke hadapan Datuk Seri Najib…
Bukanlah tujuan saya menulis kerana membenci, tetapi kerana saya sentiasa meletakkan kepentingan tanah air tercinta ini sebagai keutamaan dalam diri saya.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
Dalam melintasi perjalanan kisah politik negara yang penuh berliku, hari ini (semalam) kami dikejutkan dengan berita pemecatan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dengan sebab yang masih samar. Apapun sebab beliau dipecat, pastinya tindakan ini sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan dan keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada.
BANTAH TPPA DI WWW.JANGANJUALNEGARA.COM
Ramai anak muda yang tidak begitu berminat untuk mengambil berat tentang situasi politik negara yang semakin pelik ini, pasti sahaja berita ini terpaksa kami ikuti kerana ianya sedang menjadi ‘trending’ di media sosial.
Dalam keterujaan banyak pihak menilai dan meramal strategi politik yang sedang dilakukan oleh Datuk Seri, kami melihat ianya sebagai perjuangan yang bersifat mencapai kepuasan peribadi yang akhirnya akan merugikan masa depan kami. Segala percaturan politik hari ini sedikit pun tidak menampakkan keceriaan untuk kesenangan bangsa, agama dan tanah air yang akan dipimpin oleh kami suatu hari nanti.
Persoalannya, apakah segala bentuk kejutan yang berlaku ini dirancang Datuk Seri untuk mengalih semua perhatian daripada segala persoalan tentang salah laku Datuk Seri (kami harap semuanya tidak benar) dan juga berbincang mengenai perkara yang lebih utama iaitu masa depan kami?
Antara perkara yang paling kami risaukan adalah rundingan perjanjian TPPA yang nampaknya semakin berat ke arah bersetuju untuk ditandatangani oleh Datuk Seri dan pastikan perjanjian ini terang-terangan akan menggadaikan masa depan anak muda di negara ini.
Kami langsung tidak nampak keuntungan kepada masa depan kami sekiranya perjanjian ini dimeterai. Apakah Datuk Seri memang benar-benar tidak nampak keburukan atau sudah terkesan dengan arahan daripada kuasa luar? Di sinilah sepatutnya keberanian dan ke’jantan’an dituntut daripadaDatuk Seri untuk tegas dan tidak sewenang-wenangnya mengikut telunjuk orang luar dalam membuat keputusan. Bukannya hanya berani untuk menyingkir mereka yang tidak sependapat dengan Datuk Seri untuk mencapai agenda dan kepuasan peribadi.
Perjalanan kami masih jauh dan panjang Datuk Seri. Kami sentiasa meletakkan kepentingan bangsa dan agama sebagai wadah perjuangan. Hari ini kami lesu dalam berjuang kerana segala harapan dan cita-cita kami dari awal lagi tidak mendapat tempat di mata pemimpin kami.
Kami ingin melihat bangsa kami menjadi kuasa besar dan menguasai ekonomi Tanah Melayu ini. Seterusnya, meletakkan Islam itu kembali di tempat asalnya tanpa boleh dicabar oleh sesiapa. Tetapi di tanah air milik kita ini, Datuk Seri membiarkan mereka bebas untuk mencabar Islam dan keadaan ini membuatkan mereka semakin berani mempersoalkan agama rasmi kita.
Begitu juga dengan hak istimewa orang Melayu yang sedikit sebanyak dinafikan. Membiarkan ‘tetamu’ membuat keputusan dan mempersoal hak ‘tuan rumah’ menunjukkan Datuk Seri langsung tidak mempunyai keberanian dalam memperjuangkan masa depan kami.
Kami tiada pilihan buat masa ini Datuk Seri. Melihat situasi di pihak ‘sebelah’ lebih membuatkan kami lebih runsing. Sikap ‘toleransi’ mereka sehingga sanggup mengangkat kumpulan yang terang-terang menghina Islam membuatkan kami pasti, sekiranya mereka yang memimpin, bagaimana mungkin untuk kami melihat perjuangan Islam itu menjadi keutamaan. Belum pun mendapat kuasa sudah berani mempertikai dan mempersoal tentang Islam, inikan pula sudah ada kuasa di tangan. Sudah pasti jawapannya tidak.
Hakikatnya, Datuk Seri mempunyai kuasa mutlak dalam membuat apa jua keputusan dalam negara ini. Namun secebis harapan kami sentiasa mengharapkan keputusan yang lebih rasional demi masa depan bangsa, agama dan negara tercinta ini. Bukanlah tujuan saya menulis kerana membenci, tetapi kerana saya sentiasa meletakkan kepentingan tanah air tercinta ini sebagai keutamaan dalam diri saya.
Sekian,
Assalamualaikum.
Nafidz Razak
Pembaca Ismaweb
#generasiharapan
#umatberagenda
#TSMY
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana mahupun Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).