Berita UtamaPendapatUtama

Pilihan raya kampus: Medan melahirkan mahasiswa beragenda

nurul saqinah rosli
SABAN tahun, pilihan raya kampus yang berjalan di seluruh institusi pengajian tinggi mendapat tumpuan ramai pihak khususnya golongan mahasiswa. Kempen dan manifesto dilaungkan oleh calon-calon majlis perwakilan pelajar bagi membawa visi dan misi mereka ke arah pembangunan dan kebaikan warga kampus itu sendiri.

Namun hakikatnya, di sebalik semua ini, pilihan raya kampus tidak lari daripada terpalit dengan isu-isu yang kurang menyenangkan. Isu fitnah memfitnah sehingga membawa imej negatif kepada calon itu perkara biasa. Bahkan, ia boleh menjadi lebih buruk sehingga melibatkan kecederaan dan sebagainya. Perkara ini adalah amat membimbangkan kerana pilihan raya kampus seharusnya menjadi medan buat golongan intelek muda ini membawa suara mereka melalui medium yang positif. Tetapi, perkara yang sebaliknya terjadi.

Seperti yang digariskan di dalam buku Jalan Dakwah antara Keaslian dan Penyelewengan karya Fathi Yakan, mu’amalah dalam bidang politik di dalam masyarakat kita sekarang adalah rosak. Politik sekarang tertegak di atas penipuan dan sesiapa yang pandai menipu dianggap cerdik dan berjaya. Sebaliknya, orang yang mencebur diri dalam politik dan bersikap jujur, berakhlak dan mengamalkan sikap yang disuruh oleh agama maka orang itu dianggap sebagai bodoh dan gagal berpolitik.

Oleh itu, pilihan raya kampus seharusnya diwarnai dengan persaingan yang sihat dan budaya intelek yang tinggi kerana di sinilah permulaan dalam melahirkan barisan pimpinan negara pada masa akan datang. Pilihan raya kampus juga seharusnya menjadi medan dalam melahirkan politik kampus yang bersih dan sihat.

Lantaran itu, Islam mesti dijadikan sebagai garis panduan bagi membawa dan merealisasi dan membawa agenda dan misi yang diimpikan. Seperti gagasan yang ingin dibawa Arus Siswa, nilai dan teras Islam wajar dihayati dalam budaya aktivisme kampus oleh mahasiswa.

Sebagai seorang mahasiswa yang membawa agenda Islam sebagai misi utama, seharusnya kita dengan yakin membawa dan memanifestasikan Islam itu sendiri melalui manifesto yang disampaikan. Tambahan pula, buat mereka yang memegang gelaran sebagai mahasiswa universiti Islam.

Islam bukan hanya merangkumi ibadah semata-mata, tetapi Islam itu adalah gaya hidup kita dan mencorak peribadi kita. Namun, apa yang dapat kita lihat pada hari ini, kebanyakan manifesto yang dibawa adalah berkaitan kebajikan secara material sedangkan penerapan Islam juga adalah satu bentuk kebajikan mahasiswa dalam bentuk pemantapan roh Islami yang pastinya membantu dalam membentuk karakter sebagai mahasiswa Islam yang berkualiti.

Islamisasi tidak akan berjaya diterapkan dengan hanya memenuhi kebajikan pelajar semata-mata. Tidak ada salahnya untuk mengutamakan kebajikan pelajar, namun apa yang harus difahami, pilihan raya kampus bukan hanya untuk mengutamakan kebajikan mahasiswa, tetapi ia adalah lebih daripada itu.

Justeru, mahasiswa seharusnya menyemai kesedaran dalam diri masing-masing bahawa pilihan raya kampus bukan sahaja menjadi platform buat kita memilih majlis perwakilan pelajar untuk membawa suara kita di peringkat atasan, malah ia lebih daripada itu.

Pilihan raya kampus adalah medan permulaan bagi melahirkan mahasiswa yang mempunyai agenda yang jelas sekaligus mampu mengangkat nilai mahasiswa itu ke peringkat yang lebih tinggi. Di sini adalah batu loncatan untuk kita melahirkan mahasiswa yang matang dan berjiwa besar dengan diresapi misi Islam yang tulen yang sekaligus, mampu membawa kebaikan kepada ummah.

Inilah masa dan saatnya buat mahasiswa kembali me’makna’kan mahasiswa itu sendiri khususnya sebagai mahasiswa Muslim. Buka minda dan buatlah penilaian dengan bijak. Jadikanlah pilihan raya kampus ini sebagai medan amal kita dalam membawa agenda dan politik Islam, bukan politik permusuhan. Nilailah dengan matang, kerana pilihan anda menentukan masa hadapan.

Buat semua barisan Majlis Perwakilan Pelajar yang berjaya menyertai PRK dan telah terpilih, setinggi tinggi tahniah dan takziah diucapkan. Galaslah amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab kerana anda semualah yang bakal menerajui suara mahasiswa.

Nurul Saqinah Binti Rosli
Pen Biro Politik Kampus
PEMBINA IIUM Chapter

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker