Kulihat mahasiswa sekarang semakin hilang arah: Dr Khalif Muammar
Kulihat mahasiswa sekarang semakin hilang arah
Tidak tahu tujuan sebenar keberadaan mereka di universiti
Tujuan hidup, makna diri, lebih-lebih lagi
Mereka lebih suka hanyut dalam gelombang, dibuai mimpi
Ikut sahaja apa yang popular, orang ke kanan ikut ke kanan, orang ke kiri ikut ke kiri
Mereka punya idealisme tetapi tidak intelektualisme
Kerananya, tidak lebih dari slogan, teriakan kemarahan, yang hampa makna
Bila disebutkan karya-karya besar
Ah itu terlalu tinggi tidak membumi!
Aku mahu yang praktikal, yang difahami rakyat jelata
Aku mahu Ilmuwan yang turun ke jalanan
Bukan yang hanya tahu berpidato dan menulis
Kini mereka tidak lagi dapat mengenal mana kaca mana permata
Yang penting ianya mengikut selera pasaran
Bila disebut tentang ilmu
Mereka kata aku sudah punya
Apa gunanya ilmu yang mendalam jika tidak dijalankan!?
Jika keadilan tidak ditegakkan
Jika kezaliman terus merajalela
Jika si miskin masih tetap kelaparan
Kebenaran dan kepalsuan hanyalah ilusi
Sememangnya ilmu tanpa amal tidak berguna,
tetapi amal tanpa ilmu jauh lebih berbahaya
Apa kan jadi,
Jika pemimpin kita nanti
Hanya tahu berjalan, tidak tahu menunjukkan jalan
Hanya tahu mencari kesalahan, tidak tahu memperbetulkan
Hanya tahu berbicara, tidak tahu berkarya
Hanya tahu meruntuhkan, tidak tahu membina
Sesungguhnya mahasiswa perlukan bimbingan
Daripada guru besar,
Yang mengajarkan ilmu dan kebijaksanaan
Bukan idea dan teori yang memporakperandakan
Andai sahaja mereka sanggup membuang keegoan.
Dr Khalif Muammar
Sajak ini telah disiarkan di facebook Dr Khalif.