PendapatUtama

Sejarah Pendidikan Bahasa Melayu di Malaysia: Pemenuhan Suatu Idealisme

jalur-gemilang

Pendahuluan

Di Malaysia bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996. Kedudukan yang diberikan kepada bahasa Melayu itu bukanlah tanpa alasan yang munasabah, bahkan berkaitan erat dengan proses pembinaan negara Malaysia sebagai “negara baharu”, iaitu negara yang baru lepas daripada penjajahan kuasa asing. Proses pembinaan negara yang dimaksudkan itu ialah proses pewujudan negara bangsa yang berasaskan jati diri setempat dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Dalam konteks ini, bahasa Melayu dijadikan unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia dan juga sebagai unsur perpaduan semua kaum.

Sesuai dengan kedudukan dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu, bahasa Melayu di jadikan mata pelajaran wajib, terutama di peringkat persekolahan. Di peringkat pengajian tinggi pula, kebanyakan universiti mempunyai dasar mewajibkan pelajar mengambil kursus bahasa Melayu, khususnya bahasa Melayu akademik dan lulus sebagai syarat untuk dikurniai ijazah. Bahkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang tidak tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti pun turut mewajibkan pelajar (termasuk pelajar dari negara luar) mengambil pakej kursus bahasa Melayu dalam dua semester, dan pelajar warga negara Malaysia diwajibkan lulus untuk pengijazahan.

Dalam bab ini, saya ingin menarik perhatian khalayak kepada perkembangan pendidikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan di Malaysia, khususnya di peringkat sekolah. Perkembangan tersebut akan saya per-talikan dengan peralihan paradigma tentang konsep dan pelaksanaan pendidikan bahasa Melayu, yang dapat dilihat sebagai perkembangan pendidikan bahasa Melayu dari zaman tradisi ke zaman reformasi. Untuk memenuhi tujuan itu, kertas kerja ini dibahagi secara kronologis sebagai yang berikut:
1. Pendidikan bahasa Melayu pada zaman awal.
2. Pendidikan bahasa Melayu pada zaman penjajahan Inggeris.
3. Pendidikan bahasa Melayu sesudah merdeka: Era prareformasi pendidikan.
4. Pendidikan bahasa Melayu sesudah merdeka: Era reformasi pendidikan.

Pendidikan Bahasa Melayu pada Zaman Awal

Periodisasi perkembangan bahasa Melayu lazimnya dibahagi kepada tahap bahasa Melayu purba, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu peralihan, dan bahasa Melayu baharu. Tahap yang pertama diandaikan wujud sejak tahun 2,500 sebelum Masihi, tetapi tidak ada bukti-bukti sejarah tentang bentuk atau strukturnya. Tahap kedua dianggarkan bermula pada abad ke-7 Masihi apabila ditemukan batu-batu bersurat atau inskripsi seperti di Kedukan Bukit dan di Talang Tuwo, Palembang, di Kota Kapur, Pulau Bangka, dan di Karang Brahi, Jambi (Nik Safiah Karim et al. 1995). Tahap ketiga bermula pada sekitar abad ke-12 Masihi, serentak dengan kedatangan Islam yang disebut oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam beberapa banyak tulisannya (lihat misalnya 1969, 1972, dan 1978) sebagai tahap pembentukan sifat bahasa Melayu yang baharu, yang seterusnya diwarisi dalam zaman-zaman selanjutnya.1 Tahap keempat yang menunjukkan peralihan daripada gaya bahasa Melayu klasik kepada gaya bahasa Melayu kini ialah zaman yang diwakili oleh Abdullah Munsyi dan Raja Ali Haji pada abad ke-19. Tahap sesudah itu dikategorikan sebagai tahap bahasa Melayu baharu. Walau bagaimanapun periodisasi seumpama itu tidaklah mutlak, dengan pengertian bahawa berlaku kesinambungan yang jelas antara periode-periode tertentu, terutama antara bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu baharu daripada segi sistem dan rumus-rumus bahasanya (Awang Sariyan, 1984).

Sebagaimana sukarnya memperincikan sejarah bahasa Melayu pada zaman awal oleh sebab ketiadaan bukti-bukti sejarah, maka demikianlah sukarnya memperkatakan pendidikan bahasa Melayu pada zaman awal. Hanya dapat diduga bahawa pada zaman kegemilangan Sriwijaya sebagai kuasa kelautan pada abad ke-7 hingga abad ke-13 dengan bahasa Melayu menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa Melayu pasti dipelajari oleh saudagar dari pelbagai daerah dan oleh anak negeri yang takluk kepada Sriwijaya, iaitu Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Tanah Genting Kera, dan Sri Lanka (Nik Safiah Karim et al.,1995). Namun demikian tidak dapat dipastikan wujudnya institusi pendidikan bahasa Melayu secara formal. Penguasaan bahasa itu mungkin terlaksana melalui interaksi sosial sehari-hari.

Demikian juga halnya dengan era bahasa Melayu klasik. Pada zaman itu bahasa Melayu mencapai tahap kesuburan yang cukup tinggi apabila bahasa Melayu bukan sahaja digunakan untuk memancarkan nilai-nilai estetika melalui karya kesusasteraan, bahkan mula menjadi wahana ilmu dan pemikiran saintifik. Pada zaman itulah terhasilnya karya-karya falsafah (khususnya ilmu kalam dan tasawuf), fiqah, dan undang-undang Islam, di sisi ilmu dalam bidang lain seperti perubatan dan persenjataan. Prof. al-Attas (1988), berdasarkan kajiannya menyimpulkan bahawa manuskrip atau teks Melayu yang tertua setakat yang dapat dikesan sehingga kini ialah terjemahan ‘Aqaid al-Nasafi yang bertarikh 1590 Masihi. Manuskrip tersebut berisi pembicaraan mengenai akidah, suatu cabang yang paling asas dan penting dalam konteks hierarki ilmu menurut perspektif Islam.

Dengan terhasilnya karya-karya ilmiah yang teracu dalam wacana yang utuh dan canggih, dapat diduga bahawa bahasa Melayu ketika itu telah mencapai tahap “bahasa tinggi” atau “bahasa terbina” (elaborated code menurut istilah Bernstein, 1968), iaitu bahasa yang telah memiliki ciri kompleks, dengan susunan yang teratur dan rapi, serta memerlukan pengalaman budaya yang tinggi. Kayanya bahasa Melayu dengan khazanah ilmu yang tinggi tarafnya itu, terutama pembicaraan metafizik, meyakinkan kita bahawa para karyawan pada zaman itu memiliki penguasaan bahasa yang tinggi, dan sekaligus meyakinkan kita berlangsungnya proses pendidikan bahasa yang baik pada waktu itu. Bagaimanapun sekali lagi tidak ada bukti sejarah yang dapat mengesahkan hal itu. Namun suatu hal yang pasti ialah bahawa pendidikan bahasa Melayu, meskipun tidak berlangsung secara formal dalam bentuk pengajarannya sebagai suatu mata pelajaran atau kursus ketika itu, secara tidak langsung diperkukuh melalui pengajian keagamaan yang memang menjadi suatu institusi sosial dalam masyarakat Melayu sejak abad ke-15 (Malaysia Kita, 1991:769).

Sesuai dengan penyuburan bahasa Melayu sebagai sarana dakwah Islam, bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar kuliah atau pengajian keagamaan di surau dan di masjid, dan kemudian di institusi pendidikan yang lebih formal, iaitu sistem pondok.2 Dalam sistem itu sebenarnya telah berlangsung gagasan yang kini disebut Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK), iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai sarana ilmu dan pendidikan. Namun belum ada pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu sebagai suatu mata pelajaran.

Gambaran bagaimana pendidikan bahasa Melayu sebagai suatu mata pelajaran tidak berlaku dalam masyarakat Melayu tradisional sehingga abad ke-19 dilaporkan oleh Abdullah Munsyi (1882) melalui penjelasan Lebai Abdul Razak, seorang guru Qur’an di Melaka kepada Stamford Raffles mengenai situasi pendidikan masyarakat Melayu: “Orang empunya anak-anak ini menyuruh ajarkan Qur’an dahulu. Maka kalau sudah ia dapat Qur’an kemudian boleh belajar bahasa Melayu. Begitulah adat sahaya semuanya. Dan lagi tiada adat di negeri ini orang taruh tempat belajar bahasa Melayu.”
Dengan nada sesal dan sinis Abdullah (1882) berkata pula, “Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”

Pendidikan Bahasa Melayu pada Zaman Penjajahan Inggeris

Perbincangan mengenai pendidikan bahasa Melayu dalam zaman penjajahan Inggeris tidak dapat dipisahkan daripada perbincangan mengenai pertumbuhan dan perkembangan sekolah Melayu, iaitu sekolah vernakular yang direncanakan Inggeris untuk pendidikan anak-anak Melayu.3 Menurut Awang Had Salleh (1980:2), sejarah sekolah Melayu bermula pada tahun 1821 apabila penyelaras Penang Free School memulakan bahagian bahasa setempat (bahasa Melayu) di Gelugor, Pulau Pinang (lihat juga Chelliah, 1947). Kemudian dua buah sekolah Melayu dibuka di Singapura pada tahun 1856, sebuah di Teluk Belanga dan sebuah lagi di Kampung Gelam. Di Melaka terdapat sembilan buah sekolah Melayu yang dibuka antara 1858 dan tahun 1903 (Awang Had Salleh, 1980 berdasarkan Report of a Committee Appointed to Enquire into the System of Vernacular in the Colony, No. 4, Straits Settlements, 22 Februari 1894).

Pada tahun 1872 apabila kerajaan Negeri-negeri Selat 4 mendirikan Jabatan Pendidikan di bawah pimpinan A.M. Skinner yang memegang jawatan Nazir sekolah, pertumbuhan sekolah Melayu di Negeri-negeri Selat kian pesat, dengan 16 buah sekolah yang menampung 596 orang murid. Satu dekad kemudian jumlah sekolah Melayu meningkat kepada 85 buah dengan pendaftaran 2,230 orang murid. Kemudian satu dekad sesudah itu (tahun 1892), telah ada 189 buah sekolah Melayu dengan 7,218 orang murid yang berdaftar. Pada tahun itu, dianggarkan 84% kanak-kanak lelaki Melayu yang sepatutnya menerima pendidikan telah berdaftar (Awang Had Salleh, 1980:4). Sekolah untuk murid perempuan pula mula dibuka pada tahun 1885, tetapi jumlahnya pada tahun 1892 hanya 8.5% daripada sekolah lelaki dan jumlah muridnya pula hanya 11% daripada jumlah murid lelaki.

Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang), Perak merupakan negeri yang pertama mendirikan sekolah Melayu (pada tahun 1884), sebuah di Kuala Kangsar dan sebuah lagi di Batu Gajah. Selangor pula mempunyai enam buah sekolah Melayu pada tahun 1886. Apabila jawatan Nazir Sekolah Persekutuan diadakan pada tahun 1898, telah terdiri 103 buah sekolah Melayu di Perak (9 buah daripadanya sekolah perempuan), 25 buah di Negeri Sembilan, dan 6 buah di Pahang. Satu dekad kemudian, iaitu pada tahun 1907, telah terdapat 232 buah sekolah Melayu untuk murid lelaki dan 34 buah sekolah Melayu untuk murid perempuan (Awang Had Salleh, 1980:5).

Pertumbuhan sekolah Melayu di Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu (Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, dan Perlis) adalah yang paling lewat. Di Kedah, sekolah Melayu yang pertama didirikan pada tahun 1897. Kelantan mempunyai sekolah Melayu yang pertama pada tahun 1903. Terengganu pula tidak mempunyai sekolah Melayu sebelum tahun 1915. Perlis pula mempunyai 5 buah sekolah Melayu pada tahun 1913. Johor yang mendapat manfaat daripada hubungan baik dengan Singapura mencapai kemajuan yang ke hadapan berbanding dengan Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu yang lain. Pada tahun 1913, sementara Kedah mempunyai 34 buah sekolah Melayu, Perlis 5, Kelantan 8, dan Terengganu O, Johor telah sedia memiliki 56 buah sekolah Melayu.

Sekolah Melayu didirikan untuk memberikan pendidikan asas selama enam tahun kepada anak-anak Melayu dalam bahasa ibundanya, tetapi kemudian tempoh itu disingkatkan menjadi empat tahun sahaja pada tahun 1885. Hal ini selaras dengan tujuan penjajah Inggeris yang merencanakan pendidikan untuk anak-anak Melayu sekadar menghapuskan buta huruf setakat yang minimum sahaja (Cheeseman, 1984 seperti yang dipetik oleh Awang Had Salleh, 1980: 10). Dasar Inggeris mengenai pendidikan Melayu dinyatakan secara rasmi, antaranya sebagai yang berikut:“….memberikan pelajaran permulaan yang membolehkan seorang kampung menyimpan peringatan-peringatan mudah dan dengan demikian melindungkan dia daripada penipu-penipu yang tidak bertimbang rasa….” (Annual Departmental Reports,S.S. 1903) “Pendidikan setempat (vernakular) mengajar budak-budak Melayu membaca dan menulis Melayu, Ilmu Kira-kira, Ilmu Alam, dan Rumi. Pelajaran sebanyak ini akan menjadikan mereka berperaturan, taat, dan bersih, dan sesuai untuk menjadi mata-mata, peon, kerani-kerani kastam, pekerja Jabatan Hutan, dan penyelia lombong. Setakat itu baguslah.” (Minit Residen British Negeri Sembilan kepada Residen Jeneral bertarikh 14 Jun 1898)

Implikasi dasar tersebut terhadap pendidikan bahasa Melayu ialah bahawa bahasa Melayu diajarkan semata-mata sebagai prasyarat untuk memungkinkan anak-anak Melayu menjalani kehidupan yang cukup sederhana apabila dewasa. Soal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pemikiran, dan bahasa tamadun tidak wujud sama sekali, apatah lagi dengan pengehadan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan di peringkat sekolah rendah sahaja. Inggeris tidak pernah merancang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di peringkat sekolah menengah.

Nasib pendidikan Melayu dan sekali gus nasib bahasa Melayu di tangan penjajah Inggeris tampak cerah sedikit apabila kerajaan Inggeris membentuk Jawatankuasa Barnes (mengambil sempena nama pengerusinya L.J. Barnes, Pengarah Latihan Kemasyarakatan, Universiti Oxford, London) pada tahun 1951 yang mengakui pentingnya bahasa Melayu dalam pembinaan sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan, di sisi terus mempertahankan taraf bahasa Inggeris. Laporan Barnes sedikit banyak mendukung falsafah menjadikan bahasa Melayu sebagai landasan perpaduan melalui pendidikan. Bagaimanapun peranan bahasa Melayu tetap terbatas di peringkat sekolah rendah dan apabila ke sekolah menengah murid-murid akan melalui sistem pendidikan yang berbahasa penghantar bahasa Inggeris (Asmah Haji Omar, 1984: 18 dan Mohd. Salleh Lebar, 1988: 45-47).

Usul Laporan Barnes agar hanya ada dua aliran sekolah rendah, iaitu aliran Melayu dan aliran Inggeris sahaja mendapat tentangan kaum Cina dan India sehingga batallah usul itu. Kerajaan Inggeris pada tahun 1951 membentuk Jawatankuasa Fenn-Wu yang mengkaji kepentingan pendidikan kaum Cina. Sebuah jawatankuasa khas dibentuk sesudah itu untuk menyelaraskan usul-usul Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu. Antara usul jawatankuasa khas itu termasuklah:
1. Penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu aliran bahasa Melayu dan aliran bahasa Inggeris.
2. Kemudahan pengajaran bahasa Cina dan Tamil jika ada permintaan sekurang-kurangnya daripada 15 orang murid dalam kelas.
3. Bahasa Inggeris menjadi mata pelajaran wajib di sekolah.
Usul-usul itu diluluskan oleh Majlis Perundang-undangan Persekutuan pada bulan September 1951 dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan itu menetapkan Sekolah Kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan, dengan bahasa Cina dan bahasa Tamil sebagai bahasa ketiga tetapi tidak merupakan sebahagian sistem persekolahan kebangsaan. Usul-usul itu bagaimanapun tidak terlaksana kerana kekurangan biaya, kekurangan guru terlatih, dan bantahan masyarakat Cina dan Tamil. Kerajaan sekali lagi membentuk jawatankuasa khas dan salah satu keputusannya ialah “penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah Melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan di sekolah Tamil supaya akhirnya dapat diserapkan ke dalam sistem persekolahan kebangsaan. Sehingga tahun 1956 ternyata bahawa ketetapan tersebut tidak terlaksana juga (Mohd. Salleh Lebar, 1988:50).

Menjelang kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia diberi taraf kerajaan sendiri pada tahun 1955. Dengan kesedaran bahawa bidang pendidikan merupakan sarana yang paling berkesan dalam upaya pembinaan bangsa dan negara, maka dibentuklah jawatankuasa pendidikan pada bulan September 1955. Jawatankuasa ini menyerahkan laporannya dalam bulan April 1956 dan Majlis Perundang-undangan menerima usul-usulnya sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Laporan jawatan-kuasa tersebut dikenal sebagai Penyata Razak atau Laporan Razak 1956, iaitu mengambil sempena nama pengerusinya Dato’ Abdul Razak bin Hussein yang menjadi Menteri Pelajaran pertama. Perincian Laporan Razak, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan bahasa Melayu dan falsafahnya, akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya, iaitu zaman kemerdekaan prareformasi pendidikan.

Pendidikan Bahasa Melayu Sesudah Merdeka: Prareformasi Pendidikan

Usul penting Laporan Razak yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan bahasa Melayu ialah rencana membentuk suatu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan rakyat pelbagai keturunan dengan bahasa Melayu menjadi salah satu asasnya. Menurut Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 (Laporan Razak), tujuan pendidikan kebangsaan ialah: “…menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur.” (Perenggan 12)

Khusus mengenai taraf bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan, Laporan Razak mengusulkan:
1. “…bahasa Melayu, mestilah dipelajarkan di dalam semua sekolah” dan “…dijadikan satu syarat pertolongan yang diberi oleh kerajaan di dalam semua sekolah”. (Perenggan 18)
2. “…bahasa Melayu dijadikan satu pelajaran yang mustahak untuk mendapat Sijil Rendah (Lower Certificate) dan Sijil Pelajaran Kebangsaan (National Certificate of Education)….” (Perenggan 22 (b))
3. “Dalam sekolah-sekolah menengah yang demikian ini (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan – P.), kami cadang-kan bahawa bahasa Melayu dan Inggeris wajib diajar.” (Perenggan 71)

Antara kesan langsung Laporan Razak yang berkaitan dengan sistem persekolahan ialah wujudnya dua jenis sekolah, iaitu Sekolah Umum yang berbahasa penghantar bahasa Melayu dan Sekolah Jenis Umum yang terdiri daripada sekolah Inggeris, sekolah Cina, dan sekolah Tamil. Semua sekolah mewajibkan pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Nasib sekolah menengah Melayu terumbang-ambing dengan purata sebuah sekolah sahaja di setiap negeri. (Mohd. Salleh Lebar, 1988:57)

Suatu hal dalam Laporan Razak yang dianggap lemah dalam konteks pembinaan negara ialah pengekalan sekolah pelbagai aliran yang bebas menggunakan bahasa penghantar masing-masing dan hal ini tidak selaras dengan cita-cita kerajaan menjadikan bahasa kebangsaan untuk maksud perpaduan rakyat. Rasa tidak puas hati orang Melayu pada amnya menyebabkan kerajaan Malaysia (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu) yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 membentuk Jawatankuasa Penyemak Pelajaran pada tahun 1960 untuk meneliti kekurangan dalam Laporan Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957. Dengan mengambil sempena nama pengerusinya Dato’ Abdul Rahman Talib yang menjadi Menteri Pelajaran ketika itu, dikenal orang jawatankuasa tersebut sebagai Jawatan-kuasa Rahman Talib dan Laporan Jawatankuasa Penyemak Pelajaran itu dikenal pula sebagai Laporan Rahman Talib.

Jika Laporan Razak mengasaskan idealisme menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pada suatu waktu yang tidak ditetapkan, selaras dengan penekanan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152), maka Laporan Rahman Talib menggariskan langkah untuk merealisasikan idealisme tersebut. Antara usulnya yang berkaitan dengan hal tersebut termasuklah:
1. Menukar bahasa penghantar Inggeris di peringkat sekolah rendah dengan bahasa Melayu.
2. Peperiksaan umum peringkat sekolah menengah dijalankan dalam bahasa rasmi negara sahaja, iaitu bahasa Melayu.

Usul-usul Laporan Rahman Talib diperundang-undangkan melalui Akta Pendidikan 1961 yang menjadi kerangka rujukan bagi pelaksanaan sistem pendidikan negara sehingga digantikan dengan Akta Pendidikan 1996. Antara tindak lanjut daripada usul Laporan Rahman Talib yang berhubungan dengan soal dasar tersebut termasuklah:
1. Peperiksaan naik tingkatan bagi sekolah menengah Cina dimansuhkan pada tahun 1961 dan Peperiksaan Sijil Akhir Sekolah Menengah Cina dimansuhkan juga pada tahun 1963
2. Setiap calon diwajibkan lulus dalam Bahasa Kebangsaan bagi peperiksaan masuk sekolah menengah.
3. Kelulusan dalam Bahasa Kebangsaan wajib bagi Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran sejak tahun 1962.
4. Langkah-langkah dilaksanakan untuk menambah bilangan guru terlatih sekolah menengah kebangsaan dan guru khas Bahasa Kebangsaan untuk sekolah menengah jenis kebangsaan.
5. Pembukaan sekolah menengah kebangsaan dipesatkan di seluruh negara (Abu Bakar Zahari, 1980: 80 – 81).

Dapat dirumuskan daripada perbincangan di atas bahawa dalam sistem pendidikan sesudah kemerdekaan, sudah mula terbina falsafah yang mendasari pendidikan bahasa Melayu di negara ini, iaitu “bahasa Melayu sebagai asas perpaduan rakyat berbilang keturunan, atau dengan konsep yang lebih luas lagi bahasa Melayu sebagai salah satu asas pembinaan negara”. Dengan perkataan lain, di sisi faktor-faktor lain seperti ke-budayaan, ekonomi, politik, undang-undang, dan sebagainya, faktor bahasa kebangsaan menjadi faktor penting dalam rangka pembinaan sebuah negara baharu.

Peranan bahasa di sisi peranan sektor-sektor lain dalam proses pembinaan negara tergambar pada Rajah 1. Dalam konteks negara Malaysia, rencana pembinaan negara melalui setiap sektor penting (ekonomi, pendidikan, kebudayaan, bahasa, dan yang lain) dilaksanakan melalui penggubalan dasar-dasar negara bagi setiap sektor itu. Bagi sektor ekonomi, misalnya, digubal Dasar Ekonomi Baharu dan kemudian Dasar

Pembangunan Nasional yang bertujuan menyusun semula keseimbangan ekonomi rakyat bagi semua keturunan. Dengan wujudnya keseimbangan dalam pemilikan kekayaan negara dan keadaan sosioekonomi, dijangka terbentuk perpaduan rakyat apabila terhakis rasa cemburu antara kaum. Demikian juga melalui sektor kebudayaan, digubal Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 dalam rangka membentuk keperibadian atau jati diri bangsa Malaysia.

Sektor bahasa ternyata menyumbang dalam pembinaan negara melalui penggubalan Dasar Bahasa Kebangsaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar pendidikan. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang kewujudan suatu bangsa dan menjadi bahasa perpaduan rakyat. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu menjadi wasilah pembangunan negara apabila berperanan sebagai sarana komunikasi pentadbiran dan pengurusan dalam pelbagai urusan rasmi. Sebagai bahasa penghantar ilmu dan pendidikan pula, bahasa Melayu menjadi sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu di kalangan masyarakat, suatu syarat tegaknya sesuatu tamadun. Peranan bahasa dalam pembinaan negara dibantu pula oleh sektor pendidikan yang secara langsung merealisasikan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker