Modul baru PLKN diharap teguhkan perpaduan, sahsiah: Pemuda Isma
PROJEK perintis transformasi program latihan khidmat negara (PLKN) telah pun bermula pada 18 Oktober yang lalu di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang. Setelah diberhentikan seketika, PLKN kini menawarkan modul-modul baru seperti Cergas dan Tangkas (Fit4Life), MalaysiaKu, Bicara Tekno (Tech & Talk) dan Pembangunan Diri (iUpgrade).
Tidak dapat dinafikan, bahawa modul terbaru PLKN lebih komprehensif dan menarik. Walaubagaimanapun, yang menjadi kegusaran kepada semua pihak ialah keberkesanan dalam perlaksanaan modul-modul ini..
Kita tidak dapat lupa beberapa insiden hitam yang telah berlaku semasa beberapa siri PLKN yang lepas. Insiden ini sedikit sebanyak mencalarkan imej dan menimbulkan keraguan masyarakat terhadap keberkesanan PLKN. Justeru, dalam memastikan PLKN terus relevan, pihak terbabit perlu menekankan aspek keupayaan dan integriti terutamanya kepada jurulatih-jurulatih PLKN.
Para jurulatih mestilah menunjukkan keteledanan yang tinggi dalam semua aspek terutamanya kecergasan dan sahsiah. Sebagai contoh, dalam melaksanakan modul cergas dan tangkas, aspek kesihatan mestilah terlebih dahulu diutamakan. Oleh yang demikian, para jurulatih PLKN seharusnya tidak merokok atau vape.
Seterusnya, nilai ini ditanam dalam kalangan para peserta program. Para jurulatih juga perlu menunjukkan akhlak yang tinggi agar menjadi contoh nyata kepada modul pembangunan diri. Seandainya para jurulatih PLKN gagal dalam memanifestasikan modul-modul ini, pastinya program ini akan sukar mencapai matlamatnya.
Perpaduan, patriotisme dan kesukarelawanan merupakan tiga teras utama dalam PLKN sejak ia diperkenalkan. Kita tidak dapat menolak kenyataan bahawa isu perpaduan dan patriotisme dalam kalangan pemuda pada masa kini adalah kritikal.
Sedikit sebanyak ini memberikan gambaran bahawa perlaksanaan PLKN sebelum ini gagal dalam menyebar luaskan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan belia. Justeru amatlah diharapkan agar transformasi PLKN ini mampu memupuk dan menumbuhkan nilai perpaduan dan patriotisme yang berlandaskan prinsip-prinsip rukun Negara serta perlembagaan Malaysia.
Namun, sekiranya penyertaan ke PLKN yang akan datang dibuat secara sukarela, adalah dibimbangi komposisi peserta PLKN berdasarkan kaum menyerlahkan jurang yang besar. Hal ini pasti menyukarkan penerapan nilai perpaduan dalam kalangan para peserta khasnya. Penyertaan secara sukarela juga boleh menjadikan hanya satu segmen belia sahaja yang berminat dan akan menyertai PLKN. Hal ini akan menjadikan para peserta PLKN tidak bervariasi dan pastinya tidak mewakili setiap lapisan masyarakat.
Umum mengetahui bahawa pelaksanaan PLKN menelan belanja yang sangat besar. Justeru, amatlah diharapkan agar program ini benar-benar memberikan impak yang positif terhadap para pemuda yang merupakan tonggak masa depan negara.
Oleh yang demikian, modul-modul yang dilaksanakan tidak boleh sekadar proses penyampaian maklumat dan kemahiran sahaja tetapi mestilah mengubah persepsi dan sahsiah para peserta. Namun, tidak dapat dinafikan tempoh masa yang singkat adalah cabaran utama kepada penerapan nilai-nilai ini. Oleh itu, pihak pengurusan PLKN mestilah menggunakan sebaik-baiknya tempoh program tanpa melaksanakan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah terutamanya hiburan yang kosong dan tidak berfaedah.
Selain itu, pihak PLKN perlu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menjadikan PLKN sebagai program pengukuhan kepada nilai-nilai yang telah dipelajari di sekolah. Adalah tidak adil untuk meletakkan beban memupuk nilai perpaduan dan patriotisme kepada PLKN semata-mata kerana padda hakikatnya nilai tersebut perlu disemai sejak di bangku sekolah lagi.
Oleh yang demikian, sekali lagi ditegaskan bahawa seluruh warga Malaysia mengharapkan agar program transformasi PLKN berjaya dan mampu memberikan impak yang positif kepada pembangunan jatidiri dan sahsiah kepada para pemuda negara.
Azimi Abd Rahman
Ketua Pemuda Isma Alor Setar