Berita UtamaPendapatUtama

Damai yang hilang 2015, tiupan semangat 2016

2015 2016
TAHUN 2015 akan melabuhkan tirainya dalam masa beberapa hari lagi. Dalam masa setahun ini, pelbagai kenangan manis dan sedih yang berlalu silih berganti. Melalui sosial media, kita mudah mendapat berita, berkongsi kegembiraan mahupun bersimpati atas kesedihan.

Ada yang telah berjaya mencapai azam tahun baru yang dibuat, namun tidak kurang juga yang lupa apakah niat azam tahun baru yang telah dibuat pada awal tahun.

Ada yang telah mendapat cahaya mata baru, ada yang mendapat kenaikan pangkat, ada yang mendapat pekerjaan baru dan ada pula yang berjaya memperolehi ijazah kedoktoran.

Namun tidak dapat juga kita nafikan, pelbagai kenangan pahit juga berlaku pada tahun ini. Ada  di antara kita yang telah kehilangan ahli keluarga yang amat dikasihi, ada pula rakan-rakan yang pergi dahulu menyambut seruan Ilahi. Ada pula yang diuji dengan kehilangan nafkah pekerjaan dan sumber pendapatan secara mendadak. Ada pula mengalami kemalangan yang menyakitkan, mengalami sakit yang menderitakan atau menjadi mangsa penipuan atau kecurian mereka yang tidak berperikemanusiaan.

Di luar negara pula, kita melihat rata-rata umat Islam saudara kita terus hidup dalam ketakutan, kesengsaraan dan nasib mereka ditentukan oleh kuasa-kuasa besar dunia yang hanya berminat untuk menjaga kepentingan geo-politik masing-masing. Malahan di negara barat, bibit-bibit Islamophobia semakin diarusperdanakan melalui peranan media arus perdana dan media sosial serta topeng terorisme yang dipakaikan oleh mereka yang mengaku memperjuangkan Islam. Tiada lagi negara Islam yang mampu ke hadapan dan menjuarai nasib umat Islam tanpa diganggu oleh kuasa-kuasa besar dunia.

Di dalam negara, tidak perlu dikupas kerana semua sudah sedia maklum dengan kebobrokan politik serta kebejatan sosial yang melanda di negara.

Teringat saya akan sebahagian lirik nasyid “Damai Yang Hilang” oleh kumpulan NowSeeHeart:

“Kemanusiaan telah lama hilang

Kini yang tinggal hanya ketakutan

Musnah kasih sayang dan persaudaraan

Tandus akhlak dan keimanan

Menyemai persengketaan.”

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Suasana mencabar yang dijangka akan dilalui pada tahun-tahun mendatang tidak patut menjadikan kita terus hidup bersedih, kerana dunia dan segala isinya ini akan kita tinggalkan dan kehidupan ini sebenarnya lebih pendek daripadaapa yang kita bayangkan. Redalah dengan ketentuan Allah, kerana keredaan hati kepada Allah akan menghilangkan kesedihan.

Hayatilah Islam.

Hidup ini penuh dengan kesulitan namun Islam telah memudahkan segala kesukaran tersebut dengan kesempurnaannya. Mereka yang hidup lebih menderita di Palestin, Syria, Iraq masih mampu mengukir senyuman dan memuliakan tetamu dengan hanya berbekalkan keimanan kepada Allah, siapalah kita dibandingkan dengan kesusahan yang mereka alami?

Di dalam menghadapi kesulitan, temukanlah kebahagiaan di dalam dirimu dengan mendekati ajaran Islam, kerana jika kita mencari kebahagiaan di luar diri kita, maka kita akan menemukan kebahagiaan itu selalu milik orang lain.

Islam ini bukan hanya sekadar bahasa halal haram atau syurga neraka. Islam juga bukanlah agama populis lalu membuka pintu untuk segala keinginan syahwat manusia. Islam adalah satu cara hidup yang mudah dan indah, Islam ini memerlukan kesenian dalam memahami keindahan ciptaan Allah yang terlukis merdu dalam lukisan dunia. Keindahannya adalah hanya cerminan setitik keindahan dari syurga dan kesulitannya adalah cerminan dari pedihnya azab neraka.

Perbaharuilah iman.

Perbaharuilah iman kita, sebagaimana kita mengemaskini anti-virus untuk komputer kita kerana kini trojan dan virus materialisme dan budaya hedonisme semakin pelbagai dan kreatif.

Maksimumkan kesungguhan dan itqan dalam beramal, jagalah keikhlasan dan keistiqamahan ketika melakukan amal soleh, taburkanlah senyuman di setiap permulaan pekerjaan dan tanamkan niat positif dalam kehidupan kerana di setiap sudut kegagalan ada unsur keresahan dan kekhuatiran.

Bencana yang menimpa kita bukanlah untuk menghancurkan semangat kita, tetapi untuk menguji kita, mengukuhkan iman kita dan menguatkan tunjang-tunjang keyakinan kita agar melalui sentuhan lembut ujian Allah SWT kita tidak bosan dengan kehidupan kita.

Ingatlah, perahu kehidupan yang kita lalui ini tidak akan selalunya stabil, lautan dalam tidak selamanya indah – pasti akan ada badai dan gelombang yang akan menguji keyakinan kita. Bekalkanlah diri kita dengan ilmu untuk mengatasi segala kemungkinan cabaran kehidupan dan jangan pula terlalu banyak membawa bekal makanan yang hanya akan menjadi beban perahu kita, kerana berbekalkan ilmu, ikan di lautan akan menjadi mudah untuk ditangkap.

Ingatlah, kesusahan hidup di dunia hanyalah kecil dibandingkan dengan kenikmatan syurga di akhirat kelak. Manakala kesenangan hidup di dunia, tidak akan mampu menandingi kesengsaraan azab api neraka. Maka janganlah sekali-kali menggadaikan iman semata-mata mahu mengecapi kebahagiaan di dunia.

Semoga 2016 dan tahun-tahun yang mendatang, menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Semoga 2016 dan tahun-tahun yang mendatang, diisi dengan amalan yang meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Semoga kita lebih bersabar dengan ujian-ujian kehidupan yang seterusnya. Semoga kita menyemai sifat ihsan dan kemanusiaan di dalam jiwa kita, semoga kita memupuk nilai keimanan, hidup berkasih sayang, tegas mempertahankan prinsip tanpa mengorbankan konsep toleransi yang telah lama dipupuk di dalam masyarakat kita. Semoga kita terus memuhasabah diri kita, agar sentiasa berada di jalan yang diredhai Allah swt dalam usaha mencari damai yang telah lama hilang khususnya di tanahair tercinta.

Abu Ameen
Aktivis Isma

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana. Ia juga tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker