Berita UtamaPendapatUtama

Sidang Khas Parlimen bagi TPPA: Masa untuk para YB bawa suara rakyat

tppa-1
SETIAP Ahli Parlimen, terutamanya di pihak kerajaan, sewajarnya diberikan kebebasan penuh semasa sesi pengundian pada Sidang Khas Parlimen berkenaan TPPA yang akan bermula esok bagi menentukan sama ada Malaysia akan menyertai TPPA ataupun menarik diri.

Memandangkan keputusan yang akan diundi nanti akan membawa kesan yang besar kepada masa depan negara dan rakyat, khususnya generasi hadapan, ketua whip Barisan Nasional perlu mengumumkan bahawa tindakan disiplin tidak akan dikenakan sekiranya ada mana-mana wakil Barisan Nasional mengundi menentang penyertaan TPPA.

Hal ini akan membuktikan bahawa sidang khas kali ini bukanlah sekadar formaliti ‘rubber stamping’ seperti yang diyakini umum selama ini.

Kebebasan tersebut penting untuk memberi lebih nilai tanggungjawab ke atas setiap ahli Parlimen supaya benar-benar mempertimbangkan kesan TPPA ke atas rakyat di kawasan masing-masing sebelum memberi undi dan tidak berselindung di sebalik alasan terpaksa menurut arahan parti.

Persoalan yang wajar dilunaskan oleh semua ahli Dewan Rakyat ialah bagaimana TPPA yang sedari awal digembar-gemburkan bakal melonjakkan ekonomi Malaysia ke tahap tinggi akhirnya tidak dapat disokong secara konklusif oleh dapatan analisis kos-manfaat yang telah dikemukakan oleh pihak kerajaan.

Berdasarkan analisis tersebut, dengan menyertai TPPA, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) hanyalah sekitar 0.13% ke 1.15% pada tahun 2027! Dan jika tidak menyertai TPPA, KDNK dijangka hanya akan menguncup sebanyak -0.03% bagi tempoh yang sama.

Dengan pelbagai lagi indikator ekonomi yang dikemukakan dalam laporan sama (pertumbuhan import eksport, lebihan dagangan, gaji pekerja dan seumpamanya) hanya menunjukkan perubahan yang sangat marginal, Ahli Parlimen patut mempersoalkan kewajaran segala risiko yang terpaksa diambil demi menyertai TPPA.

Apatah lagi segala unjuran indikator tersebut kelihatan akan lebih banyak memihak kepada golongan pemodal dan taikun industri berskala besar, bukannya kelompok rakyat kebanyakan dan pengusaha kecil yang membentuk populasi terbesar pengundi.

tppa-kempen

Para anggota dewan perlu menyedari hakikat bahawa impak terbesar penyertaan TPPA ialah terjejasnya kedaulatan negara yang dipertahankan selama ini. Ini kerana apa sahaja polisi dan dasar yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan selepas ini perlu dipastikan agar tidak menjejaskan mana-mana bahagian terma TPPA.

Bukan itu sahaja, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh setiap negara anggota adalah meminda semua akta undang-undang sedia ada supaya menepati tuntutan yang digariskan dalam perjanjian TPPA. Setakat ini sahaja, kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 26 undang-undang yang perlu diubah jika Malaysia menyertai TPPA.

Secara efektifnya, negara-negara anggota TPPA, terutamanya Amerika Syarikat, bakal mempunyai suara yang bukan calang-calang pengaruhnya dalam proses penggubalan undang-undang negara pada masa hadapan.

Adakah ini bukan satu pelanggaran ketuanan sebuah negara yang berdaulat? Tidak perasankah bahawa inilah penjajahan bentuk baru yang disebut-sebut secara teori selama ini?

Setiap ahli Dewan Rakyat perlu bertanya kepada diri sendiri samada semua ini berbaloi dipertaruhkan demi mencapai peningkatan 1% KDNK yang diwar-warkan itu.

Ini belum lagi mengambil kira aspek geopolitik rantau Asia Tenggara ini yang hakikatnya merupakan matlamat sebenar kerajaan Amerika Syarikat menjayakan TPPA sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mengimbangi pengaruh China.

Menilai kembali setiap urutan peristiwa yang berkaitan sedari awal sehingga kini – antaranya kelulusan Kongres AS untuk TPPA diproses dengan ekspres, peningkatan mengejut Malaysia dalam ranking penyeludupan manusia, lawatan Obama ke Malaysia sehingga dua kali, lawatan Setiausaha Pertahanan AS, pelonggaran keperluan visa untuk memasuki AS – semuanya memberi petunjuk bahawa keanggotaan Malaysia dalam TPPA ternyata akan lebih memenuhi objektif geopolitik Amerika berbanding ekonomi negara.

Adakah Malaysia wajar tergesa-gesa terjun ke kancah politik serantau ini dengan mengikat komitmen kepada dasar luar Amerika melalui penyertaan TPPA? Adakah Ahli-Ahli Parlimen kita telah benar-benar memahami dan mengkaji  semua pendekatan alternatif dalam mendepani senario ini sebelum tiba hari pengundian pada 27 Januari nanti?

Mereka sewajarnya sedar dan maklum, tanggungjawab utama mereka di Dewan Rakyat ialah menjaga kedaulatan negara dan memelihara kepentingan rakyat, lebih daripada kepentingan parti, apatah lagi peribadi.

Puluhan ribu rakyat telah turun berhimpun, pakar ekonomi bertaraf dunia telah berhujah, ahli akademik dalam dan luar negara telah memberikan analisis, peniaga IKS telah bersuara, kesatuan nelayan dan petani telah berkumpul, ratusan NGO dan kumpulan pendesak telahpun bangkit.

Jika dibandingkan dengan siri jelajah penerangan oleh kerajaan yang dikatakan hanya memfokuskan huraian kepada kebaikan TPPA sahaja, selain sokongan yang kuat setakat ini hanyalah daripada kumpulan kapitalis industri, semua ahli Parlimen sepatutnya telah memahami isyarat dan arah tuju yang dimahukan oleh marhaen kebanyakan.

Ahli Parlimen juga pastinya telah maklum bahawa sidang khas ini hanyalah untuk memutuskan samada Malaysia setuju atau tidak untuk menyertai TPPA. Tiada lagi ruang selepas ini untuk membuat apa-apa pindaan terhadap terma-terma TPPA yang telah pun termaktub di Atlanta pada tahun lalu.

Jikapun ketua whip parti masing-masing tidak mengumumkan apa-apa kelonggaran menjelang sesi pengundian nanti, semua Ahli Parlimen dengan ini diseru untuk memberanikan diri memberi undi yang akan melunaskan amanah dan tujuan asal duduknya anda semua di kerusi empuk Dewan Rakyat yang mulia itu, tidak lain dan tidak bukan sebagai wakil kepada rakyat yang menghantar anda ke sana.

Selamat mengundi kepada para Yang Berhormat.

Umar Hakim

Umar Hakim Mohd Tajuddin
Setiausaha Biro Penerangan Isma

Artikel ini telah disiarkan di laman web rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) www.isma.org.my.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker