Berita UtamaPendapatUtama

Polemik Pantai Kasih.. Apa kesudahannya?

pantai kasih

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan polemik novel komsas Pantai Kasih yang dikecam masyarakat. Dikatakan novel ini berunsur lucah dan tidak sesuai digunapakai dalam sistem pembelajaran di sekolah. Dek kerana ianya akan dibincangkan dalam bilik darjah, buku ini ‘terperangkap’ dalam norma sensitiviti masyarakat Malaysia yang terkenal dengan adab sopan dan berpegang teguh dengan nilai agama. Kecaman yang wujud ternyata membuktikan bahawa masyarakat percaya bahawa bahan bacaan adalah medium yang sangat berkesan untuk membentuk susuk tubuh sesebuah generasi – cara fikirnya dan agendanya. Jika elok bahan bacaannya maka eloklah susuk tubuh generasi yang akan terbina.

Maka kini sudah berlalu fasa nahi munkar (mencegah mungkar) setelah pelbagai pihak tampil mengecam novel Pantai Kasih. Jadi apa pula yang bakal berlaku seterusnya?

Tahukah anda bahawa dalam pasaran buku di Malaysia wujud pelbagai buku yang lebih dahsyat kelucahannya berbanding buku tersebut? Selain lucah, pelbagai anasir negatif lain diketengahkan dan diselit dalam novel-novel yang boleh dibeli bebas dalam pasaran. Malah banyak kelucahan dan anasir negatif ini telah berjaya dinormalisasikan dek kerana lambakan buku-buku seumpanya di pasaran.

“Novel cinta.. biasalah macam tu..”

“Novel orang putih.. biasalah macam tu..”

“Novel kriminal..biasalah macam tu..”

Betul. Sudah jadi kebiasaan.

Fenomena normalisasi sebegini.. tidak mampukah ianya membuatkan kita tidak senang duduk? Tidakkah ianya mencuit rasa TANGGUNGJAWAB dalam diri kita?

Sebagai seorang penulis, seharusnya kita berasa bertanggungjawab atas setiap perkara yang kita cuba sampaikan kepada masyarakat. Buku bukan sekadar bahan untuk berkongsi rasa. Buku adalah ejen pembina generasi dan pembangun jiwa. Generasi bagaimana yang bakal kita cipta terpulang kepada lambakan buku apa yang dihidangkan di hadapan mereka.

Sebagai aktivis yang memperjuangkan pembangunan generasi anak bangsa, bagaimana pula? Apakah lagi cara yang boleh diaplikasikan untuk membentuk sesebuah generasi?

Sebagai seseorang yang pakar dalam bidangnya seharusnya berasa bertanggungjawab untuk mengalirkan kepakarannya kepada masyarakat.

Seseorang yang benar-benar memahami Islam seharusnya berasa bertanggungjawab untuk memanfaatkan kefahamannya dengan mengalirkannya juga kepada masyarakat.

Seseorang yang berpengalaman mendidik jiwa masyarakat harus berasa bertanggungjawab untuk menyumbang pengalamannya kepada masyarakat.

Lebih-lebih lagi, seorang aktivis islam yang mempunyai kesemua nilai di atas – kepakaran dalam bidangnya, memahami Islam dengan sebenar-benar kefahaman dan berpengalaman mendidik jiwa manusia, seharusnya dengan penuh tanggungjawab bergegas mencari cara untuk mengalirkannya kepada masyarakat.

Jika pejuang-pejuang jahiliah tanpa segan silu mengasak pemikiran masyarakat dengan agenda mereka, siapa pula yang kita harapkan untuk ke depan melawan asakan ini dengan mengetengahkan agenda islam?

Di samping menggunakan medium lain seperti video, program, ceramah dan kempen; salah satu cara yang terbukti berkesan adalah dengan cara membukukannya untuk ditatapi masyarakat dan diteladani generasi.

Jika bukan orang-orang yang memperjuangkan agenda Islam yang menulis, bayangkanlah siapa yang akan mengisi kekosongan dunia penulisan?

Bayangkanlah apa yang akan dibaca oleh generasi akan datang. Jika tidak rasa terpanggil untuk berlawan dengan agenda jahiliah, sekurang-kurangnya, bertanggungjawablah dengan apa yang ada pada diri kita. Adakah ianya hanya akan terkubur bersama jasad kita saat sakaratul maut menjemput? Atau ianya akan hidup lama bersama masyarakat dan terus-menerus menyumbang membentuk generasi?

Fikir-fikirkanlah..

photo_2016-01-22_19-56-10_Snapseed-225x300

Siti Balqis Binti Syed Mohamad Noor
Ahli Jawatankuasa ISMA Nilai
Penulis buku Tahniah! Puan Hamil

Artikel ini telah disiarkan di laman web rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) www.isma.org.my.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker