Berwaspada kartun yang ditonton anak-anak
Pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit penelitian saya tentang dunia kanak-kanak dan bagaimana kita sebagai ibu bapa perlu ambil tahu tentang persekitaran yang membentuk anak-anak kita kerana persekitaran (‘biah’ di dalam Bahasa Arab) memberikan kesan yang besar kepada perkembangan emosi, intelektual, fungsi sosial dan tingkah laku kanak-kanak. Kata-kata cerdik pandai ‘children are like a sponge’ ada kebenarannya kerana kanak-kanak di bawah 6 tahun terutamanya akan ‘menyerap’ segala yang berlaku di persekitaran mereka.
Saya mulakan penelitian dengan kisah benar saya ‘mengintip’ anak yang sedang bermain di padang bola belakang rumah tempat tinggal saya. Anak kedua yang sememangnya terkenal lincah dan aktif, kerap memujuk saya untuk membenarkannya bermain bola bersama kawan-kawan. Saya membenarkan tetapi tanpa disedarinya saya turut berada di tepi padang, meneliti setiap tindakan kawan-kawannya. Apa yang saya perhatikan, kebanyakan kawan-kawannya bermain bola adalah lebih tua daripadanya (anak saya sekitar 6-7 tahun).
Mereka membentuk dua pasukan yang terdiri daripada kanak-kanak pelbagai umur. Yang menyedihkan, yang kecil sering menjadi ‘scape goat’ – dituduh menyebabkan kekalahan kepada pasukan. Baru seminit dua bermain, mereka diminta keluar dan digantikan dengan kanak-kanak yang lebih besar.
Kesudahannya, saya perhatikan anak saya lebih banyak duduk di tepi padang daripada bermain bola. Diperhatikan sahaja bola yang rancak bergolek di samping berfikir dengan wajah yang serius. Saya meneka beliau sedang berfikir bagaimana ingin menjadi sehebat kawan-kawannya.
Tanpa disedari, anak-anak sekecil usia telah pun merasai ‘peer pressure’ atau tekanan untuk ‘diterima’ oleh kawan-kawannya.
Perkara kedua dan yang lebih serius yang saya perhatikan adalah penggunaan perkataan tidak sopan yang sudah menjadi ‘bahasa biasa’ golongan kanak-kanak ini. Setiap ayat yang mereka ucapkan penuh dengan perkataan ‘bodoh’, ‘babi’ dan seterusnya. Di dalam hati saya berfikir, di manakah mereka belajar bertutur sekasar ini? Sedangkan perkataan ‘aku’ dan ‘kau’ pun menjadi larangan di rumah saya, apatah lagi perkataan yang dahsyat begini.
Kesimpulan dari pemerhatian kanak-kanak di padang bola, jika saya bandingkan dengan suasana 20 tahun yang lepas, sangat ketara perbezaannya. Pada waktu dahulu, kanak-kanak bermain dengan penuh semangat berpasukan, kasih sayang, mesra, bantu-membantu dan memelihara adab kesopanan. Kanak-kanak sekarang ketara sifat kasarnya sama ada di dalam perkataan, tingkah laku atau pun mimik muka. Di manakah silapnya?
Salah satu faktor yang perlu dititik beratkan oleh ibubapa ialah jenis kartun yang ditonton oleh anak-anak di kaca televisyen. Jika diperhatikan genre kartun pada waktu sekarang, kebanyakannya berunsur ganas, lincah dan tidak sopan.
Saya ambil contoh kartun kegemaran saya semasa kecil, siri My Little Pony and Friends. Sewaktu saya kecil, kartun ini setiap minggu bertemakan sekumpulan anak-anak kuda yang mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri tetapi mereka akan bekerjasama membantu haiwan lain yang di dalam kesusahan. Mereka berinteraksi dengan penuh sifat kasih sayang dan kelembutan. Tambahan pula pelukis kartun memberikan imej yang comel kepada kuda-kuda ini.
Cuba anda buka pula siri My Little Pony versi zaman moden ini. Perbezaannya sangat ketara. Pony versi moden berwajah kasar, berambut ala ‘punk’ dan sering bergaduh dengan satu sama lain. Mereka juga suka berhibur dan berseronok. Tema ‘soft pronography’ juga diselit secara diam-diam di mana kuda-kuda ini juga sering berhias untuk menarik minat kuda jantan. Lagu temanya juga bertambah rancak, mungkin bagi menepati kehendak zaman.
Saya tidak pasti, yang mana dahulu, pengaruh televisyen yang mengubah manusia atau kehendak manusia mencorakkan genre rancangan di televisyen. Apa yang pasti, ia sudah menjadi suatu gelombang besar yang sukar dikawal. Ia adalah proses normalisasi bagi membenarkan perkara mungkar dan menjadikannya diterima masyarakat. Ia sungguh halus dan licik.
Bagi para ibubapa sekalian, saya berharap kita akan lebih sensitif dengan persekitaran dunia sekarang dan lebih sensitif dengan akhlak dan iman setiap orang daripada anak-anak kita. Berikan masa sewajarnya bagi mendidik mereka dan merawat kesalahan dan kelemahan yang berlaku pada diri mereka sebaiknya. Jangan biarkan mereka tanpa pengawasan. Siramilah dengan kasih sayang yang mendalam dan doa yang tidak putus-putus.
Anak-anak ini adalah masa hadapan negara, bangsa dan umat Islam. Rapuh identiti mereka, maka rapuhlah masa depan bangsa dan agama kita. Sebaliknya jika mantap peribadi, intelek dan kemandirian mereka, ia ibarat sinar yang terang dan aset yang tidak ternilai harganya.
Dr Nur Farrah Nadia bt Najib
Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor Bahru.
Artikel ini telah disiarkan secara rasmi di isma.org.my