Kahwin muda: Ke mana hala tuju kita?
SEJAK kebelakangan ini, budaya berkahwin pada usia muda dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Semakin ramai anak muda yang memilih untuk menamatkan zaman bujang pada usia awal 20-an di mana rata-rata masih berstatus pelajar ataupun baru sahaja melangkah ke alam pekerjaan.
Perkahwinan pada usia muda ini pada dasarnya mempunyai potensi yang sangat besar untuk melahirkan suasana yang lebih soleh dalam masyarakat. Namun sayang, kerana kebanyakan daripada apa yang kita saksikan pada hari ini adalah pembinaan rumah tangga yang tidak matang dan rapuh.
Islam sememangnya menggalakkan kita untuk mempercepatkan pernikahan apabila merasakan diri sudah mampu dalam segenap aspek kehidupan. Pada hari ini apabila bercakap mengenai kemampuan, ramai yang mengetegahkan isu kewangan dan kemampuan untuk menyara keluarga. Tetapi sedikit sekali yang sedar akan kepentingan ilmu, terutamanya ilmu agama, dalam pembentukan sesebuah institusi kekeluargaan.
Sejauh mana pemahaman kita mengenai matlamat sebenar sesebuah perkahwinan?
Cukupkah sekadar memiliki teman hidup, memperagakan anak dan berkongsi kisah-kisah bahagia alam perkahwinan di laman sosial? Sungguh menyecewakan namun inilah realiti yang mencerminkan hal-hal yang menjadi keutamaan pasangan muda pada era ini.
Ramai pemuda pemudi pada hari ini memilih untuk hanya disibukkan dengan perkara-perkara kecil dan menggembirakan sedangkan Allah menciptakan pemuda dengan fitrah yang bersemangat, kuat dan berpandangan jauh yang jika digilap akan akhirnya melahirkan aset agama yang tidak ternilai harganya. Begitu besar potensi dan peluang yang kita ada pada peringkat umur ini sehinggakan di hari kiamat kelak kita bakal ditanya, “masa mudamu, untuk apa ia digunakan?”.
Jawapannya sudah tentu terletak di tangan kita.
Jika seorang pemuda yang memahami agama sudah cukup menguntungkan Islam, saya berpendapat bahawa kebaikan yang boleh disumbangkan oleh sepasang pasangan muda yang jelas akan agenda hidup Islam tidak tergambar hebatnya. Keluarga akan menjadi lubuk mengutip pahala di mana mereka saling mengingatkan dan memotivasikan dalam pembaikian diri dan amal. Fokus ditumpukan kepada pembinaan suasana solehah dalam keluarga.
Institusi kekeluargaan adalah tempat di mana pembentukan generasi akan datang bermula. Tidak wajar untuk pasangan sekadar meraikan kebahagiaan yang hadir melalui perkahwinan, tetapi seharusnya perlulah mempunyai misi dan strategi yang serius untuk membentuk individu yang mampu berbakti kepada agama.
Sudah tiba masanya kita anak muda menghidupkan kembali penghayatan Islam dengan kapasiti dan darah muda yang mengalir dalam diri kita ini. Sudah tiba masanya kita mencorakkan kembali cara hidup Islam yang sebenar dalam keluarga baru yang sudah atau bakal kita bina, yang kita mempunyai seluruh kuasa ke atasnya.
Jika dahulu sewaktu bersama keluarga tiada budaya solat berjemaah, maka mulakan dan suburkanlah budaya tersebut dalam keluarga baru yang telah terbina. Jika dahulu sewaktu kecil tidak didedahkan dengan budaya membaca, maka sibukkanlah anak-anak kelak dengan buku-buku yang berfaedah. Jika dahulu kita sekadar solat dan memakai tudung tanpa mengetahui tujuannya, maka ajarkanlah kepada anak-anak kelak ilmu dan hikmah di sebalik tuntutan-tuntutan agama ini.
Di sini lah ilmu memainkan peranan penting. Demi mendidik generasi yang berguna buat umat, kita lah yang terlebih dahulu perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat dan amal ibadat yang berkualiti. Kita bukan sekadar ingin melahirkan manusia, tetapi kita ingin membentuk insan yang bakal menjadi salah satu sumber bekalan pahala yang berterusan apabila kita meninggalkan dunia ini. Mana mungkin dengan hanya memberikan makanan dan pakaian sudah cukup untuk membeli saham yang sebegini lumayan?
Perkahwinan pada pandangan saya adalah umpama hadiah berupa kereta. Amat rugi rasanya andai dibiarkan sahaja kereta itu di suatu sudut sekadar untuk tontonan umum sedangkan fungsi utamanya adalah untuk memudahkan perjalanan. Sebaiknya kita tetapkan destinasi yang ingin dituju dan belajar memandu. Jelaskan kepada semua penumpang mengenai arah yang ingin dituju agar apabila ada yang lupa, sentiasa ada yang mengingatkan. Jika destinasi kita adalah syurga, maka yakinlah bahawa hadiah berupa keluarga ini adalah satu medium yang mampu memudahkan perjalanan kita jika dikemudikan dengan bijaksana.
Nurul Diyana Mat Zaidi
Ketua Biro Wanita ISMA UK-Eire
Artikel ini telah disiarkan di laman web www.ismaeropah.com.