Keranda 152, apalah nasib bahasa kebangsaan: Aidil Khalid
DALAM akhbar Berita Harian hari ini, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan menulis berkenaan peruntukan Perlembagaan yang selalu dilupakan, iaitu Perkara 152 tentang bahasa kebangsaan (Rujuk gambar untuk tulisan beliau). Molek benar apa yang ditulis, melihat kepada kebiadaban pelbagai pihak yang degil tidak mahu memartabatkan bahasa kebangsaan, memang sudah tiba masa untuk perarakan Keranda 152 yang ketiga diadakan.
Alkisah saya teringat apa yang berlaku baru-baru ini ketika di Mahkamah.
Ada satu kes yang difailkan, dan ditetapkan untuk dibicarakan di hadapan seorang hakim Mahkamah Tinggi yang arif lagi bijaksana (saya tidak mahu sebut keturunan apa hakim tersebut).
Setelah kertas-kertas kausa difailkan dalam bahasa kebangsaan, tiba-tiba pejabat saya mendapat surat daripada Mahkamah hakim tersebut yang mengarahkan bahawa kertas-kertas kausa mesti diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris untuk kegunaan ketika perbicaraan kelak.
Bahkan ketika saya hadir untuk pengurusan kes pun, di dinding Mahkamah Yang Arif Hakim tersebut ditampal arahan: “Counsels are required to strictly comply with the following protocol for written submissions and case synopsis … All written submissions are to be in English.”
Jelas sekali, arahan tersebut bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, berlawanan dengan Kaedah 92 Aturan Mahkamah 2012 dan bertentangan sama sekali dengan seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan.
Apabila saya maklumkan hal ini kepada anak guam, anak guam telah mengarahkan supaya saya mencabar arahan Mahkamah yang bercanggah dengan Perlembagaan tersebut. Justeru, atas arahan tersebut, saya pun failkan suatu Notis Permohonan bagi mencabar arahan tersebut, dan memohon agar isu ini dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan [rujukan isu keperlembagaan boleh dibawa langsung ke Mahkamah Persekutuan selaku Mahkamah tertinggi di negara ini, di bawah Perkara 128(2)].
Apabila hakim tersebut mendapat tahu berkenaan permohonan yang difailkan mencabar arahannya berkenaan penggunaan bahasa Inggeris, hakim tersebut mati-matian cuba mendapatkan saya menarik balik permohonan itu.
Kata hakim tersebut, “I can be flexible. If you want the proceeding to be held using Malay, we can do it. But there is no need for you to file this application to the Federal Court.”
Hakim tersebut juga menyatakan: “The court’s directions [regarding the use of English] are not carved in stone. But we do not want a judgment on this [that Courts must use bahasa Melayu].”
Setelah hakim tersebut berkata-kata sedemikian, saya pun maklumkanlah kepada anak guam berkenaan apa yang dimaklumkan oleh Mahkamah, untuk dapatkan arahan lanjut, iaitu sama ada masih mahu meneruskan dengan cabaran tersebut.
Anak guam mengarahkan bahawa masih mahu meneruskan dengan cabaran tersebut, kerana walaupun Hakim tersebut mengatakan bahawa beliau boleh fleksibel untuk menggunakan bahawa Melayu dalam prosiding, tetapi hakikatnya dalam menyatakan kesediaannya itu pun beliau telah menyampaikannya dalam bahasa Inggeris. Dan lebih teruk lagi, apabila saya bertutur dalam bahasa kebangsaan dalam prosiding, Hakim telah menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris pula dan merekodkannya dalam nota prosiding dalam bahasa Inggeris.
Akhirnya, apabila dimaklumkan bahawa anak guam saya masih mahu meneruskan dengan cabaran bahasa kebangsaan tersebut dan tidak mahu menarik balik permohonannya bagi merujuk ke Mahkamah Persekutuan, Yang Arif Hakim tersebut telah memindahkan kes kepada Hakim lain pula untuk mendengarnya. Hal ini sekaligus menjadikan permohonan bahasa kebangsaan anak guam saya untuk mendapatkan ketetapan yang muktamad oleh Mahkamah tertinggi di negara ini berkenaan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua prosiding di Mahkamah, tidak lagi dapat diteruskan (kerana permohonan itu adalah bagi mencabar arahan oleh Hakim yang kini sudah tidak lagi akan mendengar kes tersebut).
Demikianlah nasib bahasa kebangsaan di negaranya sendiri. Ditendang ke sana, disepak ke sini, sesuka hati.
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.