Berita UtamaKolumnisProf. Madya Dr. Rafidah HanimUtama

Lagi ramai pekerja asing, lagi banyak kes penyakit berjangkit: Fakta

Gambar hiasan
Gambar hiasan

APABILA kita tiada statistik atau data, berbagai-bagai andaian yang kita buat untuk menjustifikasikan keputusan yang pada hemat saya hanya melibatkan keuntungan kepada pihak-pihak tertentu.

Andaian bahawa belia Malaysia malas dan culas sehingga kita terpaksa mengimport tenaga luar adalah andaian tak berasas yang tiada data untuk menyokongnya. Sifat segelintir, jangan dipukul rata atas semua. Sifat suka mengeji dan menghina anak bangsa perlu dibuang.

“Stereotyping” ke atas anak bangsa sendiri adalah sikap suka berlepas tangan daripada mengambil tahu permasalahan sebenar dan merosakkan pembinaan jati diri bangsa dan seorang pemimpin negara tidak harus secara sembrono mengutuk belia sendiri. Kita rindu pemimpin berwawasan jauh seperti Tun Abdul Razak yang menyediakan program-program seperti FELDA untuk diisi oleh rakyat sendiri.

Isu yang lebih besar, yang lebih serius adalah isu membawa lebih ramai pekerja asing ini dibuat ketika kita belum ada langkah konkrit bagi menangani peningkatan penyakit berjangkit khususnya batuk kering atau tuberculosis (TB).

Beberapa fakta yang perlu kita tahu:

1. TB merupakan punca utama kematian disebabkan penyakit berjangkit di Malaysia dengan 1,603 kes dilaporkan tahun 2014 berbanding 1,597 pada 2013.

2. Terdapat peningkatan kes TB di Malaysia sebanyak 2.7 % iaitu dari 24,071 (2013) kepada 24,711 (2014).

3. 47% daripada pekerja asing yang menjalani pemeriksaan FOMEMA di Malaysia disahkan menghidapi TB dalam tahun 2014.

4. Lebih 17, 000 pekerja asing didiagnosa TB SETIAP TAHUN, sejak tahun 2012 hingga 2015.

5. Sekumpulan penyelidik dari USM dalam hasil kajian mereka bertajuk “Urbanisation process and the prevalence of tuberculosis in Malaysia” melaporkan bahawa Malaysia membawa masuk ramai pekerja asing dari Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Myanmar yang dilaporkan oleh WHO antara negara yang mempunyai kadar TB yang tinggi di negara masing-masing kerana tiada program imunisasi tersusun di negara masing-masing.

6. Penyelidik yang sama menyatakan dalam kajian mereka berdasarkan statistik Jabatan Imigresen, bilangan pekerja asing tanpa izin / tanpa permit adalah lebih tinggi daripada pekerja asing yang sah. Jika pekerja asing yang sah, dikesan menghidapi TB melalui FOMEMA seperti fakta no 3 dan no 4, kita jangkakan bilangan kes TB yang tidak dilaporkan di kalangan mereka yang tidak berdaftar adalah lebih banyak!

7. Kadar jangkitan TB ini diburukkan oleh sikap majikan yang menempatkan pekerja-pekerja terlalu ramai dalam sesebuah rumah kongsi bagi menjimatkan kos.

Kesimpulannya, pihak kerajaan seringkali bercanggah sesama kementerian, dan seterusnya memberi gambaran bahawa mereka mengabaikan impak kesihatan dalam keputusan yang diambil, termasuklah dalam isu vape di mana KPDNKK cuba menyelaras penggunaan vape walaupun Kementerian Kesihatan telah menyatakan bahawa vape memberi implikasi buruk dengan disokong oleh institusi fatwa.

Mereka lupa bahawa rahmat Allah SWT yang terbesar adalah kesihatan diri sendiri dan kesihatan rakyat, dan bukannya hasil komisen atau sumbangan ekonomi, yang jika ditolak dengan kos kesihatan merawat penyakit-penyakit ini, amatlah tidak berbaloi.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Ketua Penerangan Wanita Isma

BERITA BERKAITAN:

Bangladesh bakal hantar 1.5 juta pekerja ke Malaysia

KATA PEDANG: Silap haribulan Malaysia jadi Banglasia

Isu lambakan pekerja Bangladesh: Rakyat Malaysia tak sanggup kerja buruh kasar

Beri alternatif untuk tangani kebergantungan kepada pekerja asing: Azalina

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker