Pendapat

Mat Rempit: Pemimpin perlu berwawasan bina anak bangsa

rempit
TAHNIAH saya ucapkan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana sudi meluangkan masa untuk memikirkan masalah isu ‘mat rempit’ sekaligus mengusulkan supaya diadakan ‘Hari Tanpa Kenderaan’ untuk meraikan perlumbaan motor.

Malangnya, saya mempunyai pandangan yang sebaliknya terhadap idea itu. Cadangan itu tidak menyelesaikan masalah malah membawa sebuah persepsi baru kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak, remaja belasan tahun dan anak muda yang lain bahawa aktiviti lumba motor yang menjadi amalan mat rempit itu tidak salah.

Meraikan aktiviti mat rempit yang semestinya berlumba motor itu dengan menutup jalan jalan tertentu untuk dijadikan trek perlumbaan adalah tidak wajar sama sekali. Jalan raya merupakan medium perhubungan utama orang awam untuk melakukan aktiviti harian mereka; laluan ulang alik ke tempat kerja, laluan ke sekolah dan sebagainya. Menutup laluan orang lain yang lebih utama urusannya hanya kerana memberi laluan kepada aktiviti yang tidak berfaedah bukanlah suatu tindakan yang wajar malah merugikan.

Islam adalah agama yang sempurna. Tiada ajaran dalam Islam yang menyuruh manusia membuat kerosakan. Mengusulkan cadangan sedemikian hanya membuka lebih banyak ruang kepada golongan pemuda terjebak dengan kegiatan yang membawa kemudaratan kepada diri sendiri.

Sejauh manakah aktiviti lumba haram motosikal tidak akan membawa kepada kemalangan jalan raya? Adakah idea tersebut turut mengambilkira kos perubatan mat rempit sekiranya mengalami kecederaan? Jika ya, maka saya amat terkilan dengan pembaziran wang kerajaan yang mengalir untuk mendanai kos perubatan hasil idea kurang bernas itu.

Golongan pemuda adalah modal insan kepada ketamadunan masyarakat dan kemajuan negara. Mengapa perlu dipersiakan masa dan tenaga pemuda kepada aktiviti yang tidak mendatangkan pulangan kepada masyarakat dan negara? Kerajaan seharusnya mengoptimumkan segala prasarana yang ada untuk menyalurkan potensi mereka secara maksimum terhadap aktiviti yang berfaedah dan berguna kepada orang lain.

Nor Baiti Azera Ahmad
Aktivis Kelab Remaja Isma (KRIM) Cawangan Miri

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker