Ganja dan permasalahan: Satu penerangan oleh I-Medik
Ganja mengganggu fungsi kognitif dan penyebab kepada masalah ketagihan yang kronik
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan seorang ahli politik untuk membenarkan penggunaan ganja oleh orang awam dan sekaligus membubarkan sebarang larangan undang-undang terhadapnya. Ini adalah atas alasan sebagai cara mengatasi masalah tekanan perasaan terhadap masalah kewangan yang semakin membebankan.
Tambahnya lagi, berberapa buah negara yang sudah membangun telahpun mengaplikasikannya. Persoalannya adakah ini satu langkah yang bijak? Bagaimanakah pula kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang sekiranya impian ahli politik tersebut menjadi kenyataan.
Sebagai seorang pegawai perubatan yang pernah berkhidmat di jabatan psikiatri dan kini bertugas di Jabatan Penjara, saya berpengalaman berhadapan dengan ramai pesakit dengan salah laku dadah daripada peringkat baru diberi diagnosa sehinggalah sedang menerima rawatan dan seterusnya hukuman. Di antara mereka, terdapat ramai pengguna ganja tegar.
Saya kerap kali berhadapan dengan pesakit yang mengalami intoksikasi disebabkan ganja (kebanyakannya pelajar IPT). Pada kebiasaanya mereka dihantar oleh rakan-rakan ke kecemasan. Kerap kali mereka mengalami simptom percakapan tidak teratur (irrelevant speech) dan juga mempunyai masalah tidur yang terganggu. Di samping simptom-simptom fizikal lain, apabila dikaji dengan lebih mendalam tentang masalah mereka selepas pengambilan ganja, kebanyakan mereka juga mengalami kemerosoton prestasi akademik dan masalah ketagihan kepada ganja sehingga menyebabkan kebergantungan kepadanya.
Rata-rata pengguna ganja bermula dengan pengambilan secara recreational ataupun sekali sekala, kemudian tidak cukup dengan itu ada di antara mereka akan mula mengedarkannya di mana ia akan membawa kepada keuntungan yang berlipat ganda. Pohon marijuana juga boleh ditanam sendiri oleh pengguna di rumah dan boleh digunakan terus atau diproses ke dalam bentuk yang lain.
Amat sedih mengenangkan pengalaman bertemu dengan seorang pelajar yang dahulunya seorang yang berjaya dalam mata pelajarannya di peringkat sekolah. Pelajar tersebut juga menyebut bahawa beliau pernah dikategorikan sebagai seorang yang ‘warak’ di sekolah. Tidak pernah terlintas di dalam benak fikirannya di waktu itu bahawa beliau akan akhirnya terjebak di dalam masalah pengambilan dadah. Namun setelah ke peringkat universiti, beliau mula berjinak-jinak dengan ganja disebabkan pengaruh rakan sebaya. Pada mulanya beliau menolak namun disebabkan katanya seluruh isi rumah juga mengambil ganja di universiti, beliau termakan juga dengan pujukan mereka.
Bermula dengan pengambilan yang sedikit, semakin bertambah dan bertambah sehingga menjadi pengguna tegar. Akhirnya beliau kesempitan wang untuk membeli ganja, namun ketagihan menyebabkan beliau terdesak sehingga terpaksa mencari pendapatan sampingan. Cara yang paling menguntungkan baginya pada waktu itu adalah dengan mengedar ganja di dalam kampus universiti. Ini membolehkan beliau menjadi konsumer dan juga mengedar tanpa membebankan kewangan ibu bapa. Mata pelajarannya juga semakin lama semakin merosot sehingga membawa kepada kerisauan ibu bapa. Terdapat berberapa hari di mana beliau tidak hadir untuk menjawab kertas perperiksaan pada semester itu kerana kerap tertidur di hari perperiksaan disebabkan gangguan kitaran tidur dan setelah mengambil ganja.
Apabila ditanya samada beliau ada keinginan untuk memberhentikan tabiat menghisap ganja, beliau berkata amat sukar baginya untuk menghentikan tabiat menghisap kerana akan menghadapi kesan sampingan daripada berhenti (Withdrawal Effect) termasuk kesukaran untuk tidur, perasan mudah marah dan mudah rasa gemuruh di samping ketagihan. Sesi kaunseling bersama psikologis, pakar psikiatri dan ahli keluarga diadakan bagi mengatasi masalah pelajar yang malang ini setelah dirinya mulai sedar dan kesan dadah ganja sudah tiada di dalam dirinya. Kemudian beliau dihantar pulang bersama ibu bapanya yang kelihatan amat sukar untuk menerima hakikat bahawa anaknya kini adalah seorang pengedar dan juga penagih dadah ganja yang tegar.
Hakikatnya, amat mudah sekali seseorang itu untuk mula terjebak di dalam najis dadah, namun amat sukar sekali untuk mengeluarkan diri daripada jerat ini kerana kesan daripada ketagihan dan juga kesan apabila meninggalkan dadah. Ia adalah umpama jerat yang amat sukar untuk melepaskan diri daripadanya apabila kita mula terperangkap. Justeru, pencegahan daripada pengunaan dadah adalah amat penting bagi mengelakkan daripada terjebak.
Ganja daripada tumbuhan marijuana/ Canabis
Ganja atau Canabis nama adalah sejenis dadah yang didapati pokok marijuana. Bahan aktifnya adalah Tetrahydro-cannabinoids (THC) dimana ia adalah sejenis dadah perangsang atau stimulant. Ia boleh digunakan dengan pelbagai cara tetapi cara yang paling kerap digunakan adalah dengan Inhalation ataupun sedutan asap ganja samada melalui rokok, pipe atau daun ganja di wapkan dengan air, dan disedut wapnya. Dewasa ini terdapat pula Shisha Stick yang popular di kalangan kanak-kanak sekolah di mana ada sebagiannya mengandungi ganja di dalamnya. Pada sekitar bulan November dan Disember tahun lalu pula, Polis Diraja Malaysia telah berjaya merampas cecair vape yang didapati mengandungi ganja.
Kesan negatif daripada pengambilan ganja
Menurut The New England Journal of Medicine, bertajuk “Adverse Effect of Marijuana”2014, didapati bahawa antara kesan-kesan negatif daripada penggunaan ganja termasuk kesan ketagihan yang ketara di mana 9% daripada mereka yang mencuba dadah ini akan menjadi ketagih kepadanya. Namun peratus ketagihan meningkat di kalangan remaja di mana 1 dalam 6 remaja akan menjadi ketagih kepadanya dan 25-50% akan menjadi ketagih sekiranya menghisap ganja melalui rokok setiap hari. Antara kesan yang lain termasuk kesan kepada kognitif otak di mana penagih tidak mampu memberi tumpuan terhadap sesuatu, kurang kekuatan memori dan gangguan terhadap percakapan.
Masalah berkaitan Psikiatri ataupun kesihatan mental amat sinonim di kalangan mereka yang mengambil ganja. Ini termasuk masalah psikosis. Kajian daripada New Zealand (Arsenault,2002) menunjukkan bahawa individu yang mengambil ganja lebih daripada 3 kali sebelum usia 18 tahun akan mengalami gejala psikosis sebelum berumur 30 tahun. Kajian juga mendapati terdapat peningkatan risiko penyakit Schizophrenia ( pesakit boleh mengalami halusinasi, delusi dan gangguan fungsi sosial) dan kemurungan di kalangan pengguna ganja.
Kesan Penggunaan Jangka Panjang Ganja
Kajian mendapati daripada JAMA, Journal of American Medical Association, bertajuk The Residual Cognitive Effects of Heavy Marijuana Use in College Students, 1996, mendapati bahawa penggunaan ganja yang berterusan dapat dilihat dari sudut intelektual termasuk kurangnya kemampuan berfikir secara abstrak , masalah dalam menumpukan perhatian, kurang kemampuan bercakap dengan lancar dan kurang kebolehan untuk mempelajari perkara baru. Namun, persoalannya adalah samada efek neuropsikologikal ini berpunca daripada dadah yang masih tertinggal di dalam darah ataupun disebabkan oleh Withdrawal Effect kerana meninggalkan dadah tersebut. Hakikatnya kedua-dua efek tersebut adalah efek negatif yang didapati daripada pengambilan ganja. Ia tidak akan berlaku tanpa ganja. Ganja adalah sejenis dadah yang membawa kepada ketagihan, maka mustahil ia boleh digunakan dengan konsep Touch and Go di mana ia digunakan hanya sekali sekala sahaja.
Penggunaan dadah seperti ganja juga dapat membuka pintu kepada ketagihan dadah merbahaya yang lain seperti Heroine , Morphine dan Amphetamine. Ini dipanggil “The Gateway Theory”. Ini terbukti apabila ramai dikalangan penagih dadah tegar bermula dengan penagihan kepada alkohol dan rokok. Hasil kajian ini didapati daripada Journal Of Public Health Policy tahun 2000, bertajuk The Impact Canabis Decriminilisation in Australia and United States.
Penggunaan Ganja Adalah Salah Dari Segi Undang-undang
Walaupun ganja adalah berasal daripada sejenis tumbuh-tumbuhan, ramai yang tidak mengetahui bahawa telah termaktub di dalam undang-undang bahawa menjadi kesalahan untuk menanam dan mengusahakan ganja. Di dalam Akta dadah berbahaya 1952, di bawah Sek 6B iaitu kesalahan Menanam dan Mengusahakan Ganja. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan rotan tidak kurang daripada enam sebatan.
Di Bawah Akta yang sama, Seksyen 39B, hukuman mati mandatori diperuntukkan untuk kesalahan memiliki 200gm atau lebih ganja. Sesyen 39 (A) (2) memperuntukkan denda tidak kurang daripada 5 tahun penjara atau dipenjara seumur hidup dan diwajibkan tidak kurang 10 sebatan, jka sabit kesalahan memiliki 50-200gm ganja.
Terdapat juga hukuman-hukuman lain dikenakan di bawah akta yang sama di bawah seksyen 39(A)(1), Seksyen 6, Seksyen 10, 12(2) dan juga 15(A) dan 15(B)
Ganja jelas membawa mudarat
Antara negara-negara yang telah membenarkan penggunaan ganja bersyarat dari segi undang-undang adalah Amerika Syarikat, Australia dan juga Belanda. Australia sebagai contoh telah membenarkan penggunaan ganja namun dalam kuantiti yang amat sedikit. Mereka mengambil pendekatan ‘decriminalisation of minor canabis offences’ di berberapa negeri. Namun ada juga negeri yang langsung tidak membenarkan penggunaan termasuk New South Wales. Rata- rata negeri di Australia memperuntukan denda yang tidak berat untuk pesalah yang ditemui dengan ganja yang sedikit contohnya antara 15-50gm di mana mereka diberi denda amaran, kewangan dan dirujuk untuk kaunseling.
Di Amerika pula, terdapat berberapa negeri yang membenarkan penggunaan ganja untuk rekreasi dengan syarat tidak melebihi had. Ini termasuk Alaska, Colorado, Oregon dan Washington. Manakala terdapat negeri lain pula yang hanya membenarkan ganja untuk tujuan perubatan. Di Belanda pula, ganja dikategorikan sebagai dadah yang dibenarkan dengan syarat untuk kegunaan peribadi dan penggunaan tertakluk pada syarat-syarat tertentu.
Bagaimana pula kesannya terhadap rakyat mereka?. Kajian menunjukkan bahawa kemudharatan telahpun jelas kelihatan daripada sistem ciptaan mereka setelah lama ia diamalkan. Walaupun begitu, terdapat juga penulisan-penulisan daripada kajian mereka yang menafikan keburukan daripada penggunaan ganja di negara masing-masing. Terutamanya dari segi penurunan kos yang ditampung kerajaan untuk menangkap, menghukum dan memenjarakan mereka yang terlibat dengan ganja. Namun, diharapkan faktor kos semata-mata tidak menjadi batu pengukur untuk menentukan samada ia perlu dibenarkan untuk rakyat atau tidak. Terdapat banyak lagi batu pengukur yang lain termasuklah dari aspek akhlak dan sakhsiah generasi akan datang.
Di dalam Al-Quran jelas melarang manusia merosakkan dan memudaratkan diri seperti dalam ayat ‘Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan’ (al-Baqarah 2:195)
Dari segi maqasid shari’ah, ganja merosakkan dua perkara utama yang dipelihara oleh shari’ah iaitu diri(nyawa) dan akal insan. Maka berdasarkan kaedah usul fiqh, semua bentuk kemudaratan mestilah dihapuskan termasuklah ganja dan segala jenis dadah mestilah dijauhi.
Pemantauan ibu bapa terhadap anak- anak di sekolah-sekolah dan IPT amatlah penting bagi membendung anak- anak daripada gejala penagihan dadah. Sepertimana disebut di atas, ketagihan kepada perkara seperti rokok dan alkohol boleh membuka pintu kepada ketagihan dadah yang lebih merbahaya. Justeru itu sebagai permulaan, elakkan anak-anak daripada ketagihan kepada rokok dan vape sebagai langkah pencegahan. Pantau lah dengan siapa mereka berkawan dan lihat sebarang perubahan dari segi fizikal dan mental anak- anak. Didiklah mereka dengan ilmu agama yang secukupnya kerana agama melarang daripada menjerumuskan diri ke perkara perkara yang memudaratkan.
Dr Nor Ruzaini Sulaiman
(MBBS) Monash University
Biro Penerangan dan Penyelidikan I-Medik
ice crytalmeth lagi merosakkan rata rata di alaf ini ramai pengamalnya …..
antara kesannya lebih teruk dr ganja.
Antara kesannya boleh menyebabkan
1. halusinasi….
2. keghairahan ingin melakukannya seksyen yg melampau boleh menjurus ke masalah rogol
3. hilang pertimbangan perilaku hingga sanggup membunuh
4. Sikap pemarah menguasai diri
5. Hilang Hormat sesama Insane
6. Bersikap melulu tanpa berfikir
Jika di perbandingkan dengan Ganja, Permasalahan Dadah Sintetik di alaf ini.
Masalah dadah sintetik ini lagi berbahaya dan akta dadah sintetik ini agak longgar dan tidak boleh di guna pakai dan perlu di kaji semular kerana peemasalahannya lagi teruk…
Dr anda benar-benar menonjolkn kelemahan yg kebodohan Bangsa Melayu dan Islam.Melalui artikal yang anda tulis tanpa melakukan kajian menyeluruh keatas tumbuhan ini.Rumson anda hanya berpandukan hanya dari The new England journal dan JAMA, juga surah Al Baqarah “jnglh kamu sengaja mencampakkan diri kamu Kedalam Kebiasaan” yg tidak berkaitan langsung kpd tumbuhan ganja ini yg terbukti mengandungi khasiat2 spt mana yg sedikit kamu ketahui dan Terangkanlah.
Kamu tidak jujur didalam menyebarkankan maklumat kebenaran tentang kebaikkan tumbuhan ini kepada kesihatan penggunanya.
Kamu akan dipertanggong jawapkn kelak oleh Allah keatas Fitnah dan kebohongan yg kamu sebarkan.
Kami para pengguna tumbuhan herba inI menyangkal keras keatas informasi yg tidak benar keatas tumbuhan anugerah alam ciptaan Illahi ini. Juga ingin benar-benar bertemu kamu bagi membahaskan kebenaran fakta tumbuhan ini.
Sy tetap dengan pendirian saya mendakwa anda penipu juga penyebar fitnah keatas tumbuhan ini dan kesannya kpd penggunaannya.
Doktor , macam mana nk hilangkan segala kesan kesan ganja tersebut setelah pengguna telah meninggalkan gejala tersebut .