Pendapat

Perlu prinsip menyeluruh atasi isu eksploitasi wanita dalam iklan: Wanita Isma

Para peserta khusyuk mendengar pembentangan dalam salah satu program pembangunan jati diri anjuran Wanita Isma.
Para peserta khusyuk mendengar pembentangan dalam salah satu program pembangunan jati diri anjuran Wanita Isma.

BARU-BARU ini tindakan sebuah syarikat penerbangan tambang murah menggunakan tubuh badan wanita sebagai metod pengiklanan mereka mendapat bangkangan dan tentangan banyak pihak sehingga iklan tersebut terpaksa ditarik balik.

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga ada yang mengkritik tindakan ini sebagai menyalahi hak ‘kesaksamarataan dan kepekaan gender serta penyertaan sosial’. Kenyataan ini diterbitkan di sebuah akhbar atas talian kelolaan DAP dan memetik kata-kata Syerleena Abdul Hamid. Namun begitu, kenyataan DAP ini tidak tepat, malah tersasar daripada konteks sebenar.

Isu wanita yang digunakan sebagai ‘agen’ pengiklanan bukan isu yang baru di Malaysia. Ianya merupakan kesan daripada kefahaman atau ‘social norm’ yang diamalkan secara global. Hakikatnya, kaum wanita sudah lama menjadi daya penarik dan pelaris di papan-papan iklan dan akhbar. Mengapa sekarang baru DAP bersuara?

Sebagai sebuah NGO yang memperjuangkan hak-hak wanita, Isma telah pun mengenengahkan isu dan permasalahan wanita sejak sekian lama melalui program-program khidmat masyarakat, kempen jauhi zina, program jati diri dan sebagainya. Namun, solusi kepada permasalahan kami berbeza dengan idea lontaran DAP.

Kami tidak melihat isu eksploitasi wanita ini sebagai mencabar kesamarataan gender seperti yang dicetuskan oleh DAP. Isu ini lebih berat dan serius daripada itu. Ia bukan sekadar menuntut persamaan jantina dan kedudukan sosial di dalam masyarakat, tetapi perlu mengkaji semula peranan dan fungsi wanita di dalam masyarakat itu sendiri. Tidak adil sekiranya mana-mana badan mengkritik pameran tubuh wanita di papan iklan tetapi badan yang sama juga lantang berkata bahawa agama adalah isu peribadi dan individu tidak perlu ditegur malah dipersalahkan. Ini bukan penyelesaian yang merawat kepada akar umbi masalah.

Jika dilihat keadaan wanita diperlakukan zaman moden ini, saling tidak tumpah tindakan masyarakat yang jahil di tamadun Rom, Yunani dan masyarakat Arab sendiri. Wanita dijadikan objek pemuas nafsu semata-mata dan tidak diiktiraf haknya sama sekali. Wanita adalah ‘second class citizen’ malah ada tamadun yang menyamakan wanita dengan haiwan. Wanita tidak diberi hak mendapatkan harta malah seorang wanita boleh dikahwini oleh ramai lelaki.

Begitulah senario yang berlaku di masa lampau sehingga datangnya Islam bagi membebaskan kaum wanita daripada sistem ini dan menganugerahkan kaum wanita hak-hak di dalam masyarakat. Wanita diiktiraf dan disebut kisah-kisahnya di dalam Al Quran. Permasalahan kaum wanita yang ditindas suami seperti Khaulah binti Tsalabah dijawab terus oleh Allah di dalam Al Quran. Betapa wanita-wanita tersebut merasai bahawa Islam telah membebaskan dan memerdekakan mereka. Islam liberates women.

Namun keadaan masyarakat sekarang yang semakin jauh daripada Islam telah menyebabkan sejarah berulang kembali. Kedudukan wanita sebagai simbol seks semakin berleluasa dan jika tidak dirawat dan diambil tindakan, wanita zaman moden ini akan menerima nasib sepertimana wanita zaman jahiliyyah dahulu.

Namun, penyelesaian dan isu yang relevan di sini bukan kesamarataan gender atau yang seangkatan dengannya. Ini adalah kerana kesamarataan gender hanya salah satu ‘tiket’ Barat untuk terus menyesatkan masyarakat dunia. Wanita dunia tidak akan terbela dengan tiket ini. Sejarah telah membuktikan wanita-wanita Perancis dan Eropah yang berjuang di sebalik idea feminisme dan gender equity sejak kurun ke-19 lagi. Adakah mereka berjaya mencapai nahtijah pembebasan total sepertimana yang telah dibuktikan oleh Islam? Jawapannya tidak. Sehingga sekarang, mereka menggiatkan pengaruh dan ideologi mereka untuk mencapai sesuatu yang tidak mempunyai nilai apa-apa.

Oleh yang demikian, kita perlu memandang isu eksploitasi wanita secara menyeluruh. Wanita perlu diberikan didikan supaya matlamat mereka bergiat di dalam bidang pekerjaan masing-masing menjadi jelas. Mereka perlu diingatkan untuk menjaga harga diri dan maruah dengan menjaga adab kesopanan, termasuk tingkah laku, cara pemakaian dan pergaulan. Wanita yang mempunyai prinsip dan harga diri akan dihormati. Ini bertepatan dengan petikan ayat di dalam Al-Quran yang menyebut salah satu hikmah wanita disyariatkan menutup aurat adalah supaya mereka dikenali dan tidak diganggu. Ini adalah pendekatan yang sesuai dengan fitrah manusia dan nilai-nilai kewanitaan.

Di peringkat masyarakat pula, nilai-nilai murni perlu dipupuk sejak kecil supaya terlahirnya masyarakat yang menghormati dan menghargai kaum wanita sewajarnya. Sebenarnya apabila kaum wanita terdidik dengan akhlak yang baik, pengetahuan yang tinggi dan bersifat serba boleh, anak-anaknya akan terdidik menjadi lelaki-lelaki yang menghormati, melindungi dan menghargai kaun wanita selayaknya.

Pihak berwajib pula sudah tentu perlu berperanan di dalam memelihara hak-hak wanita di dalam keluarga dan masyarakat di samping mewujudkan undang-undang bagi menghalang pihak tertentu mengeksploitasi golongan ini. Setiap usaha sama ada di peringkat individu, masyarakat atau pun negara perlu meletakkan matlamat yang jelas dengan memartabatkan kaum wanita sepertimana yang telah dijamin oleh Islam suatu masa dahulu, bukannya memperjuangkan agenda sempit semata-mata.

Dr Nur Farrah Nadia binti Najib
Biro Keluarga & Masyarakat Isma

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker