Menelusuri Sejarah Kecelaruan Gerakan Feminisme
PERJUANGAN untuk menuntut hak kesamarataan gender bukanlah suatu perkara yang baru. Perubahan zaman menyaksikan golongan ini berjuang dengan pelbagai nama dan wajah yang sentiasa berubah didasari dengan rombakan-rombakan ideologi untuk memastikan perjuangan mereka tampak relevan di mata masyarakat sepanjang zaman berlalu.
Gerakan feminisme moden lahir di BARAT kira-kira 200 tahun yang lampau kesan daripada penindasan patriaki melampau terhadap wanita yang berlaku selama ratusan tahun lamanya. Secara umumnya, wanita ditindas daripada segenap sudut termasuklah ekonomi, sosial dan politik. Sebagai contoh, wanita yang sedang haid dilihat sebagai seorang yang kotor dan diasingkan, malahan tidak dibenarkan menetap di rumah kediaman sepanjang tempoh haid.
Wanita di Athens hanya dibenarkan bergaul dengan hamba abdi. Di Rom, gadis-gadis dijadikan sebagai alat pengabdian kepada Tuhan dan tidak dibenarkan berkahwin. Hegemoni lelaki yang ekstrem ini terus wujud walaupun dengan kedatangan agama Kristian, di mata wanita dilihat sebagai punca kepada kejahatan dan sentiasa disifatkan bernasib malang. Fenoma ini berterusan sepanjang Zaman Kegelapan.
Walaupun secara zahirnya, gerakan feminisme dilihat masih belum wujud, tetapi perjuangan untuk membebaskan penindasan wanita telah pun bermula semasa era pra modenisasi. Perjuangan ini mencapai momentum yang tinggi dan memuncak semasa Zaman Pencerahan di kurun ke-18 untuk menongkah arus memperjuangkan kesaksamaan gender daripada sudut budaya, norma-norma jantina dan tuntutan agar wanita diberikan lebih banyak peranan dalam masyarakat.
Boleh dikatakan bahawa, gerakan feminisme ini telah diberikan banyak ruang untuk mereka berkembang untuk mencapai matlamat kesamarataan gender ini, tetapi kita dapat melihat dengan jelas bahawa matlamat yang ingin mereka capai masih kabur dan tidak jelas hala tujunya. Ini dapat dilihat melalui perjuangan mereka yang semakin mencapah terutama semasa era pasca moden, di mana mereka turut melibatkan diri dalam contohnya isu-isu keadilan dan hak kesongsangan untuk golongan LGBT.
Oleh kerana asas perjuangan feminisme yang memfokuskan kepada peluang dan hasil yang samarata antara lelaki dan perempuan, maka mereka sendiri telah menyempitkan dan memberi had kepada hakikat peluang dan makna kejayaan dan pencapaian wanita itu sendiri. Inilah yang mengakibatkan golongan feminisme ini merasa terkongkong dan sentiasa dibelenggu dengan ‘sistem’ patriaki.
Mereka tidak henti-henti untuk mencari definisi dan hala tuju dalam perjuangan mereka. Ini berbeza dengan wanita yang memahami Islam yang sebenar berdasarkan kefahaman yang betul terhadap Al-Quran dan Sunnah, di mana wujudnya keyakinan bahawa peranan wanita dalam masyarakat itu sesuai dengan susuk tubuhnya yang telah dicipta oleh Allah SWT.
Tidak dinafikan, sistem patriaki dalam kepercayaan paganisme wujud di Tanah Arab semasa Zaman Jahiliyyah. Namun, kedatangan Rasulullah SAW menandakan bahawa bermulalah era penghapusan kepercayaan paganism secara mutlak yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Undang-undang contohnya yang berkaitan dengan perkahwinan dan aurat telah mengangkat martabat dan maruah wanita.
Banyak ayat Quran yang menekankan perbezaan fizikal serta peranan lelaki dan wanita dalam masyarakat, yang mana walaupun berbeza, hakikatnya lelaki dan wanita itu saling melengkapi antara satu sama lain dan tetap mendapat martabat yang sama di sisi Allah SWT. Ayat 34 dlm surah An-Nisa menyatakan:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Namun, surah yang sama juga menyatakan:
“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” (An-Nisa: 124)
Sejarah dunia Islam juga memperlihatkan kedudukan mulia wanita dalam masyarakat di mana terdapat banyak kisah keagungan wanita Islam seperti Saiyidatina Aisyah RA yang telah meriwayatkan beribu-ribu hadith serta dijadikan rujukan oleh para sahabat. Ketika wanita di Barat pada tahun 1800 masih bergelut dengan Zaman Kegelapan, ketamadunan Islam telah menyaksikan wanita Islam telah diberikan peranan yang pelbagai dalam masyarakat seawal tahun 600 Masihi. Universiti pertama di dunia telah diasaskan oleh seorang wanita bernama Fatimah Al-Fihri di Maghribi pada tahun 800 Masihi, sedangkan wanita di Barat pada ketika itu belum lagi diberi peluang untuk menuntut ilmu.
Selepas era Perang Dunia Ke-2, gerakan feminisme moden ini mula menular ke negara-negara Islam. Selain dilihat sebagai akomodatif kepada kehidupan moden, ledakan globalisasi di samping perkembangan media semasa tahun 1980-an membolehkan gerakan ini mendapat tempat dalam masyarakat teruatamanya di kalangan warga muda yang mendapat pendidikan dari Barat.
Generasi Islam yang semakin jauh dengan kefahaman yang benar juga menjadikan ideologi ini semakin bertapak kukuh dan berakar umbi. Namun, seiring dengan arus kemodenan, gerakan ini tidak terlepas daripada mendokong pelbagai ‘mazhab’ seperti feminis radikal, feminis liberal dan ekofeminisme. Kepelbagaian cabang dalam fahaman ini mengakibatkan mereka sukar untuk mencapai kesepakatan hatta dalam perkara yang paling asas iaitu dalam memberikan definisi kebebasan untuk wanita itu sendiri. Ada cabang yang mahukan kebebasan daripada sudut budaya dan sosial sahaja, tetapi ada fahaman yang lebih radikal mahukan kebebasan mutlak untuk wanita hidup sendiri dan bebas daripada ‘cengkaman’ kaum lelaki.
Sebagai manusia, kita akan sentiasa terdedah kepada pelbagai keinginan yang banyak disandarkan kepada hawa nafsu. Oleh sebab itulah, Islam diutuskan sebagai jawapan yang tepat agar kehidupan kita sentiasa dipandu walau sejauh manapun kita melangkah dan mengembangkan potensi diri kita. Islam juga telah membebaskan diri kita daripada dipaksa menerima ideologi-ideologi bersifat duniawi ini. Sejarah menjadi saksi akan banyaknya wanita-wanita Muslim yang berjaya tanpa didukung agenda feminisme ini.
Hanya dengan kefahaman Al-Quran dan Sunnah yang betul, disertai dengan pengetahuan mendalam tentang sirah Nabi Muhammad SAW dan sejarah keagungan Islam akan mampu mengukuhkan keimanan dan memberikan kekuatan untuk menolak ideologi-ideologi songsang dan bercelaru ini. Amat benarlah firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan (yang mendekatkan diri) kepadaNya dan berjihadlah di jalanNya, supaya kamu berjaya.” (Al Maidah:35)
Artikel ini telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Dr Nur Faridah Zulkhaini, Ketua Wanita Isma Alor Gajah.
Artikel asal bertajuk FEMINISM 101: THE INCONSISTENCIES THROUGHOUT HISTORY, ditulis oleh Dr Siti Nurhayati Adznan, Aktivis Wanita Isma.