Pendapat

Ceria Popstar: Hafal Al-Quran dan Huffaz Al-Quran adalah dua perkara berbeza

tahfiz profazzSESIAPA sahaja boleh menghafal Al-Quran termasuk orang bukan Islam. Sebaliknya, seorang huffaz ialah mereka yang menjaga dan memelihara Al-Quran. Mereka bukan sekadar menghafal tetapi memahami, menghayati, mengamalkan dan menyebarkan Al-Quran dalam hidup. Kita tidak mahu budaya menghafal Al-Quran ini sekadar menjadi trend semasa tanpa dihayati hakikat keperluan ke atasnya.

Saya melihat kes ini daripada dua sudut pandang.

Pertama, adalah suatu yang amat mendukacita dan merugikan dalam pembentukan suasana hafalan apabila cuma berbaki 1 juzuk sahaja lagi untuk tamat khatam Al-Quran namun proses itu terganggu dengan komitmen lain. Apatah lagi, komitmen tersebut adalah suatu yang melaghakan. Tambahan pula, memberi alasan dengan menjadikan program realiti tv nyanyian sebagai alat dakwah juga adalah sesuatu yang harus kita nilai semula sejauh mana keberkesanannya.

Ini kerana, di dalam kitab Al Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran. Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata dari Fudayl ibn ‘Iyad:
حامِلُ القرآن حاملُ راية الإسلام، لا يَنْبغي أن يلهوَ مع مَن يلهو، ولا يسهوَ مع مَن يسهو، ولا يلغوَ مع مَن يلغو؛ تعظيمًا لحق القرآن

Pembawa Al-Quran merupakan pembawa panji-panji Islam, tidak sewajarnya ia melakukan perkara yg sia-sia, leka dan lalai bersama-sama orang lain yang melakukannya, bagi mengagungkan hak Al-Quran.”

Keduanya, saya agak terkejut dan meragui apabila adik tersebut menyatakan bahawa dia menerima sokongan daripada keluarga dan pusat pendidikannya. Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Ini kerana, pihak tersebut seharusnya memainkan peranan dalam mengekalkan momentum motivasi hafazan mereka di samping berterusan dalam memberi kefahaman tentang definisi, hala tuju dan visi seorang huffaz.

Kita masih optimis dan mengharapkan agar ayat-ayat yang dihafal tersebut kembali membawa adik ini ke jalan kebenaran yang boleh membawanya mempengaruhi diri dengan elemen keIslaman, positif dan menjadi contoh serta rujukan masyarakat ke jalan yang diredai Allah.

Suhayl Salmi
Ahli Jawatankuasa Pusat KRIM Nasional (Kelab Remaja Isma)

Penulis juga salah seorang anggota Professional Huffaz (PROFAZZ)

EDITOR: Pihak kami mengalu-alukan tulisan anda untuk disiarkan di ruangan Pendapat. Hantarkan ke alamat emel [email protected].

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker