BEBERAPA hari yang lalu, umat Islam di Bangladesh dihidangkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Bangladesh yang menolak petisyen yang dibuat oleh aktivis-aktivis sekular di Negara tersebut untuk menggugurkan Islam sebagai agama rasmi Negara.
Menyedari kepentingan dan intipati yang terkandung, iPeguam menyatakan pendirian menyokong keputusan mahkamah tersebut.
iPeguam berpendapat bahawa ia adalah satu kemenangan bukan sahaja untuk umat Islam di Bangladesh, bahkan tempiasnya dapat dirasai oleh umat Islam seluruh dunia, khususnya di Malaysia.
Dewasa kini, umat Islam di Malaysia sering juga berhadapan dengan ancaman dari puak-puak liberal, sekular serta pejuang hawa nafsu manusia yang semakin berani mencabar kedudukan Islam.
Cabaran tersebut bukan sekadar dengan paparan artikel di media sosial dan laporan berita di media sekular dan liberal, bahkan mereka berkomplot dengan menggunakan prosiding mahkamah dalam kes-kes yang sensitif dan penafsiran undang-undang yang tidak terpandu.
Antara isu-isu yang pernah dibangkitkan dan menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia adalah kes penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, terbitan buku berunsur liberal dan terpesong seperti buku terbitan Irshad Manji dan pemikir Syiah, kes transgender di Negeri Sembilan yang mencabar enakmen agama Islam dan yang terkini hak-hak peguam bukan Muslim untuk menjadi peguam Syarie yang tidak bertepatan dengan matlamat memelihara kedudukan Islam di Malaysia.
Melihatkan cabaran yang semakin getir hari demi hari, iPeguam menyeru umat Islam khususnya di Malaysia agar terus peka dengan isu-isu semasa yang sering dipermainkan oleh puak-puak liberal mahupun sekular sehingga menyentuh sensitiviti umat Islam tanpa rasa hormat dan ketundukan pada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Semoga dengan kesedaran ini umat Islam di Malaysia dapat menilai sesuatu isu dengan lebih menyeluruh tanpa mengorbankan kepentingan dan kedudukan Islam di Malaysia terutamanya dari sudut perlembagaan dan perundangan.
Muhammad Akmal bin Abdul Ghani, LLB (Hons) Adelaide
Danial Ariff bin Shaari, LLB (Hons) Adelaide
Aktivis iPeguam
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.
EDITOR: Pihak kami mengalu-alukan tulisan anda untuk disiarkan di ruangan Pendapat. Hantarkan ke alamat emel [email protected].