Pendapat

SURAT TERBUKA UNTUK PRESIDEN UMNO: MELAKA TIDAK TUMBANG KERANA KERIS DAN TOMBAK

peta melaka lama 2
Ke hadapan Pesiden UMNO, merangkap Perdana Menteri sebuah negara yang dibarisi oleh majoritinya adalah orang Melayu iaitu Dato’ Seri Najib Razak. Sebagai seorang presiden parti Melayu, dato’ seri harus lebih peka dalam isu ini.

Saya tertarik dengan ucapan DS Najib, setiap kali Dato’ Seri membicarakan mengenai sejarah Melayu, khususnya sejarah Kesultanan Melaka.

Ucapan pertama DS Najib yang membicarakan topik kejatuhan Kesultanan Melaka di tangan Portugis adalah pada tarikh 15 Ogos 2011, dalam majlis FELDA di mana DS Najib mengaitkan kekalahan Melaka itu berpunca daripada penggunaan senjata tradisional seperti tombak, lembing, dan keris berbanding dengan pihak Portugis yang canggih senjatanya.

[BACA: Najib tak belajar kehebatan tamadun Melayu: Naib Presiden Isma]

Pada tahun 2014 yang lalu, saya mendapati bahawa DS Najib mengulangi cerita yang sama dalam ucapan Formula 6K UMNO. Saya menyaksikannya melalui siaran berita jam 7 pagi di saluran RTM TV1, pada tarikh 23 Jun.

Kemudian, DS Najib mengatakannya sekali lagi dalam ucapan perasmian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 6 April 2016 berkata, kejayaan Portugis menakluk Melaka kerana faktor senjata teknologi yang dimiliki ketika itu.

“Pahlawan Melaka telah dikalahkan mereka kerana hanya bersenjatakan keris dan tombak.”

Maka, dengan penuh rasa rendah hati, saya berasa terpanggil untuk membetulkan beberapa kesalahan fakta yang saya kira tidak diketahui oleh DS Najib dan juga sebahagian besar rakyat Malaysia.

Untuk pengetahuan DS Najib, sesungguhnya cerita jatuhnya Melaka di tangan Portugis kerana faktor penggunaan senjata tradisional, adalah satu kisah dongeng semata-mata yang harus dihapuskan dalam pemikiran rakyat Malaysia buat selama-lamanya.

Kesultanan Melaka bukanlah calang-calang kerajaan, malah merupakan satu kuasa yang hebat atau “regional power”. Kemegahan pelabuhan Melaka telah membuatkan seorang pegawai Portugis pernah berkata, iaitu Tom Pires ketika menyebut mengenai Melaka.

“Whoever is lord in Malacca has his hands on the throat of Venice.”

Fikirkan kembali, Melaka ialah sebuah tamadun yang berada di tengah-tengah laluan perdagangan dunia dan pada zaman kemuncak, dicatatkan bahawa terdapat 84 bahasa yang dituturkan di pelabuhannya.

Simon Elegant dalam Far Eastern Econmic Review, IO Jun, 1999:45, telah menegaskan tentang Melaka (Terjemahan):

Lima kurun dahulu, Melaka dikunjungi 2,000 kapal sehari iaitu sesibuk pelabuhan Singapura moden kini, yang menjadikannya satu daripada tiga pelabuhan yang tersibuk di dunia … Di situ terdapat orang-orang Gujerat, Tamil, Bengali daripada India berniaga dengan orang Melayu, Cina dan Arab secara harmonis; bandar raya dengan 100,000 penghuni, 84 bahasa dituturkan di pasar. Sultan yang memerintah, telah memastikan keselamatan Selat Melaka daripada lanun, dan barangan dapat disimpan dalam ratusan gudang dengan selamat. Jika ada sebarang pertelingkahan undang-undang yang berwibawa dilaksanakan ke atas orang tempatan dan asing seadilnya.”

Masakan Kesultanan Melaka yang metropolitan ini tidak langsung mengenali senjata api, sedangkan pada zaman yang sama, Kepulauan Jepun yang sedang berada dalam kancah perang saudara ketika era Nobunaga sudah pun mempunyai senjata api. Hall, John Whitney, ketika menulis di dalam The Cambridge History of Japan, Vol. 4: Early Modern Japan menceritakan mengenai divisyen senjata api yang dipunyai oleh Nobunaga dalam kempen Nobunaga menyatukan seluruh Jepun.

Lalu mari kita mulakan perbicaraan kita dengan membicarakan mengenai kejatuhan Melaka itu dulu, lalu bolehlah selepas itu kita memahami bagaimana budaya senjata api orang Melayu yang sebenarnya sudah sinonim dengan orang Melayu pada abad-abad seterusnya.

John Crawfurd memetik catatan De Burros dalam bukunya, A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries, bahawa ketika Portugis menawan Melaka dahulu, mereka berjaya merampas antara 3000 hingga 8000 senjata api daripada Melaka, dan De Burros sendiri mengatakan bahawa Portugis sendiri tidak mampu untuk menghasilkan senjata api sebanyak itu. Bahkan catatan De Burrous menjelaskan lagi kepada kita bahawa Portugis menjumpai sebuah meriam Melayu Melaka yang jauh lebih besar daripada meriam yang dipunyai oleh Portugis dan meriam itu telah dihantar ke India.

Catatan yang lain pula, seperti yang dinukilkan oleh Godinho Eredia dalam buku Asia Portugueza, karya Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek, Portuguese History of Malacca, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka, jumlah meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. Tiga ribu pucuk meriam besar telah dijumpai dalam kota Melaka, 5000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka apabila kota itu tumbang.

Albuquerque menyatakan bahawa terdapat 2000 pucuk meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi di Melaka. Faria y Souza mengatakan bahawa sebahagian besar daripada 8000 pucuk senjata api atau meriam yang dipunyai kerajaan Melaka adalah berasal dari Pahang. Ini bermakna Pahang merupakan sebuah negeri penghasil senjata api yang berkualiti dan banyak pada zaman itu.

Menurut Eredia lagi, semua meriam-meriam itu dihasilkan dengan amat baik dan tidak dapat ditandingi walaupun dengan meriam buatan Portugis. Daripada catatan Eredia ini, dapat disimpulkan bahawa teknologi senjata api yang dimiliki oleh bangsa Melayu Melaka pada waktu tersebut adalah sama tarafnya dengan teknologi persenjataan orang Eropah, malahan mungkin lebih baik.

Seorang berbangsa Itali yang terlibat di dalam penyerangan terhadap Melaka pada tahun 1511 menyatakan bahawa terdapatnya penggunaan pelbagai jenis senjata api berat yang telah menyebabkan kehilangan nyawa yang agak ramai di pihak portugis. Menurut beliau, walaupun akhirnya tentera Melayu Melaka kalah, namun mereka digambarkan mempunyai semangat keperwiraan yang tinggi, sangat terlatih dalam ilmu peperangan dan mempunyai simpanan senjata yang bermutu serta pelbagai.

Thomas John Newbold, seorang pegawai British di Melaka pernah mencatatkan di dalam Political and Statistical Account of the British Settlements in The Straits Of Malacca, Volume 2 bahawa kilang-kilang yang menghasilkan senjata api seperti meriam-meriam milik bangsa Melayu sudah lama bertapak bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan di sekitar Kepulauan Melayu. Terengganu menjadi hub penghasilan senjata api di Semenanjung, manakala Gerisik merupakan hub untuk Pulau Jawa, dan hub untuk Sumatera pula ialah Minangkabau.

Bahkan Newbold turut mengulas mengenai pemandangan biasa yang dilihatnya ketika berada di Tanah Melayu pada abad ke-18 yang dipercayai Newbold sudah lama budaya itu itu bertapak di Tanah Melayu. Katanya, tidaklah sesuatu yang menghairankan andai dapat melihat pendekar Melayu yang lengkap bertanjak dan berbusana Melayu bersama keris dan senjata api Melayu seperti Istingar.

Bukan setakat itu sahaja, bukti aktiviti pembuatan senjata api di Pahang telah direkodkan oleh W. Linehan didalam kertas kerjanya yang berjudul Some Discoveries on the Tembeling. Di tebing-tebing Sungai Tembeling yang terletak di Pahang, Linehan telah menjumpai acuan-acuan purba yang digunakan untuk membuat meriam yang dianggarkan seawal kurun ke 13 ATAU 14, iaitu lebih awal daripada kejatuhan Melaka di tangan Portugis.

Seorang pengkaji sejarah iaitu Nicholas Tarling di dalam bukunya The Cambridge History of Southeast Asia pernah membandingkan senjata api Melayu dengan senjata api buatan Jerman yang merupakan senjata api terbaik pada abad ke-15, bahkan diceritakan mengenai kehebatan senjata api Melayu yang dikatakan tidak mempunyai tandingannya, walaupun senjata api Portugis itu sendiri. Turut dicatatkan dalam buku itu mengenai bagaimana meriam-meriam yang disusun di setiap penjuru kota Melaka telah banyak membedal nyawa askar Portugis ketika mereka mula mendarat di bumi Melayu ini.

Kita lihat pula tulisan R. J. Wilkinson, “The Capture of Malacca, A.D. 1511”. Beliau menyebut mengenai beberapa perkataan sepert “Malay gun-fire” dan “heavy fire” merujuk kepada bala askar Melaka ketika itu ketika menceritakan mengenai kejatuhan Melaka yang boleh dijadikan dalil bahawa orang Melayu kita ketika itu sudah memiliki senjata api.

Diceritakan bahawa ketika askar Portugis cuba memasuki muara Sungai Melaka yang cetek dan berlumpur itu, mereka telah dihujani oleh divisyen askar Melaka yang menggunakan senjata api dan menghujani askar Portugis dengan senjata api.

Akhir sekali, hayatilah bait-bait Syair Perang Siak yang ditulis menceritakan mengenai perang melibatkan Sultan Siak, Raja Ismail dengan Belanda sekitar tahun 1760-1761. Meski syair ini agak lewat jika dibandingkan dengan peristiwa kejatuhan Melaka, tetapi syair ini mempunyai dalil bahawa sesungguhnya budaya senjata api dan orang Melayu itu tidak dapat dipisahkan.

Berani Wilanda jangan dikata
Kapal dan kici menembak semata
Bunyi sorak gempita
Meriam dan pemuras berbunyi sekata

Perkataan “meriam” dan “pemuras” yang terakam dan diabadikan dalam syair ini menunjukkan bahawa senjata-senjata api memang sudah digunakan dalam pertahanan masyarakat Melayu.

Akhir kata daripada saya, saya memohon agar DS Najib memperhalusi ucapan DS Najib sebelum berbicara lagi mengenai topik kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511, kerana sesungguhnya topik ini berkait rapat dengan jati diri bangsa Melayu. DS Najib adalah orang kenamaan dan pastinya mempunyai pengaruh yang sangat besar; saya khuatir jikalau kenyataan DS Najib yang lari daripada hakikat sejarah itu dipegang pula sebagai azimat kebenaran oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Saya daripada organisasi The Patriots sekadar menjalankan tugas dalam menyedarkan masyarakat Malaysia mengenai sejarah sebenar yang seakan-akan dilindungkan daripada pengetahuan mereka. Andai kata apa yang saya nukilkan ini mengandungi jarum yang secara tak sengaja telah mengguris hati pembaca, sepuluh jari saya susunkan untuk memohon maaf. Saya juga manusia biasa yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

Link untuk bacaan lanjut kejatuhan Melaka: https://goo.gl/cyaYuU

-HE-
Artikel ini telah disiarkan di laman facebook The Patriots

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

EDITOR: Pihak kami mengalu-alukan tulisan anda untuk disiarkan di ruangan Pendapat. Hantarkan ke alamat emel [email protected].

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

2 komen

  1. Mohon penulis panjang kan fakta ini kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya anak2 muda seperti saya yg kurang @ buta sejarah supaya mereka lebih tahu faham dan peka akan sejarah Malaysia yg mungkin sedang ‘bersembunyi’ di dalam kotak besi penzalim.

  2. Tak usahlah banyak sangat nak mengimbau dan bertelagah tentang kejatuhan Melaka , bertujuan membela/memburukan.satu sama lain.Cukuplah dan.memadai sangat kalau kita selalu mengenang dan.mencontohi kejayaan.Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker