Rasuah dalam SPRM: Di mana silapnya?
NEGARA digemparkan semalam dengan pendedahan satu blog yang mendakwa seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditahan sendiri oleh SPRM atas cubaan menghapus bukti berkaitan satu kes siasatan jenayah rasuah.
Hal ini sangat membimbangkan dan tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah agensi penguat kuasa pencegahan rasuah seperti SPRM. SPRM adalah agensi penting yang diberi tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan dan pencegahan rasuah di Malaysia. Sekiranya pegawai SPRM sendiri melakukan kesalahan rasuah, ia sekali gus boleh menghakis kepercayaan masyarakat apatah lagi merosakkan imej SPRM di mata rakyat.
Permasalahan ini wajar diambil serius oleh SPRM, jika tidak dibendung penyakit sosial ini yang mungkin dianggap amalan biasa oleh sesetengah pihak boleh menjadi barah yang sukar diubat. Namun kita percaya SPRM sedang berusaha ke arah itu.
Tindakan SPRM menahan pegawai sendiri selepas disyaki meminta rasuah sebanyak RM20,000 sebagai wang perlindungan daripada seorang pegawai polis yang disiasat SPRM juga membuktikan SPRM akan menangkap sesiapa sahaja yang melakukan rasuah termasuk pegawai agensi sendiri.
Ini jelas membuktikan kredibiliti SPRM dalam memerangi jenayah rasuah dengan tidak melindungi pegawai sendiri yang melakukan kesalahan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Kesungguhan SPRM dalam memerangi jenayah rasuah terbukti dengan kejayaan tangkapan pada 2015 dengan 398 penjawat awam ditangkap kerana rasuah. Jumlah tersebut dilihat meningkat 173 orang berbanding tahun 2014. Peningkatan hampir sekali ganda. Bagi dua bulan pertama tahun ini sahaja SPRM telah menahan seramai 98 kakitangan kerajaan di peringkat paling tinggi sehinggalah ke staf sokongan.
Pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa baru-baru ini misalnya, untuk menukar pegawai yang menyandang jawatan sensitif ke bahagian atau kementerian lain, antara tindakan drastik yang boleh dipuji. Perpindahan jawatan sensitif termasuklah di SPRM sendiri juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan efektif akan membantu usaha menutup atau meminimumkan ruang dan peluang jenayah rasuah dalam agensi tersebut.
Sebenarnya pekeliling berkaitan tindakan itu telah pun wujud sejak tahun 2004. Tetapi mengapa ia tidak diguna pakai?
Sebelum ini pun, CUEPACS pernah mencadangkan sejak 2014 untuk mewajibkan setiap agensi penguat kuasa terutamanya, tidak menempatkan seseorang pegawai atau anggota di satu-satu kawasan melebihi lima tahun.
Langkah tersebut bertujuan mengelak mereka berasa ‘selesa’ di sesuatu tempat sehingga mendedahkan mereka kepada gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Tetapi tidak mengapalah. Mungkin pekeliling ini terlepas pandang. Namun sekurang-kurangnya ada tindakan tegas diambil selepas kes rasuah paling jijik di kalangan penguat kuasa agensi pencegahan rasuah sendiri.
Kita harap ada sinar di hujung terowong untuk membetulkan yang biasa. Bagaimanapun ‘sinar’ itu tidak akan bercahaya jika tidak ada kerjasama daripada semua pihak.
Baik di peringkat pengurusan tertinggi – (menggariskan dasar dan kaedah untuk membanterasnya), mahupun pihak pengurusan di sektor awam dan swasta perlu serius menggunakan kaedah yang digariskan itu untuk menanganinya.
Orang awam juga tidak terkecuali. Jangan sesekali cuba memberi rasuah kepada mereka ini. Sogokan di peringkat bawahan inilah yang membuka jalan kepada gejala itu.
Kita yakin jika setiap orang bertanggungjawab dan berintegriti, sasaran Malaysia untuk memastikan negara berada dalam kalangan 30 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2020 pasti tercapai.
Perangi Rasuah Bersama.
Leftenan Komander (B) Datuk Hj Adam Hj Ahmad
Pakar Analisis Jenayah Komersil
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.
EDITOR: Pihak kami mengalu-alukan tulisan anda untuk disiarkan di ruangan Pendapat. Hantarkan ke alamat emel [email protected].